Saturday, May 7, 2011

Masakan Melayu jadi pilihan


Chef Zaidah dan Philip bergambar bersama juadah masakan Melayu yang disajikan di Restoran Djeumpa, bukit antarabangsa.


Ini kerana, masakan tradisional Melayu kaya dengan rasanya yang unik, pedas, masam dan manis serta lauknya yang berempah dengan pelbagai pilihan juadah pembuka selera, hidangan utama hinggakan ke pencuci mulut.

Juadah masakan tersebut juga lebih dikenali melalui makanan khasnya yang tersendiri seperti nasi dagang di Terengganu.

Selain itu, di Kelantan pula terkenal dengan nasi kerabu, Negeri Sembilan dengan masakan berlemak, Pahang dengan gulai tempoyak, Kedah dengan asam laksa dan Melaka dengan asam pedas.

Menariknya mengenai masakan Melayu ialah hampir setiap masakan itu dihidang bersama nasi yang merupakan makanan ruji kepada orang Melayu dan juga kebanyakan etnik lain di Asia.

Maka tidak hairanlah mengapa masakan Melayu digemari selain cara penyediaannya yang mudah kerana dihidangkan sekaligus tanpa turutan sajian.

Minggu ini Gaya Chef S3, membawa pembaca ke salah satu restoran yang menyediakan juadah masakan Melayu seperti yang terdapat di Restoran Djeumpa, Kelab Oakleaf, Bukit Antarabangsa.

Djeumpa yang diusahakan oleh Chef Zaidah Mohd. Noor dan Philip K.M. Phang menyediakan sebuah lokasi menjamu selera yang membuatkan anda terasa tenang.

Ruang santai di dalam restoran tersebut tersusun rapi dalam dekorasi gabungan tradisional dan urban menjadikannya pilihan yang sesuai buat orang ramai.

Menurut Chef Zaidah, nama Restoran Djeumpa dipilih berdasarkan nama bunga cempaka dalam dialek Acheh (Bungong Jeumpa).

Bunga tersebut banyak ditanam di Nusantara dan mempunyai pelbagai warna yang menarik malah spesis bunga tersebut juga dikatakan tahan lasak dan tidak mudah layu.

Sesuai dengan namanya, walaupun pernah ditutup oleh kerana tragedi tanah runtuh, Djeumpa masih kekal sehingga ke hari ini dan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan penduduk setempat dan luar kawasan.

Selain restoran tersebut, Chef Zaidah dan Philip juga mengusahakan sebuah lagi restoran di tingkat bawah, Amcorp Mall yang diberi nama sebagai Meeting Point Cafe.

"Ketika Restoran Djeumpa tutup selama setahun, kami mula membuka sebuah restoran berkonsepkan kafe untuk melihat sambutan yang diterima dikalangan pelanggan tetap kami," katanya.

Setelah melihatkan perniagaan semakin berkembang di Amcorp Mall dan keadaan di Bukit Antarabangsa semakin pulih, mereka berdua mengambil langkah berani untuk membuka semula restoran Djeumpa pada tahun 2010.

Malah pada Julai akan datang, mereka berdua bakal membuka sebuah lagi restoran yang terletak di Carrefour, Kota Damansara.

Bagi Chef Zaidah, keistimewaan hidangan yang ditawarkan pihaknya terletak pada konsep masakan ibu yang disediakan oleh beliau sendiri.

Misalnya, kesemua hidangan yang disajikan di Djeumpa menghidangkan masakan Melayu tradisional yang pastinya berpatutan dengan harga yang ditawarkan.

"Djeumpa menawarkan masakan Melayu asli tanpa masakan gabungan (fusion Food) seperti yang ditawarkan di mana-mana restoran lain yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.

"Sebab terlalu banyak restoran menyediakan masakan gabungan, saya ingin berikan suatu kelainan terhadap sentuhan masakan asli yang pastinya lebih kena dengan selera orang tempatan," jelasnya.

Dari pelbagai variasi lauk-pauk seperti asam pedas, bubur candil, bahulu gulung, dendeng antarabangsa dan pulut uban pastinya membangkitkan selera mereka yang menyukai masakan Melayu asli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: