BERMULA sebagai sahabat, akhirnya tali itu bertukar kepada ukhuwah muzik. Itu yang terjalin antara grup baharu, 1st Edition dengan penyanyi Aizat.
Lagu Perpisahan Ini yang sedang berkumandang di radio merupakan kolaborasi dua nama ini, sekali gus memperkenalkan nama grup yang ditubuhkan pada 2005 ini.
“Ia bermula dengan persahabatan semasa kami menyertai satu kursus anjuran Karyawan pada tahun 2008. Kami juga sempat memperdengarkan lagu ini kepada Aizat.
“Aizat ada memberi cadangan supaya kami berduet dengannya dan akhirnya lagu ini dirakamkan,” ujar Erol mewakili trio 1st Edition yang berbesar hati dengan penglibatan Aizat.
“Ini platform buat kami untuk pergi lebih jauh,” akui mereka tatkala dijentik perihal menumpang tuah Aizat.
Menjengah sejarah trio ini, awalnya 1st Edition pernah dianggotai oleh lima pemuda.
Kini, hanya Jijo, Erol dan Amar meneruskan perjalanan mereka. Mereka cuma bertiga menggerakkan grup indie pop rock ini.
“1st Edition membawa maksud sesuatu yang baharu dan mempunyai kelainan tersendiri. Itu moto kami dalam bermuzik,” ujar Erol yang merupakan vokalis bersama Jijo.
“Dulu kami masih tidak tahu hala tuju tetapi kini kami sudah menyusun langkah untuk meneruskan misi muzik kami.
“Sasaran kami adalah untuk membawa satu genre muzik dengan tanda dagang 1st Edition,” ujar Amar, si pemain gitar.
Merasakan aliran R&B kurang kukuh dalam arena muzik tempatan kini, mereka mencipta kelainan dengan menampilkan dua orang penyanyi dalam grup ini.
“Kekuatan 1st Edition adalah dari sudut elemen muzik balada berat yang kami bawakan. Pasti menyentuh hati kalau mendengarnya.
“Kami juga mempunyai kekuatan dari segi lirik dan melodi,” akui Erol.
“Kalau nak diikutkan asas dan pengaruh muzik, ketiga-tiga kami mempunyai cabang yang berbeza.
“Ada yang minat nasyid, R&B dan klasikal. Tetapi kami gabungkan semua itu menjadi satu dan mencipta muzik 1st Edition supaya khalayak boleh mendengar dan menilainya,” ujar Jijo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: