Thursday, May 5, 2011

Misi serampang dua mata K Club


MANTAP... Pasukan K Club FC bergambar di K Club, Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - K Club FC akan turun beraksi pada Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! dengan misi melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Mei depan.

Biarpun membuat penampilan pertama, namun pasukan yang mewakili kelab sukan dan istirehat dikenali sebagai K Club Worldwide dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu tetap optimis mampu memberi saingan dalam kategori lelaki bawah 18 tahun.

Bagi merealisasikan misi tersebut, pengurus pasukan K Club, Munir Ghazali menjelaskan, pasukannya telah memulakan latihan sejak awal bulan ini di gelanggang futsal K Club Worldwide.

"Ini adalah kali pertama kami menyertai kejohanan futsal terbesar di Malaysia," kata Munir kepada Kosmo! di sini semalam. Beliau ialah Naib Presiden K Club.

Munir memberitahu, pemain-pemain pasukan itu telah memulakan latihan sejak awal April dan mereka mampu memberi cabaran sehingga mencapai sasaran mara ke separuh akhir.

Lebih menarik, tambahnya, pemain dalam pasukan itu juga dipilih daripada kalangan pengunjung setia yang menggunakan kemudahan di tiga gelanggang futsal kelab istirehat tersebut sepanjang bulan lalu.

Menurut beliau, selain memburu status empat pasukan terbaik kategori lelaki bawah 18 tahun, K Club juga tampil menyertai karnival futsal di Putrajaya dengan idea tersendiri.

Sepanjang empat hari karnival futsal itu, K Club akan turut mempromosikan minuman isotonik khas mereka iaitu Artic Ice yang dikenali sebagai penaja minuman rasmi kelab bola sepak England, Manchester United.

"K Club sudah pasti akan menaja keseluruhan perjalanan skuad ini di Putrajaya nanti," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: