Monday, May 23, 2011

Pelan strategik robot kebangsaan


Malaysia perlu segera mengorak langkah menjadikan teknologi robotik sebagai agenda negara.


BEBERAPA dekad lepas, tiada siapa yang terfikir Malaysia boleh maju dalam bidang teknologi seperti yang dikecapi sekarang.

Aplikasi teknologi dimanfaatkan di mana-mana sektor termasuk pembuatan automotif dan kilang-kilang lain. Pada masa sama, pembangunan modal insan dalam teknologi tinggi juga semakin memberangsangkan.

Namun bagaimana pula dengan sektor industri robotik negara?

Satu daripada bidang teknologi tinggi yang semakin diperlukan khususnya dalam sektor industri ialah penggunaan robot.

Robot yang dimaksudkan tidak semestinya menyerupai bentuk tubuh manusia sepenuhnya (humanoid) tetapi dalam bentuk tangan atau yang diinspirasikan daripada haiwan sebagai contoh, perlu dalam kerja-kerja yang sukar dilakukan oleh manusia.

Tatkala ini, negara-negara maju sedang berlumba-lumba membangunkan sektor industri robotik mereka sejajar dengan keperluan dan penggunaan teknologi tersebut dalam kehidupan seharian, justeru bagaimana dengan Malaysia.

Menurut Pengerusi Kumpulan Kepentingan Automasi dan Robotik Malaysia (Myraig), Prof. Dr. Ishkandar Baharin, negara-negara maju yang membangunkan sektor industri robotik kini bukan di peringkat kajian serta pembanguan semata-mata lagi.

"Mereka (negara maju) telah jauh ke hadapan, malah telah sampai tahap mempunyai jenama robotik nasional tersendiri.

"Malah teknologi robotik yang dihasilkan oleh mereka telah diwartakan sebagai aset dan khazanah terpenting negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Teknologi Automasi dan Robotik Antarabangsa 2011 (Automex) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Tegas beliau, Malaysia juga perlu mengorak langkah sama demi memastikan negara tidak ketinggalan di dalam mengikuti perkembangan teknologi tersebut.

Ujar beliau lagi, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan gergasi Asia seperti Jepun telah mendahului dalam teknologi robotik kerana sektor industri di sana mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan.

"Hal ini kerana kerajaan mereka menyedari potensi serta kepentingan sektor industri robotik dalam menjana pendapatan tinggi terhadap negara mereka.

"Mereka juga telah mendapat kerjasama daripada ahli akademik dan industri bagi membangunkan industri robotik melalui perancangan induk (master plan) yang jelas," katanya.

Justeru, negara ini perlu segera memastikan turut memiliki jenama robot nasional setanding dengan negara-negara maju melalui pelaksanaan pelan yang terancang.

"Pada persidangan kali ini, kami telah mengumpul pendapat serta rancangan pemain-pemain utama dalam sektor industri robotik dan automasi bagi sama-sama membantu mengemukakan formula serta kertas kerja bagi menghasilkan jenama robot nasional negara," ujarnya.

MYRAIG yang dianggotai pihak industri robotik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta menerima bantuan agensi kerajaan seperti Sirim Berhad turut memainkan peranan dalam memastikan impian tersebut akan tercapai.

Ditubuhkan pada bulan Februari tahun lalu, MYRAIG merupakan antara kumpulan yang bernaung di bawah Persatuan Jurutera dan Teknologi Malaysia (MSET).

Sasaran MYRAIG adakah untuk menubuhkan sebuah landasan bagi jurutera, pakar teknologi serta pemain industri untuk duduk semeja berbincang berkenaan program serta polisi dalam sektor industri automasi dan robotik negara.

Presiden MSET, Prof. Datuk Dr. Abang Abdullah Abang Ali menjelaskan, sebuah jaringan usaha sama yang terdiri daripada pihak kerajaan, ahli akademik, pihak industri dan kumpulan sosial lain berkenaan agenda robotik dan automasi perlu segera diusahakan.

"Pihak kami juga sedang berusaha untuk menjadikan sektor ini menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya.

Malah, pelancaran e-portal bagi MSET-MYRAG juga dilihat mampu mencipta usahasama erat antara pihak industri yang memiliki kemahiran automasi dan robotik, agensi kerjaan .

Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hub pemasaran sektor industri automasi dan robotik.

Agenda utama MYRAIG juga mahu mewujudkan Agenda Strategi Robotik Kebangsaan (NSRA) dan Platform Teknologi Robotik Malaysia (MRTP) sebagai pemangkin dalam pengembangan inovasi industri robotik negara.

Industri robotik memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Robotik atau automasi digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor dan industri seperti agrokultur, pertahanan negara, keselamatan dalaman, kesihatan, pendidikan, sumber manusia dan kegunaan umum.

Sebagai contoh, senario yang terkini, beberapa negara maju telah berjaya mencipta pelbagai jenis robot menggantikan tenaga manusia di kilang, tugas-tugas perisikan tentera, robot pengembara, pemeriksa malah sebagai tenaga pengajar.

Justeru, Malaysia juga seharusnya memiliki teknologi robotik ini sebagai aset negara malah juga mengeluarkan jenama robotik nasional bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan dengan rancak dan berjaya di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: