Sunday, May 8, 2011

Keindahan seni bina Melayu


Tangga yang menghubungkan rumah ibu dan balai.


RUMAH papan berwarna coklat gelap itu mungkin terlalu kecil untuk dibandingkan dengan bangunan lain yang gah dibina di sekelilingnya. Justeru, ramai tidak sedar dengan kewujudannya yang terletak di persimpangan Jalan Stonor dan Jalan Conlay.

Namun begitu, andai berkesempatan ke sana, tidak salah singgah sebentar kerana terlalu banyak cerita yang boleh diperoleh daripadanya.

Diberi nama Rumah Penghulu, ia dikendalikan oleh Badan Warisan Malaysia (BWM), sebuah organisasi bukan kerajaan yang banyak terlibat dalam usaha pemuliharaan khazanah negara.

Menurut Penolong Pengurus Projek, Intan Syaheeda Abu Bakar, rumah itu sebenarnya terletak di Kampung Sungai Kechil, Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah. Ia dipindahkan ke tapak sekarang atas inisiatif BWM pada tahun 1996 untuk memperlihatkan kepada orang ramai mengenai ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang kini sukar lagi untuk ditemui.

“Rumah ini asalnya dimiliki oleh Penghulu Abu Seman. Tarikh sebenar pembinaan rumah ini tidak diketahui tetapi mungkin sekitar 1920 hingga 1930-an. Selepas kematian Abu Seman, jawatan serta rumah tersebut diwarisi pula oleh anaknya, Ibrahim,” kata beliau.

Terangnya lagi, disebabkan terletak di antara sempadan negeri Kedah dan Perak, ciri-ciri binaan rumah tersebut lebih kepada rumah tradisional Perak, manakala motif ukiran turut diserap elemn Thai dan Cina.

Kediaman tradisional itu terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu balai, rumah ibu dan dapur. Reka bentuk kediaman itu dikekalkan mengikut keadaan asal, cuma kayu dan atap yang rosak diganti dengan material baru sahaja. Lantaran pemilik berstatus Penghulu, maka kediaman tersebut memiliki balai yang biasanya tidak terdapat pada rumah Melayu tradisional lain.

“Balai menjadi tempat penghulu menjalankan kerja-kerja pentadbiran termasuk bertemu orang kampung. Terdapat sebuah bilik penghulu yang kadangkala digunakan sebagai penjara untuk menahan orang yang melakukan kesalahan,” kata Intan.

Terdapat pelbagai jenis ukiran Melayu tradisional pada bahagian ini. Tidak ketinggalan ukiran elemen Cina dan Thailand. Bahagian balai kediaman bersambung dengan rumah ibu melalui satu tangga yang tinggi. Menurut Intan, rumah ibu tersebut asalnya dibeli dari rumah Tok Taib, orang kaya Kampung Tok Takung. Ia dibeli oleh Penghulu Abu Seman sekitar tahun 1924 dan kemudian dibina bersama bahagian-bahagian lain.

Biasanya rumah Melayu lama tidak mempunyai bilik, tetapi disebabkan rumah tersebut dimiliki oleh orang berpengaruh maka ia mempunyai dua buah bilik. Kebetulan Penghulu Abu Seman mempunyai dua isteri. Manakala bahagian dapur pula tidak dipastikan sama ada ia dibina bersama rumah tersebut atau dibeli dari rumah lain.

“Bahagian ini lebih rendah berbanding bahagian lain. Ia juga berkonsep terbuka bagi memudahkan asap keluar, menjadikan ruang ini tidak panas,” katanya.

Pindah

“Ketika kami menemui rumah ini dahulu, keadaannya sangat teruk dengan lantai yang berlubang-lubang, dinding pecah dan pokok-pokok liar sudah mula masuk ke dalam rumah. Bayangkanlah sebuah rumah kayu yang telah ditinggalkan hampir 50 tahun,” kata Intan.

Atas inisiatif BWM, mereka menjejaki pewaris Penghulu Ibrahim dan membeli rumah tersebut untuk dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan keluarga tersebut turut menyerahkan beberapa barangan berharga milik Penghulu Ibrahim untuk dijadikan bahan pameran.

Menurut Intan, upacara meleraikan binaan rumah tersebut disempurnakan dengan penuh adat istiadat Melayu oleh Pengerusi BWM ketika itu, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.

“Proses meleraikan hanya mengambil masa sekitar dua minggu, namun urusan membina kembali mengikut struktur asal di Jalan Stonor mengambil masa lebih dua bulan. Ini berikutan keadaan tanah di sini yang mempunyai sistem pembentungan bawah tanah,” kata beliau.

Jelasnya, bagi memudahkan urusan perpindahan, pihaknya melantik beberapa pakar dalam hal berkaitan. Akhirnya, pada 8 Ogos 1996 upacara menaikkan tiang seri sebagai simbol pembinaan semula dilakukan oleh Ahmad Sarji sendiri. Beliau meletakkan syiling RM1 bertarikh 1996 menggantikan syiling negeri-negeri selat bertarikh 1916 yang dijumpai pada tiang tersebut ketika ia dileraikan.

Pembelajaran

Sehingga kini, menurut Intan, pihaknya membuka tempat tersebut kepada pelawat yang berminat.

“Kami hanya caj RM10 sebagai sumbangan pemuliharaan dan pelawat akan dibawa ke seluruh kediaman serta diberi penerangan terperinci,” kata beliau.

Bukan sekadar menghayati seni bina rumah, pelawat turut didedahkan dengan aktiviti masyarakat Melayu lama melalui bahan pameran yang terdapat di situ. Persekitaran kediaman juga ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan yang dekat dengan masyarakat Melayu dahulu kala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: