Wednesday, May 18, 2011

Q-Tap perintis ujian perisian


DARI kiri: Mastura dan Gopi Kurup menandatangani memorandum persefahaman (MOU) semasa pelancaran Q-TAP sambil disaksikan Fadillah (berdiri ditengah).


LEMBAGA Ujian Perisian Malaysia (MSTB) baru-baru ini melancarkan Program Bantuan Ujian-Ujian (Q-Tap) yang dirangka khusus untuk membantu syarikat dan organisasi tempatan memperoleh kemahiran ujian perisian.

Program yang diperkenalkan di bawah Pusat Ujian Perisian Malaysia (MSTH) itu dijangka mampu membangunkan keupayaan terhadap syarikat dan organisasi tempatan melaksanakan ujian profesional ke atas produk mereka sendiri.

Presiden MSTB, Mastura Abu Samah berkata, negara ini mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pusat sehenti serantau bagi ujian perisian dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Industri ujian perisian sedang berkembang dengan pesat di Malaysia dan ia mempunyai nilai kritikal kerana boleh menghasilkan pulangan berfaedah kepada negara.

"Nilai bersih pasaran ujian perisian global pula dianggarkan berjumlah AS$18.3 bilion (RM56 bilion) menjelang tahun 2013," katanya.

Majlis yang dilancarkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut disaksikan Pengarah MSTB, Amiruddin Jaafar Sidek, Pengarah Urusan Mesiniaga Berhad, Fathil Sulaiman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan TM, Dr. Gopi Kurup.

Mastura menambah, program berkenaan meliputi latihan dan pensijilan ahli pasukan ujian perisian daripada syarikat serta organisasi yang turut serta.

Sepanjang tempoh program, beliau menjelaskan, peserta akan didedahkan kepada kelengkapan dan metodologi ujian yang diguna pakai di Q-Lab, malah bantuan rundingan turut akan diperoleh daripada pakar-pakar berpengalaman.

"Q-Tap juga bertujuan membantu syarikat dan organisasi terlibat untuk melahirkan profesional bertauliah dan berkemahiran tinggi dalam bidang ujian perisian dan jaminan kualiti perisian (SOA).

"Pengkhususan dalam bidang ini akan menyumbang ke arah usaha menunaikan cita-cita negara untuk mencapai status ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi," ujarnya lagi.

Mastura menambah, ia sejajar dengan pendekatan yang diterapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) berasaskan 10 Premis Utama yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya, industri ujian perisian mempunyai nilai strategik di Malaysia dari segi pulangan wang langsung dan pertumbuhan industri lain menerusi peningkatan kualiti produk, perkhidmatan serta budaya kerja.

"Pertumbuhan permintaan bagi perkhidmatan ujian perisian dijangka meningkat dengan pelaksanaan perisian dalam semua sektor," ujarnya.

Sementara itu, Mastura turut mengumumkan penganjuran persidangan Softec 2011 bermula 6 hingga 8 Julai ini dengan bertemakan Uji Dengan Betul.

"Ia akan merangkumi satu siri tutorial dan bengkel yang bakal menampilkan lapan penceramah terkemuka dunia dalam bidang ujian perisian dan jaminan kualiti perisian.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ia menunjukkan persidangan Softec bakal memberikan kesan positif di peringkat antarabangsa. Ia turut diiktiraf oleh komuniti ujian perisian dan SQA global," katanya.

Softec 2011 bertujuan memberi peluang terbaik kepada pemain industri ujian perisian negara berinteraksi dan mendapatkan maklumat terkini daripada pakar, pengamal dan pemikir utama dunia dalam bidang ujian perisian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: