![]() |
| NUR DAYANA |
KETIKA ditemui, penuntut tahun pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan TESL (Teaching English As Second Language) ini mengakui masih banyak ilmu yang perlu ditimba sebelum melayari kerjaya perguruan sebaik tamat pengajian kelak.
“Pengorbanan guru tidak ternilai harganya. Tugasnya mendidik dan membimbing kita agar menjadi insan yang berilmu dan berjaya, tidak mungkin dapat kita lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Itulah luahan personaliti Hello Kampus kali ini, Nur Dayana Tajal Ariffin biarpun sambutan Hari Guru sudah lama berakhir.
Katanya, tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ adalah sangat bermakna kerana golongan pendidik inilah yang menjayakan segala bentuk program yang diamanahkan oleh Kementerian Pelajaran.
Guru bukan sahaja menjadi seorang pendidik malah sebagai model kepada para pelajar yang menjadikan mereka contoh sebelum menamatkan pembelajaran atau pengajian dan menempuh alam pekerjaan.
“Masalahnya pada zaman sekarang, wujud pelajar yang tidak boleh ditegur dan ibu bapa juga sering menyalahkan guru tanpa menyedari kadang kala anak mereka yang sebenarnya bersalah.
“Oleh itu, masyarakat perlu sedar bukan mudah bagi seorang guru untuk menggalas tanggungjawab mereka dengan bebanan yang semakin bertambah sekarang,” tegasnya.
Menutup perbualan, Nur Dayana mahu semua pihak sedar guru memainkan peranan penting dalam kemajuan negara kerana usaha melahirkan modal insan berkualiti bermula daripada tenaga pengajar di sekolah sehingga ke pensyarah di institusi pengajian tinggi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: