Wednesday, May 18, 2011

Kemuncak adrenalin lelaki perkasa


DWAYNE Johnson (tengah) dalam salah satu adegan filem Fast Five yang kini sedang ditayangkan.


KALI pertama ditayangkan pada tahun 2001, filem The Fast and the Furious telah mencetus ledakan yang cukup hebat di setiap panggung di seluruh dunia.

Apatah lagi, filem yang menampilkan kisah perlumbaan kereta jalanan itu telah dianggap sebagai pencetus revolusi baru dalam pembikinan filem di Hollywood.

Mana tidaknya. Jika sebahagian besar pembikin filem di sana lebih selesa memilih genre seram, komedi mahupun drama, Universal Pictures selaku penerbit begitu yakin dengan konsep penceritaan The Fast and the Furious.

Ditambah pula pada waktu itu kegilaan masyarakat khususnya kaum Adam terhadap perlumbaan kereta jalanan dan tidak dilupakan kereta berkuasa tinggi yang menjadi faktor mengapa filem itu mendapat sambutan hangat.

The Fast and the Furious berjaya mencatatkan kutipan sebanyak AS$207.2 juta (RM627.8 juta) di seluruh dunia. Sesungguhnya rekod itu dianggap sesuatu yang mengejutkan Universal Pictures kerana mereka tidak menyangka ia mendapat kutipan sebanyak itu.

Kejayaan itu juga telah mendorong mereka untuk menerbitkan empat sekuel selepas itu termasuk 2 Fast 2 Furious (2003), The Fast and the Furious: Tokyo Drift (2006), Fast & Furious (2009) dan terbaru, Fast Five yang kini sedang hangat ditayangkan.

Ia sekali gus meletakkan siri filem ini sebagai salah sebuah francais filem terlaris di dunia bersama-sama siri Harry Potter, Spider-Man, Shrek dan James Bond apabila mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak AS$1.4 billion (RM4.24 billion) di seluruh dunia.

Populariti filem itu juga secara tidak langsung berjaya melonjakkan lagi nama dua aktor utamanya, Vin Diesel dan Paul Walker yang menjadi tunjang utama kepada kekuatan francais filem ini.

Gandingan mereka berdua yang memegang watak sebagai Dominic “Dom” Toretto dan Brian O’Conner telah dilihat sebagai pasangan layar perak yang cukup serasi dan diminati ramai.

Selain Vin dan Paul, barisan pelakon asal yang kembali untuk Fast Five termasuklah Jordana Brewster, Tyrese Gibson dan Matt Schulze selain muka-muka baru, Dwayne Johnson, Luis Da Silva, Elsa Pataky dan Joaquim de Almeida.

Kembali bersatu untuk sekuel kelimanya, Fast Five (di Malaysia, tajuknya adalah The Fast and the Furious 5), baik Vin mahupun Paul, masing-masing melahirkan rasa teruja untuk siri kelima ini.

Tugas mencabar Vin Diesel

MEMANG diakui, sebelum membintangi siri filem The Fast and the Furious, nama Vin Diesel tidak begitu dikenali ramai melainkan mereka yang menonton filem Pitch Black (2000).

Namun, sebaik sahaja dia mempamerkan kehebatan lakonannya dalam filem pertama The Fast and the Furious, dengan sekelip mata popularitinya terus memuncak.

Malah, Vin sendiri mengakui akan kebenaran itu dan atas faktor itu, dia mempunyai alasan sendiri untuk kembali ke filem kelima ini.

Untuk pengetahuan, hanya filem 2 Fast 2 Furious sahaja yang tidak melibatkan Vin kerana pada ketika itu dia sibuk dengan penggambaran filem xXx.

“Saya harus akui memang saya cukup teruja dengan filem kelima ini atas pelbagai faktor. Pertamanya, saya dapat kembali berlakon dan terus meneraju filem ini (ketawa).

“Dan, sudah pasti, sebagai produser juga, saya dapat membentangkan idea saya bagi memastikan filem kelima ini tidak akan menjadi klise dan senang diduga oleh para peminat serta penonton,” ujar Vin atau nama sebenarnya, Mark Sinclair Vincent ini bersungguh.

Bagi Vin, walaupun empat filem The Fast and the Furious sebelum ini mendapat kejayaan yang membanggakan, namun, dia tidak mahu filem Fast Five dibuat sambil lewa.

Sekadar berkongsi cerita, pelakon berusia 43 tahun ini memberitahu idea untuk menghasilkan Fast Five timbul selepas filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift.

“Mereka mahukan saya kembali sebagai produser dan membawa sekuel terbaru ini ke arah yang berbeza. Kami tidak mahu mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum ini.

“Kerana itu, filem keempat, Fast & Furious dianggap sebagai pembikinan semula siri ini dan seterusnya, Fast Five. Begitu juga dengan perkembangan kesemua watak yang saya mahukan ia lebih kuat berbanding sebelumnya.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya berani mengatakan pra produksi filem keenamnya akan bermula tidak lama lagi,” kata Vin yang merupakan anak jati New York, tanpa selindung.

Sengaja mahu memberi persekitaran baru untuk Fast Five, Vin menjelaskan lokasi seperti Puerto Rico, Atlanta dan Brazil sengaja dipilih selain merasakan ketiga-tiga lokasi itu sesuai dengan jalan filem Fast Five.

Begitu juga dengan wataknya dalam filem kelima ini yang disifatkan Vin telah melalui fasa baru dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: