Sunday, May 1, 2011

Kereta api jadi sumber inspirasi


Kebanyakan koleksi Kelvin terdiri dari jenis lokomotif elektrik dan keretapi pantas.


BUNYI kereta api menenangkan fikirannya. Boleh menguraikan segala masalah yang bersarang. Memberi inspirasi untuk menjalani kehidupan. Sambil menyuntik motivasi tatkala berdepan situasi sukar. Atas alasan tersebut, dia sanggup duduk berjam lamanya di stesen kereta api. Ketagih untuk melihat 'panorama' kenderaan itu bergerak dengan pancainderanya sendiri secara langsung.

Mungkin kedengaran pelik tapi itu yang dirasakan Kelvin Khew. Sejak dia berusia empat tahun lagi minatnya telah berputik. Tatkala dibawa berjalan-jalan oleh neneknya di Mentakab, Pahang.

Kebetulan saat melalui landasan, ada sebuah kereta api melintas. Dengan rasa teruja, dia melihat bagaimana kereta api itu berlalu megah di hadapannya tanpa berkelip mata.

Bertitik tolak dari situ, Kelvin mencari peluang untuk mendekati kawasan rel. Biarpun tak lama, asalkan sempat menghirup bau sudah cukup memadai.

Biarpun orang cakap asap kereta api busuk tetapi tidak bagi dirinya. Mengata yang macam-macam tentang pergerakan gerabak dan bunyi yang kadang kala 'huru-hara'.

''Bagi saya, semua tentang kereta api cukup mempersona. Sempurna dan mengilhamkan banyak perkara baru terhadap saya,'' katanya.

Pemegang Diploma Komunikasi Perhubungan Awam dari Kolej Taylor ini juga mengakui kerap mengulangkaji pelajaran di situ. Termasuk ketika menduduki kertas ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira empat tahun lalu.

Justeru, anak muda berusia 22 tahun ini mengabadikan rasa takjub dengan mencari model kereta api. Termasuk usaha untuk mendapatkan ganjaran berupa kereta api pemberian ibu bapanya.

Bahkan kesemua kereta api dimiliki mempunyai cerita tersendiri. Kebanyakannya dari jenis elektrik lokomotif dan keretapi pantas seperti Eurostar. Lengkap dengan trek gerabak berwarna kelabu sekali.

Eksekutif Komunikasi Korporat di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini juga sangat teruja untuk mencari model kereta api yang baru. Tambahan pula menjadi ahli Kelab Peminat Kereta Api memudahkan misi pencariannya di seluruh dunia.

Ditanya adakah Kelvin merasakan perbuatannya itu sebagai tindakan membuang masa, Kelvin menafikannya. Katanya, dia sanggup melaburkan wang gajinya untuk membeli replika kereta api semata-mata kerana minat.

Kecenderungan untuk memiliki model terbaru itu terus tertanam dalam jiwa. Sehingga dia benar-benar berkesempatan untuk memilikinya satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: