Thursday, May 5, 2011

Caspian sasar juara kategori lelaki antarabangsa


PASUKAN Caspian yakin menjuarai kategori lelaki antarabangsa pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.


KUALA LUMPUR – Pasukan Caspian yakin mampu bergelar juara edisi sulung kategori lelaki antarabangsa pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pada 26 hingga 29 Mei ini.

Pengurusnya, Sina Razaghi berkata, keyakinan itu disandarkan kepada pengalaman para pemain pasukan itu yang rata-rata pernah beraksi untuk pasukan bola sepak dalam pertandingan futsal Liga Iran.

Menurutnya, pasukan itu telah membuat persiapan rapi menghadapi cabaran tersebut dengan mengadakan latihan intensif pada setiap hujung minggu.

Katanya, pemain-pemainnya juga menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap latihan dan mereka cukup yakin dapat menjuarai kategori tersebut.

“Kami semua berusia di antara 18 hingga 20 tahun dan ini merupakan pengalaman pertama menyertai kejohanan ini. Oleh itu harapan untuk menang amat tinggi.

“Bagaimanapun, kami tetap menghormati pasukan-pasukan lain yang bersaing dalam kategori itu dan mengakui cabaran yang bakal dilalui pasukan ini amat sengit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Razaghi berkata, barisan pemain pasukan tersebut merupakan para pelajar antarabangsa di Universiti Tenaga Nasional, Bangi, Selangor.

“Pasukan kami terdiri daripada pelajar warga Iran dan Arab Saudi,” ujarnya.

“Dengan gabungan tenaga sedia ada dan latihan bersungguh-sungguh, saya yakin pasukan ini mampu memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.

Kategori lelaki dan wanita antarabangsa merupakan kategori baharu yang diperkenalkan pada Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! tahun ini.

Yuran pendaftaran kategori tersebut adalah sebanyak RM100. Johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi dan medal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: