Hakikatnya, semua ibu sanggup berkorban apa sahaja bermula sembilan bulan di dalam kandungan hinggalah anak-anaknya mendirikan rumah tangga.
Seorang ibu sanggup menjaga cucu-cucunya demi meringankan beban anak menantu. Lain pula kisahnya jika ibu yang keseorangan di kampung sanggup memendamkan penderitaan sakitnya hanya kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya yang sedang membina kerjaya di bandar.
Tidak kira manusia atau haiwan, spesies keturunan, kaum, agama kepercayaan, naluri keibuan adalah asli, lahir secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.
Mungkin bersempena dengan kasihnya ibu yang tiada batasan, Hari Ibu disambut oleh lapisan masyarakat di seluruh dunia.
Dipercayai sambutan Hari Ibu yang pertama telah diadakan pada musim panas di England, sekitar tahun 1600 Sebelum Masihi. Sambutan itu buat untuk meraikan Rhea yang merupakan ' ibu kepada Tuhan' dan ketika itu ia dikenali sebagai Mothering Sunday. Ia disambut pada hari Ahad keempat dalam kalendar Lent iaitu 40 hari sebelum perayaan Hari Easter. Ketika itu, kebanyakan pekerja di England adalah miskin dan dikerah bekerja setiap hari . Namun pada hari sambutan Mothering Sunday, semua pekerja itu diberi cuti rehat dan digalakkan balik ke rumah untuk menghabiskan masa sehari bersama ibu masing-masing.
Beberapa negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, Belgium termasuk Malaysia menyambut Hari Ibu pada hari Ahad, minggu kedua bulan Mei, setiap tahun.
Seharusnya sebagai anak, sambutan ini tidak hanya diingati pada Ahad kedua dalam bulan Mei sahaja tetapi setiap hari. Islam sentiasa mengingatkan kita untuk meletakkan ibu yang pertama di hati kerana syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Ungkapan ini mengingatkan kita cerita si Tanggang yang derhaka pada ibunya dan akhirnya menjadi batu.
Ketamakan si tanggang mengejar kekayaan akhirnya memakan diri. Dia melupakan ibunya walaupun pada awalnya berjanji untuk membalas pengorbanan ibunya.
Sementara itu, Al-Qurtubi, seorang pakar tafsir menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak menerima kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghormatan daripada anak-anaknya iaitu sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kebaikan yang berupa kasih sayang dan penghargaan yang berhak diterima oleh seorang bapa daripada anak-anaknya.
Justeru itu, selain pemberian hadiah, bagi anda yang terlupa memohon maaf atau bertanya khabar pada ibu anda , lakukanlah sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: