Wednesday, May 25, 2011

PTPL anjur program 'Close Up SCA 2011' beri peluang pelajar tonjol kreativiti


Sebahagian daripada pelajar Kolej PTPL Sarawak yang menyertai program ' Close Up SCA 2011' di Kuching, baru-baru ini.


KUCHING 24 Mei - Seramai 30 pelajar tahun akhir Diploma Seni Kulinari, Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (Kolej PTPL) Sarawak, di sini menganjurkan program 'Close Up SCA 2011' yang diadakan pada 9 Mei lalu.

'Close Up SCA 2011' yang mendapat sokongan penuh Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari Kolej PTPL itu merupakan program nilai tambah yang dirancang untuk memperkasakan kemahiran para pelajar.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program sehari suntuk tersebut adalah bengkel etika meja dan 'grooming', ceramah kerjaya, pertandingan menyediakan sandwic dan teka-teki serta pameran seni hias dan seni ukir buah.

Pengarah Program, Jack Owen berkata, menerusi aktiviti-aktiviti yang diatur, para pelajar berpeluang menonjolkan kreativiti masing-masing di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi melalui interaksi bersama pengunjung yang hadir.

"Selain itu, kami juga dapat berkongsi maklumat tentang kemudahan yang ada di dapur dan hotel Kolej PTPL dengan pelajar-pelajar lain yang hadir," katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah, Iwan Hartawan Kiaman berkata, penganjuran program Close Up SCA 2011 membolehkan para pelajar daripada jurusan lain mengenali bidang kulinari khususnya mengenai subjek CHT1133 Amalan Acara yang ditawarkan oleh Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari Kolej PTPL.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: