Friday, May 20, 2011

Pertukaran budaya dua negara


SEBAHAGIAN daripada pelajar Sekolah Tinggi Kokuryo bersemangat selepas mempersembahkan tarian tradisi masyarakat Jepun pada majlis penutup.


DEWAN Sekolah Sri Garden di Taman Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini riuh dengan suara sekumpulan pelajar. Mereka begitu asyik bercerita tentang pengalaman masing-masing.

Ada pula yang sekadar tersenyum sambil tekun mendengar kisah yang dikongsi sahabat mereka itu. Di satu sudut lain, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menyeka air mata yang mengalir di pipi.

Tangisnya sedikit teresak-esak. Rakan di sebelah yang berbaju oren pantas memainkan peranan memujuk gadis bermata sepet itu. Sambil memandang antara satu sama lain, kedua-duanya terus berpelukan. Erat seperti tidak mahu dilepaskan.

Situasi itu mampu menyentuh hati sesiapa yang melihatnya. Walaupun baru sahaja kenal selama tiga hari, tetapi hubungan yang terjalin ibarat persahabatan yang sudah terikat bertahun lamanya.

Itulah yang dialami kumpulan pelajar dari daerah Kyoto, Jepun yang menyertai Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan antara Sekolah Tinggi Hokuryo dengan Sri Garden.

Sejak dimulakan pada tahun 2004, program berkenaan sudah pun memasuki tahun kelapan penganjurannya. Ia bertujuan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui nilai-nilai unik masyarakat Malaysia melalui penglibatan para pelajarnya.

Bagi Nao Yoshinaga, 17, kedatangannya buat kali pertama ke Malaysia memberi persepsi positif kepadanya. Dia mengakui sangat gembira kerana terpilih menyertai program pertukaran pelajar tersebut.

“Duduk bersama keluarga rakan tempatan yang baru dikenali memberi satu pengalaman baru yang cukup berharga untuk saya. Malah, saya tidak langsung berasa janggal kerana mereka menganggap saya seperti keluarga sendiri.

“Paling seronok apabila menikmati keenakan masakan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan pelbagai lauk-pauk kampung. Walaupun agak pedas tetapi, ia sedap dan menyelerakan,” kata Yoshinaga sambil tersenyum memandang rakan barunya, Sharon Wong, 16.

Teladan contoh


AKSI rancak para pelajar Jepun ketika membuat persembahan tarian secara berkumpulan.


Menurut Sharon, Yoshinaga dan kumpulan pelajar dari Sekolah Tinggi Hokuryo, masing-masing menunjukkan keperibadian yang baik untuk dicontohi.

Jelasnya, sewaktu tinggal bersama keluarga angkat di Malaysia, mereka begitu baik dan bersopan santun dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Walaupun agak susah untuk berkomunikasi kerana mereka kurang mahir berbahasa Inggeris tetapi, ia tidak menghalang hubungan mesra antara kami.

“Bahkan, mereka tetap berusaha untuk berkomunikasi sama ada menggunakan bahasa tubuh mahu pun menulisnya di kertas,” demikian pujian jujur Sharon terhadap sikap pelajar dari Kyoto itu.

Pada program tersebut, seramai 73 orang pelajar dari Sekolah Tinggi Hokuryo terpilih untuk mengenali budaya masyarakat di Malaysia. Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengetua sekolah tersebut, Toshihiko Kono.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Sri Garden, Peter Wells mengakui kehadiran rombongan pelajar dari Sekolah Tinggi Hokuryo tahun ini mencatat satu lagi episod indah dalam hubungan jangka panjang yang terjalin antara mereka sejak tahun 2004.

“Apabila bercakap dengan guru dan pelajar, melihat apa yang mereka tulis di kertas, blog mahu pun laman web sosial serta menyaksikan rakaman video yang dibuat, semuanya menunjukkan mereka melalui satu pengalaman yang berharga.

“Pelajar Sri Garden yang terlibat dalam program ini memainkan peranan sebagai duta kecil negara bagi menyalurkan maklumat mengenai Malaysia kepada rakan-rakan dari Jepun yang baru dikenali,” ujar Wells yang dilihat begitu sporting apabila diajak menari bersama dalam persembahan kebudayaan yang dipersembahkan para pelajar.

Jati diri


PERTEMBUNGAN nilai tradisi antara para pelajar dua buah negara sememangnya memeriahkan suasana majlis.


Tambah beliau, program seperti pertukaran pelajar mampu memberi kesan positif dalam mendidik golongan muda agar mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi.

“Keadaan ini sekali gus boleh melahirkan bangsa yang mampu bersaing dalam apa jua aspek di persada dunia,” tegasnya sambil memberitahu bahawa dengan mempelajari budaya sesuatu bangsa, ia membuatkan kita memahami cara mereka berfikir selain menjadikan kita lebih menghargai tanahair sendiri.

Perkara ini diakui oleh Nur Najihah Jamri, 16, pelajar Sri Garden yang menganggap tanggungjawab yang digalas mereka amat besar.

Sebagai tuan rumah, mereka perlu menunjukkan keistimewaan yang ada di Malaysia agar ia menjadi ingatan yang tidak dilupakan kepada pelajar dari Jepun.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Menengah Sri Garden, Datin Christine Chiu berkata, program antarabangsa yang dianjurkan saban tahun itu hanya boleh disertai pelajar yang berjaya melepasi ujian kelayakan seperti yang telah ditetapkan pihak sekolah.

Tidak ketinggalan, pelajar yang telah lulus pula dikehendaki mengikuti kurikulum khas sebagai persediaan untuk terbang ke Jepun dan tinggal bersama keluarga angkat di sana.

“Bagi tahun 2011, sekurang-kurangnya 35 orang pelajar Sri Garden akan dipilih untuk menyertai program pertukaran pelajar. Kesemua mereka terdiri daripada pelajar yang sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang di sekolah,” ungkapnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: