Sunday, May 1, 2011

Isteri zaman sekarang

Selama ini saya dapati ramai kaum wanita melahirkan keluh kesah mereka terhadap perubahan perangai suami, tetapi berbeza dengan saya. Isteri saya berubah perangai sedangkan kami belum pun dua tahun berkahwin dan sedang menunggu kelahiran anak sulung kami. Ini yang menghairankan saya.

''Namun ruangan ini banyak mengajar saya tentang nilai sebuah kehidupan dan membuat saya tabah mengharungi hidup ini. Saya bukan nak memburukkan wanita apa lagi isteri saya, namun saya ingin mengingatkan lelaki dan wanita yang masih belum berkahwin janganlah tersilap memilih pasangan kerana buruk akibatnya, merana diri,'' demikian cerita Huzainee dalam emelnya, dan ketika kami berbual panjang di telefon beberapa kali baru-baru ini.

''Bukan saya nak salahkan emak yang mencarikan jodoh saya, malah saya bersyukur dapat isteri yang baik, cantik dan pandai bergaya. Itulah perangainya pada awal perkenalan kami. Sering telefon, kalau lambat balas SMS pertama, sms kedua akan menyusul. Tetapi selepas berkahwin, dia berubah. Usah kata nak telefon, SMS pun dia malas jawab. Kalau dibalas pun, kasar bunyinya.

''Kami berkenalan awal tahun lalu, tak sampai enam bulan terus berkahwin. Kata ibu bapa kami buat apa tunggu lama-lama kalau dah sesuai, tambahan pula umur kami menjangkau 30 tahun. Dan kerana kami sama subur, akan lahirkan seorang cahaya mata tak lama lagi.

''Sepanjang empat bulan pertama perkahwinan kami, saya rasakan isteri saya Hafina adalah anugerah Allah yang tak ternilai untuk saya. Namun itu cuma sementara, hari demi hari, saya rasakan perubahan Hafina. Dia seolah-olah bukan orang yang saya kenal dalu. Sehinggakan saya merasakan Hafina "berlakon" sepanjang saya mengenali hati budinya sebelum ini.

''Saya jenis lelaki yang mahukan belaian isteri. Saya faham kalau perubahan perangainya berlaku jika perkahwinan kami mencecah lebih 10 tahun, hubungan suami-isteri secara semula jadi akan menjadi perlahan. Tapi ketika itu kami belum pun setahun berkahwin.

''Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang "Masa bercinta, semuanya indah". Setiap kali saya mendengar ungkapan ini, hati saya jadi sayu. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda. Malah, kalau saya sudah tua pun, Hafina tidak patut layan saya sebegini kerana saya amat hormat ibu bapanya sama seperti saya menghormati ibu bapa saya. Buktinya, setiap kali berkunjung ke rumahnya, saya tak datang tangan kosong. Dan ketika adiknya dapat 4A dalam SPM baru-baru ini saya beri dia hadiah. Malangnya hubungan Hafina dengan ibu bapa saya langsung tidak mesra.

Hendak dijadikan cerita, saya pernah tercicir satu plastik ikan laga yang saya mahu letakkan dalam akuarium di pejabat. Kehilangan itu bukan disengajakan kerana saya bawa balik menaiki bas ke KL dari KB. Sedihnya Hafina boleh mempersendakan kealpaan saya di depan ibu bapanya. Ia memang mengguris perasaan saya.

''Oleh kerana saya bekerja di KL dan dia di KB tentulah rasa rindu dan sayang sentiasa ada di hati masing-masing, tetapi tidak kepada Hafina. Dia tak pernah tanya bila saya balik, malah tak pernah mempelawa saya tidur di rumah emaknya. Lagi pelik bila saya teringin datang dia boleh SMS pada saya "tak payah la datang sekarang, datang petang sikit…". Dia macam tak suka saya datang berjumpa dengannya apa lagi tidur di rumahnya. Sedangkan saya pulang seminggu atau dua minggu sekali.

''Sekarang Hafina mula pandai memperli saya, dulu dia kata kulit saya cerah, tapi kini dia kata saya hitam, dan dia pernah terlepas cakap, ''nasib baik kau tu kerja kerajaan, kalau tak, aku tak ingin pun kat kau tu…". Oleh kerana saya balik naik bas Perdana dia kutuk saya, "Naik bas Perdana buat apa, lain la kalau kereta Perdana setakat ada Persona buat apa.''

''Lebih sedih ketika ayah saya terlantar lebih sebulan di hospital, dia cuma datang melawat sekali sahaja, itupun dia datang bersama ibu bapanya. Sedangkan pejabatnya tak jauh dari hospital tersebut.

kahwin

''Di dalam bilik tidur pun dah banyak berubah, saya terpaksa merayu-rayu, berbeza masa mula kahwin dulu dia sentiasa memberikan apa yang saya mahukan. Keadaan ini membuatkan saya amat tertekan.

''Nak kata tak beri nafkah memang bohong, hinggakan membeli persiapan bayi yang belum lahirkan sudah saya sediakan. Saya beri hadiah pada hari lahirnya, walaupun dia tak pedulikan hari lahir saya. Nak kata pangkat atau gajinya tinggi, tak juga, saya lebih tinggi dia cuma SPM. Bukan menghina! Malah kalau dapat bonos dialah saya utamakan bukan emak saya. Tetapi peliknya dia masih tidak menghargai saya dalam hidupnya.

''Pernah juga terfikir adakah perubahannya kerana dia kembali kepada kekasih lamanya, tapi tak mungkin kerana Hafina tak suka membuang masa luar rumah. Tetapi pelik juga kerana dia tidak lagi meletak telefonnya bebas seperti dulu. Dia juga tak suka saya kemas katil selepas bangun tidur setelah dia pergi kerja pada hari Ahad. Katanya ''tak payahlah nak tunjuk rajin.'' Hafina juga melarang saya buka almarinya tanpa izinnya.

''Saya masih ingat tahun lepas ketika saya minta ayahnya mencarikan lembu untuk saya buat korban dia melarang katanya buatlah korban di rumah emak saya sendiri, jangan nak susahkan emak ayahnya carikan lembu korban, sepatutnya dia gembira saya buat korban di kampungnya.

''Pernah juga saya terfikir seorang mengapa gadis secantik sepertinya, ada kereta, tapi kahwin lewat, sedangkan dia boleh kahwin awal dan dapat suami orang kaya. Kemudian saya terfikir mungkin kerana perangainya. Apakah saya 'terkena lakonannya' sebelum kahwin dia baik, dah kahwin dia berubah kepada perangai lamanya.

''Ketika saya melihat perubahan berlaku dalam diri Hafina saya memohon kepada Allah agar dikembalikan hati isteri saya seperti dulu. Tetapi kini doa saya mengharapkan agar Allah melenyapkan fikiran saya dari terus memikirkan perihal Hafina, Saya juga memohon jika saya teraniaya berilah cahaya baru buat saya nanti,'' Demikian pengalaman pahit Huzainee dan nasihatnya panjang lebar jika ingin beristeri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: