Wednesday, May 18, 2011

Nilai tambah BSN Zing PLUSMiles


KESESAKAN yang biasa terjadi di plaza tol pada waktu puncak adalah senario yang mahu dielakkan pengguna lebuh raya.


BERDEPAN kesesakan lalu lintas di plaza tol tentu sekali akan memeningkan kepala seseorang apatah lagi kalau terpaksa menunggu terlalu lama untuk membayar tol.

Lebih membingungkan apabila seseorang pemandu yang menggunakan laluan Touch n Go tidak mempunyai nilai mencukupi sehingga menimbulkan kemarahan pengguna kenderaan lain yang sudah menunggu giliran di belakangnya.

Menyedari kepentingan itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Touch n Go Sdn. Bhd. (TnG) dan PLUS Expressways Bhd. (PLUS) baru-baru ini telah melancarkan kad BSN Zing PLUSMiles untuk memenuhi kehendak pengguna.

Kad BSN Zing PLUSMiles bukan sahaja akan memudahkan dan menjimatkan masa pengguna semasa menggunakan laluan TnG malah menawarkan ganjaran rebat tol serta mata tambahan kepada pemandu yang menggunakan kad itu di lebuh raya PLUS.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, kad yang menampilkan kombinasi ciri-ciri tambah nilai automatik TNG dan program PLUSMiles dalam satu kad itu merupakan satu inisiatif tambahan kepada para pemegang kad kredit BSN yang baru dan sedia ada.

"Kad BSN Zing PLUSMiles mempunyai fungsi tambah nilai automatik yang dihubungkan kepada kad kredit Visa atau Mastercard BSN.

"Apabila baki nilai kad BSN Zing PLUSMiles ini kurang daripada RM50 ketika melalui mana-mana lorong tol, nilai kad akan ditambah RM100 secara automatik dan dicaj ke akaun pemegang kad kredit BSN," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kad tersebut dan kempen Happy Driving dengan Kad BSN Zing PLUSMiles baru-baru ini di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Kempen itu akan berlangsung sehingga 30 September ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif TnG, Hasni Zarina Mohamed Khan dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Tajul Azwa Bani Hashim.

Adinan menambah, berbanding kad-kad Zing lain, pemegang kad kredit BSN Visa atau Mastercard boleh memohon sehingga lima kad BSN Zing PLUSMiles untuk berkongsi bersama ahli keluarga yang lain.

Katanya, BSN merupakan bank pertama di negara ini yang memperkenalkan konsep lima kad Zing yang dihubungkan kepada satu kad kredit.

"Selain daripada itu, pemegang kad BSN Zing PLUSMiles turut berpeluang menikmati pelbagai keistimewaan di bawah Program PLUSMiles termasuk rebat tol sebanyak lima peratus, diskaun sehingga 30 peratus daripada rakan niaganya dan mata ganjaran yang boleh ditukar kepada tambah nilai percuma.


ADINAN (tiga dari kiri) melancarkan kad BSN Zing PLUSMiles baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Hasni Zarina (dua dari kiri) dan Tajul Azwa (kiri).


"Para pengguna kad juga layak menikmati rebat tol 20 peratus di bawah Program Rebat Pengguna Kerap Lebuh Raya tajaan kerajaan untuk semua pengguna kad TNG di semua tol lebuh raya, dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan," ujarnya.

Katanya, pengguna boleh menggunakan kad tersebut bersama alat SmartTAG, pengangkutan awam, tempat letak kereta, pembayaran runcit atau di mana sahaja lambang TnG dipamerkan.

BSN menyasarkan sebanyak 30,000 kad BSN Zing PLUSMiles dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Dalam pada itu, sepanjang kempen Happy Driving Dengan Kad BSN Zing PlusMiles, para pemegang kad kredit BSN layak mendapat satu kad Zing percuma dan pengecualian caj tambah nilai.

Bagi menggalakkan pemegang kad kredit BSN memohon kad tersebut, BSN turut mengadakan peraduan bulanan untuk memenangi iPad dan SmartTAG.

Kempen promosi akan berlangsung sehingga 30 September ini dan untuk keterangan lanjut boleh melayari laman web www.mybsn.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: