Sunday, May 1, 2011

Laman semerbak harum


Laman berkonsep Bali atau Tropika sesuai ditanam pohon kemboja.


TUMBUHAN berbunga harum yang boleh dikategorikan sebagai 'klasik' kembali diminati dalam menghiasi landskap kediaman hari ini.

Tidak terhad kepada konsep Bali atau tropika sahaja, tidak keterlaluan andai dikatakan tumbuhan jenis ini cocok menghiasi semua jenis laman. Kecil atau besar, malah balkoni apartmen sekali pun masih sesuai dihiasi tumbuhan berbunga harum.

Pokok kemboja, kenanga, kesidang, cempaka dan melur, antara yang sering mendapat perhatian. Bunganya cantik memikat pandangan. Bukan sahaja berfungsi mengharumkan laman, tumbuhan sebegini turut menancap perhatian melalui sifat daun yang hijau menawan.

Bayangkan selepas seharian penat berkerja dan pulang ke rumah disambut oleh kuntuman bunga yang bukan sahaja indah, malah mengeluarkan aroma yang harum. Tentu hilang segala lelah dan penat bukan?

Sebagai panduan untuk pembaca Tata Hias minggu ini, Agro Biosolutions Sdn. Bhd. memberi contoh beberapa tumbuhan berbunga harum yang mudah ditanam dan diselenggara.

Menurut pemiliknya, Muhammad, tumbuhan yang disebutkan ini sangat sesuai dengan cuaca di negara ini dan penjagaannya tidak sukar.

Pokok bunga Cina

Nama saintifik gardenia jasminoides. Berasal dari selatan negara China. Biasanya kelompok bunga jenis ini mewujudkan sesemak tinggi.

Pokok bunga Cina mudah ditanam. Hanya cucuk batang pada tanah, ia memerlukan cahaya matahari yang penuh dan siraman biasa. Tumbuhan jenis ini juga sesuai dijadikan penghadang atau pagar kerana cirinya yang merimbun.

Sesetengah jenis bunga Cina dikeringkan dan kemudian dijadikan teh beraroma.

Pokok bunga mawar

Biasa disebut ros, pokok bunga jenis ini mempunyai ramai peminat, terutama wanita yang menggemari gaya klasik Inggeris. Walaupun lebih sesuai di negara beriklim sederhana, ia masih boleh hidup subur di negara Asia asalkan kena penjagaannya.

Pokok mawar terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang hidup memanjat, merayap dan boleh mencapai ketinggian hingga tujuh meter. Ia memerlukan cahaya matahari separa hingga penuh.

Bunga mawar mempunyai manfaat tersendiri. Ia disuling untuk dijadikan minyak aroma terapi. Mengikut amalan perubatan tradisional, 10 kuntum bunga ros yang tidak terdedah kepada racun serangga direndam di dalam segelas air dan diminum setiap hari untuk kesihatan menyeluruh.

Pokok kemuning

Nama saintifik murraya paniculata. Kadangkala ia juga disebut kemuning lada atau mock orange. Berasal dari Asia Tenggara, tumbuhan ini kadangkala mewujudkan sesemak yang tinggi. Ini menjadikan pokok kemuning sesuai dibuat penghadang atau ditanam berkelompok.

Pokok kemuning memerlukan cahaya matahari penuh dan membiak melalui biji benih.

Kemboja

Tergolong dalam keluarga plumeria, ia juga dikenali sebagai frangipani. Bagi masyarakat Melayu dahulu, kemboja sangat sinonim dengan kawasan perkuburan dan dipercayai mempunyai unsur mistik.

Namun kini, ia semakin diminati dalam menghiasi kediaman terutama yang berkonsep Bali atau tropika. Menurut kebanyakan pakar landskap, pokok kemboja mempunyai karakter tersendiri. Pokok tua yang berdahan kukuh, mempunyai cabang berkarakter dan tidak banyak daun dikatakan sangat bernilai tinggi.

Bunga kemboja biasanya terdapat dalam warna putih, kuning dan merah. Di beberapa tempat di Indonesia, wanitanya memakai bunga kemboja bagi melambangkan status mereka; diselit di telinga sebelah kanan melambangkan individu yang sedang mencari pasangan manakala sebelah kiri untuk yang telah berkahwin.

Susun kelapa

Nama saintifik tabernaemontana divarcata. Kadangkala disebut juga sebagai bunga pin roda atau Ceylon Jasmin.

Berasal dari Malaysia, Thailand, Myanmar, India.

Ia biasanya tumbuh sesemak tinggi dan memerlukan matahari separa hingga penuh. Sesuai dijadikan pagar kerana sifatnya yang boleh hidup berkelompok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: