Monday, May 23, 2011

Cabaran getir 'angkasawan'


Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh calon PCA1M.


Walaupun Angkasawan Negara , Mejar Dr. Faiz Khaled belum lagi ke angkasa tetapi Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia (PCA1M) telah menemui juaranya di Langkawi, baru-baru ini.

Jangan salah sangka, PCA bukan mencari calon angkasawan tetapi suatu program yang memberikan hanya sedikit cabaran mengenai angkasa.

Justeru Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM) ditubuhkan bawah naungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meneruskan aspirasi kerajaan bagi memupuk minat dan mendidik golongan belia menceburkan diri di dalam sains angkasa.

PCA1M fasa kedua anjuran YAM diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zailani Samberid, Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkifly Yusoff dan Dr. Faiz.

Zailani berkata, YAM bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa penting penyelidikan angkasa.

"Ini termasuk penyelidikan seperti mikrograviti, perubatan, pertanian dan satelit komunikasi," katanya.

Sementara itu Mejar Dr. Faiz berkata PCA mensasarkan belia berusia 16 tahun ke atas bagi memberikan pendedahan angkasa kepada golongan berkenaan.

"Secara tidak langsung ini akan dapat menerapkan kualiti dan ciri positif angkasawan yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian.

"Misalnya ujian larian 3.5 kilometer (km) selama 25 minit bagi lelaki dan 30 minit bagi perempuan sebagai satu cara menekankan mengenai kesihatan," katanya.

Ini merupakan salah satu aktiviti dalam ujian fasa 1 yang diadakan di seluruh negara bagi mencari lima peserta yang terbaik.

PCA1M bertujuan untuk mewujudkan kesedaran umum dan meneruskan kesinambungan Program Angkasawan Negara dan program program yang dilaksanakan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA).

Ini sebagai susulan kepada kejayaan negara berjaya melatih dua orang angkasawan dan menghantar seorang melaksanakan misi saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa atau International Space Station (ISS).

Sementara itu, Dr. Zulkifli berkata, PCA1M memberi peluang kepada mereka yang berumur 16 tahun ke atas bagi merasai pengalaman unik mengenai kaedah pemilihan calon angkasawan.

Program berkenaan dilaksanakan oleh YAM menjelajah ke seluruh negara seiring dengan program Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) yang diadakan tahun lepas. Ia terbahagi kepada Zon iaitu Sabah, Pantai Timur (di Terengganu) , Sarawak, Zon Selatan (Johor), Zon Utara (Perlis) dan akhirnya Kuala Lumpur.

"Hanya tiga kriteria utama diperlukan untuk melayakkan diri ke fasa pertama iaitu warganegara, berusia 16 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.

"Mereka hanya perlu melepasi larian dengan masa yang ditetapkan untuk ke peringkat seterusnya dalam fasa pertama," katanya.

Hadiah utama ialah pengalaman menjalani latihan angkasawan di Star City Rusia.

Sementara itu pakar psikologi yang menjadi sebahagian panel pemilih, Dr. Geshina Ayu Mat Saad berkata, ciri yang dicari adalah individu yang mempunyai identiti murni.

"Peserta yang ada kini mula bersaing dengan diri sendiri dan bukannya dengan rakan-rakan lain.

"Mereka berusaha membaiki diri sendiri semangat dan hidup bermasyarakat biarpun datang daripada latar belakang yang berlainan," katanya yang juga pensyarah di Jabatan Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sepanjang program, sebanyak 20 aspek diperhatikan meliputi aspek fizikal dan fikiran.

Buat julung kalinya PCA1M memilih seorang perunding kewangan di Malaysian Assurance Alliance Bhd (MAA), Awang Shahrizan Awang Abu Bakar, 28 sebagai juara.

Beliau mara ke fasa kedua setelah mengalahkan kira-kira 38,000 calon PCA1M yang lain pada fasa pertama tahun lepas sekali gus memenangi hadiah utama.

"Saya benar-benar terkejut dipilih sebagai juara kerana tidak pernah disebut-sebut sebagai peserta yang berpotensi untuk menang.

"Saya merasa cabaran yang dilalui sangat sengit lebih-lebih lagi untuk bersaing dengan 38,000 calon dari seluruh negara pada PCA1M fasa pertama tahun lepas," katanya.

Awang menyifatkan mungkin faktor kemenangannya kerana beliau boleh berkomunikasi dengan semua pihak dan bekerja dalam satu pasukan.

Selain itu beliau juga sering memberi semangat kepada kawan-kawan dan sanggup belajar sesuatu perkara baru dan sentiasa meminta bantuan daripada rakan-rakan sekiranya menghadapi kesukaran semasa program.

Berkelulusan Diploma dalam Teknologi Maklumat dari Kolej Yayasan Melaka, Awang berkata, pengalamannya menyertai latihan Wataniah banyak membantu mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam PCA1M fasa kedua.

"Pengalaman yang agak mencabar semasa PCA1M fasa kedua ialah aktiviti Ikhtiar Hidup kerana peserta tidak boleh tidur satu malam dan melakukan pelbagai aktiviti," katanya.

Antaranya memasak makanan dengan sumber terhad, melakukan aksi serang hendap ala-tentera, mengawal kawasan ditetapkan penganjur, melakukan senaman tekan tubi dan berendam dalam air laut sekiranya melakukan kesalahan.

Ditanya mengenai penyertaannya dalam PCA1M, Awang berkata semuanya tidak dirancang kerana beliau hanya ingin mencuba.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: