Monday, May 23, 2011

Airboat JPAM guna kepakaran tempatan


ABDUL Halim Abdul Hamid (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Izhar Abd. Hamid (kanan) sebelum menaiki Airboat bagi tujuan pengujian keupayaan di Pusat rekreasi Pantai Kamloon, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru baru ini.


SELEPAS pihak Mega Utusan Malaysia menyiarkan artikel mengenai hoverkraf ciptaan Zulkifli Haron dari Zull Design Autotronic Sdn. Bhd., baru-baru ini, pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah mengirimkan satu e-mel memberitahu mereka juga ada mencipta kenderaan yang sama dinamakan Airboat.

Malah e-mel dari JPAM itu mengatakan mereka adalah yang pertama mencipta kenderaan tersebut di negara ini bagi kegunaan operasi mencari dan menyelamat terutama ketika banjir.

Berbeza dengan Zulkifli yang membangunkan sendiri hoverkrafnya, Airboat JPAM dibina oleh dua syarikat bumiputera tempatan yang berpangkalan di Padang Serai, Kulim, Kedah dengan bantuan daripada mekanik JPAM.

Apa yang penting kedua-duanya telah menyumbang kepada budaya inovasi di negara ini sambil membuktikan anak tempatan juga mampu menghasilkan produk berkualiti setanding dengan negara lain.

Airboat ciptaan JPAM dengan kerjasama dua syarikat tempatan itu menggunakan aluminium seberat 600 kilogram.

Pada sesi pandu uji yang berlangsung di Sungai Muda dekat Pantai Kamloon, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini jelas memperlihatkan keupayaan Airboat tersebut.

Ia mampu berfungsi dengan baik dan dijangka dapat digunakan sebaiknya dalam operasi menyelamat mangsa banjir atau bencana alam yang dikendalikan JPAM.

Menurut Komandan Pusat Latihan JPAM Wilayah Utara, Mohd. Noor Hassan Ashari Sulaiman, kejayaan mencipta Airboat itu adalah inovasi JPAM ke atas versi pertama bot itu yang dibina pada 2005.

''Idea untuk mencipta Airboat ini timbul apabila melihat kesukaran yang dialami anggota untuk melaksanakan operasi menyelamat di kawasan air cetek seperti taman perumahan ketika banjir yang mengakibatkan kipas bot sering rosak.

''Jadi saya memikirkan konsep sebuah bot yang boleh meluncur di atas air dan mampu bergerak di atas air cetek serta kawasan yang sukar dilalui bot biasa," katanya ketika ditemui di Pantai Kamloon, baru-baru ini.

Tambahnya, pembinaan Airboat itu mengambil kira aspek kelasakan dan apungan serta keupayaan mengangkut mangsa banjir atau tragedi bagi memudahkan operasi menyelamat dijalankan.

Versi pertama Airboat dibina pada 2006 oleh Ketua Mekanik JPAM iaitu Mohd. Azizi Ngah yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan kapasiti penumpang seramai lima orang. Pada permulaan ia menggunakan enjin kereta Perodua Kancil 660 cc.

Mohd. Noor berkata, bagi meningkatkan keupayaan, pihaknya memperbaiki bot itu dan tampil dengan idea lebih menarik untuk versi kedua Airboat yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan selepas dimulakan pada penghujung tahun 2010.

Jelasnya, versi kedua itu lebih besar dan menggunakan enjin terpakai jenis Toyota dengan kapasiti enjin 4000 cc dan mampu memuatkan lapan penumpang serta kelajuan enjin sehingga 20 knot.

"Kapasiti maksimum Airboat itu mencecah 15 penumpang selain boleh memecut sehingga 50 knot tapi kita ikut prosedur standard operasi menyelamat iaitu lapan orang," katanya.

Kos keseluruhan untuk membina Airboat itu sebanyak RM90,000 dan ia lebih murah berbanding yang diimport dari Amerika Syarikat iaitu sekitar RM280,000.

Katanya lagi, diharapkan Airboat itu mampu menjadi peralatan menyelamat yang lebih efektif kepada JPAM dan mampu diperluaskan ke jabatan-jabatan serta agensi penyelamat lain di Malaysia.

Sementara, itu Pengurus IA Auto Enterprise, Izhar Abdul Hamid yang mereka enjin Airboat itu berkata, dia terpaksa membuat lapan percubaan untuk mendapatkan konsep yang sesuai dengan bot dengan itu yang pada mulanya menggunakan sistem belting.

Seterusnya dia mengubah suai enjin itu menggunakan sistem timing belt namun masih tidak mampu menampung bot yang agak berat itu serta kuasa pecutan masih kurang.

"Saya mula mengkaji sistem yang sesuai dengan berat badan bot serta kuasa pecutan yang boleh dicapai oleh Airboat ini sebelum tampil dengan apa yang ada hari ini.

"Namun begitu beberapa penambahbaikan masih perlu dijalankan antaranya memasang gear undur kepada bot tersebut dan beberapa perubahan lain," katanya.

Perkara itu diakui Mejar (B) Jaharudin Md. Arjuni yang bertanggungjawab membina badan bot aluminium itu menggunakan bahan yang lasak sesuai dengan peranannya untuk tugasan berat.

Jelas pemilik JT Gemilang Sdn. Bhd. itu, untuk dinding bot dia menggunakan aluminium setebal tiga milimeter (mm) manakala untuk bahagian lantai, aluminium empat mm digunakan.

''Kerja memateri dinding dan lantai itu dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan ia mampu terapung di air serta meluncur dengan sempurna di permukaan air.

''Jika Airboat ini mendapat kelulusan JPAM, kami akan berusaha menambah baik beberapa aspek lagi sebelum membuat unit-unit seterusnya," katanya.

1 comment:

  1. sebenarnya JPAM bukanlah yang pertama mencipta kenderaan ini di malaysia.cuba tuan cari didalam warta harta intelek malaysia untuk rekabentuk industri. ada terdapat rekabentuk yang sama.pemiliknya bernama noor azizi abd.aziz.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: