|
|
SAMBIL menunjukkan kuku kakinya yang lebam akibat bermain futsal, gadis manis berwajah ayu ini tetap menggagahkan diri menjayakan sesi fotografi tengah hari itu. Mulanya dia agak kekok dan malu-malu. Namun lama kelamaan dengan bimbingan jurugambar FARIZWAN HASBULLAH bakatnya semakin menyerlah.
"Maaf ya kak, saya tak pandai nak beraksi depan kamera. Lagi pun kaki masih rasa sakit sebab ada darah beku di situ," ujarnya.
Nadhira Mustapha, 21, lebih mesra disapa Diera, walau kelihatan pemalu dan lemah lembut namun lasak orangnya. Gemar bermain futsal dan berjalan-jalan bersama teman, sesuai dengan jiwa mereka yang sebaya dengannya.
Bagi gadis berbintang Gemini ini, kesakitan akibat cedera ketika bermain futsal sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus meminati permainan itu. Aksi ligatnya di gelanggang juga memukau perhatian. Malah menurutnya, dia juga pernah menjaringkan gol ketika perlawanan.
"Setiap kali ada perlawanan futsal di kolej, saya pasti ikut. Kadang-kadang kalau tak ada perlawanan sekali pun, bila dah cukup korum kami tetap bermain untuk melepaskan gian," kata anak bongsu empat beradik itu.
Diera baru sahaja menamatkan diploma jurusan Pengajian Perniagaan di Kolej Politeknik Mara Bangi. Bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara September nanti, dia sangat berharap permohonannya akan diterima. Tambahan pula, dia ingin menambah ilmu sebanyak mungkin dalam bidang perniagaan sebelum cuba berdikari bagi merealisasikan impian sendiri.
Bercakap mengenai fesyen, gadis berasal dari Ampang ini sangat menyukai gaya kasual terutama seluar denim. Diera memiliki himpunan seluar jenis itu bagi dipadankan dengan pelbagai jenis baju dan jaket yang turut menjadi koleksi peribadi kesayangannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: