Wednesday, May 18, 2011

Ketagihan teknologi menular di Asia


PELBAGAI aplikasi dan peranti elektronik terkini telah mencetus ketagihan terhadap 'kehidupan' baru secara dalam talian.


SEORANG bayi perempuan telah menemui ajal apabila ibu bapanya sibuk membesarkan 'anak' dalam aplikasi dunia maya. Dalam satu kes lain, seorang kanak-kanak lelaki telah membunuh diri selepas membunuh ibunya kerana dimarahi akibat bermain permainan video berlebihan.

Senario tersebut merupakan sebahagian daripada kisah tragis yang menunjukkan peningkatan ketagihan teknologi telah menular di rantau Asia.

Lebih 100 juta telefon pintar dijual di rantau Asia Pasifik setiap tahun dan dijangka akan meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh lima tahun. Ia merupakan pasaran terbesar bagi peranti mudah alih terkini.

Seiring kemajuan industri telekomunikasi, laman jaringan sosial dan permainan mudah alih turut mengalami transformasi apabila semakin mendapat tempat malah kebanyakan golongan muda Asia sukar membiasakan diri tanpa peranti mudah alih mahupun komputer.

Resah tanpa Twitter

"Saya rasa, anda boleh mengatakan bahawa saya ini ketagihan," akui seorang pelajar universiti di Singapura,

Hanna Ruslana lebih kerap berhubung dengan rakan universiti melalui Twitter berbanding secara berdepan di kampus.

Pelajar universiti itu sering melakukan semakan melalui peranti iPhone miliknya sekurang-kurangnya 15 minit sekali dan menyelenggara akaun Facebook, Twitter, Foursquare dan LinkedIn.

Apabila Twitter tidak dapat digunakan, dia dan rakan-rakannya akan menunggu dalam keadaan cemas.

Bagaimanapun, keadaan tersebut masih boleh dianggap kecil berbanding kisah tragis di Korea Selatan yang merupakan salah sebuah negara yang mempunyai masyarakat pengguna peranti elektronik terbesar.

Pada Disember lalu, seorang ibu telah ditahan kerana didakwa menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun ketika sibuk bermain permainan di internet.

Lebih memilukan, seorang remaja berusia 15 tahun di Busan, Korea Selatan telah membunuh diri selepas membunuh ibunya kerana memarahi dia mengenai tabiat permainannya.

Pada bulan Mei 2010 pula, seorang lelaki berusia 41 tahun dari negara yang sama telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun selepas dia dan isterinya membiarkan bayi perempuan mereka menemui ajal akibat pemakanan tidak seimbang sedangkan mereka sibuk membesarkan 'anak' dalam aplikasi siber.

Kerajaan Seoul menjangkakan terdapat dua juta penagih web dalam negara yang mempunyai populasi kira-kira 50 juta penduduk itu.

Bermula pada tahun ini, mereka yang terdedah kepada tabiat ketagihan itu akan diberikan perisian percuma untuk mengehadkan penggunaan laman web.

Keadaan itu juga telah membuatkan Parlimen negara tersebut mempertimbangkan perangkaan undang-undang bagi mengharamkan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah bermain permainan dalam talian di antara tengah malam hingga 6 pagi.

Gajet untuk komunikasi


KOREA SELATAN sedang mempertimbangkan undang-undang untuk mengehadkan tempoh masa kanak-kanak bermain permainan dalam talian.


Di Singapura pula, satu kaji selidik yang dilaksanakan terhadap 600 pelajar universiti dan politeknik awal tahun ini menunjukkan 88 peratus daripada mereka gemar berkomunikasi melalui teknologi berbanding bersemuka.

Dalam republik pulau yang mencatatkan statistik 1.4 telefon bimbit bagi setiap orang itu, lebih 40 peratus responden menghabiskan masa mereka lebih daripada empat jam sehari terpaku di telefon bimbit dan kebanyakannya mempunyai sambungan web.

Pengarah klinikal perkhidmatan pengurusan kesakitan secara peribadi, Hospital Raffles, Ho Kok Yuen menyamakan rasa ketagihan penagih teknologi menyamai penagih dadah dan ia memerlukan rawatan perubatan tertentu.

"Jadi, ia akan menyebabkan sifat abnormal, iaitu kelakuan bernafsu tersebut akan menjurus kepada memudaratkan seseorang atau masyarakat di sekelilingnya," kata Kok Yuen.

Di Jepun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah memberi amaran ketagihan golongan muda terhadap permainan dan telefon bimbit boleh membuatkan mereka bersikap sambil lewa dan merosakkan perhubungan sosial serta kesihatan.

Pusat Perhubungan Hal Ehwal Pengguna Kebangsaan Jepun berkata, kes-kes perundingan berkaitan permainan dalam talian telah meningkat kepada 1,692 pada tahun 2010.

Ia hanya melibatkan 1,437 kes pada tahun 2009 dan kesemuanya melibatkan golongan muda.

Di Malaysia, penduduk telah menunjukkan minat mendalam terhadap laman jaringan sosial.

Pada November lalu, satu kajian yang dikeluarkan firma penyelidik global, TNS, mendedahkan, penduduk Malaysia merupakan orang yang paling bersosial di Internet iaitu dengan mempunyai purata 233 sahabat di rangkaian mereka berbanding 68 di China dan 29 Jepun.

Pusat Ketagihan Sains, Universiti Malaya, berkata, mereka menerima kira-kira 50 kes apabila memulakan kajian berhubung ketagihan terhadap laman rangkaian sosial, Facebook pada tahun 2009.

Pada tahun lalu, kes-kes telah meningkat sehingga 70 dan kebanyakannya melibatkan golongan muda.

"Ia lebih biasa dalam kalangan golongan muda kerana mereka mempunyai pendedahan kepada Internet dan laman rangkaian sosial.

"Mereka lebih cenderung terikat kepada komputer dan mengabaikan cara bermasyarakat," kata Timbalan Ketua Koordinator Pusat berkenaan, Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: