Friday, May 20, 2011

Pembahagian adil ikut faraid


PEMBAHAGIAN daging korban paling afdal ialah menyedekahkan kesemua daging korban kepada fakir miskin.


BAGAIMANAKAH pembahagian harta mengikut hukum faraid?

JAWAPAN:

Faraid dari segi bahasa adalah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, ia adalah pembahagian harta seseorang Muslim yang telah meninggal dunia, sama ada meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka, harta peninggalannya akan dibahagikan kepada waris seperti anak, isteri, ibu dan lain-lain menurut hukum Islam.

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang si mati (zakat, nazar dan sebagainya) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta). Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara faraid ialah:

1- Tanah

2- Bangunan (rumah)

3- Barang kemas (emas, perak dan sebagainya)

4- Insurans dan wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak)

5- Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dan sebagainya.

Merujuk kepada persoalan di atas, harta tersebut boleh dibahagikan setelah ditolak hutang, zakat, nazar dan lain-lain dan segala pembiayaan pengurusan jenazah.

Bahagian untuk waris si mati yang meninggalkan anak perempuan lebih daripada seorang ialah anak-anak perempuan tersebut berkongsi 2/3 daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapanya yang meninggal dunia. Adapun nafkah untuk adik-adik perempuan yang kematian suami ialah mewarisi harta yang ditinggalkan oleh suaminya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua orang, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah separuh harta itu.

Dan bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang dari keduanya seperenam dari harta yang harta yang ditinggalkan jika si mati ada anak. Tetapi jika si mati tiada anak, sedang yang mewarisinya hanyalah ibu bapanya, maka bahagian ibunya sepertiga.

Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa saudara, maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya lebih dekat manfaaatnya kepada kamu. Ini adalah ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa’ : Ayat 11).

Salah satu hikmah Allah menetapkan ilmu faraid adalah untuk mengelakkan berlakunya perebutan harta pusaka peninggalan si mati. Semua ahli waris layak mendapat hak masing-masing. Ini adalah keadilan menurut Islam yang perlu difahami bagi umat yang berakal.

Afdal sedekah semua bahagian

BAGAIMANAKAH jika tulang daging korban itu tidak ditanam atau dibakar? Kepada siapakah kepala, tulang, ekor, perut dan kaki haiwan korban perlu dibahagikan?

JAWAPAN:

Tiada dalil yang sahih memerintahkan agar menanam tulang daripada akikah dan korban. Ia berdasarkan kepada anggapan masyarakat Nusantara yang menganggap masyarakat sentiasa menjaga kebersihan kerana tulang yang terbiar akan menimbulkan bau yang tidak menyenangkan dan mengundang pencemaran.

Dalam hal pengurusan pembahagian daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Paling afdal ialah menyedekahkan kesemua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit daripadanya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunah Nabi SAW.

Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah daripada daging korbannya.” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah RA / al-Jami' al-Saghir, No. 737).

Tidak harus orang yang melakukan korban menjual sebarang bahagian daripada binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Ia berdasarkan Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

“Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiada pahala korban baginya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Begitu juga tidak harus menjadikan kulit dan bulu haiwan korban sebagai upah tukang sembelih. Upah hendaklah datang daripada sumber yang lain dan bukan daripada binatang korban. Kesemua ini harus disedekahkan kerana ia telah termasuk dalam daging korban.

Diriwayatkan daripada Saidina Ali yang menceritakan: “Rasulullah SAW memerintahku supaya menguruskan (penyembelihan) unta baginda dan menyedekahkan daging, kulit serta kain atau pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih upah dari unta itu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Namun, jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wangnya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin (bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.

Pihak yang diberi tanggungjawab untuk mengagihkan daging korban itu perlu mengedarkan daging kepada mereka yang layak dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: