Sunday, May 8, 2011

Kesal Ranoma


Merasakan dirinya tidak bersalah, Ramona tampil memberi penjelasan diselangi permohonan maaf.


DITUDUH suka membawa mulut bercerita hal si polan dan si polan, berlagak, sombong dan bersikap bagai diva ketika di lokasi. Itu tohmahan yang dilemparkan pada gadis bernama Ramona Zamzam yang mula mencipta nama menerusi drama Begitukah Cinta siaran TV3.

Entah di mana silapnya, semua kata makian itu melekat pada dirinya pada saat dia mula bertatih membina nama dalam industri hiburan tanah air.

Kalau ikut cerita, Ramona dikatakan berperangai begitu ketika berada dalam set penggambaran sebuah drama yang baru sahaja habis tak berapa lama dulu.

Tak cukup dengan itu, ada pula `nasi tambah’ yang mendakwa kononnya gadis ini juga sudah pandai kekwat mengalahkan pelakon senior ketika di lokasi. Eh betulkah ni?

Disebabkan sikap buruk itu, maka ramailah yang sudah menyampah dengan Ramona sehingga episod umpat-mengumpat di kalangan mereka yang sudah memangkah gadis ini.

Anehnya, bila ditanya kepada empunya diri, gadis ini memberikan reaksi kurang senang dengan tuduhan yang dilemparkan.

Malah, anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga berani bangun membela diri dengan menafikan semua tuduhan tak berasas tersebut yang disifatkannya sebagai satu pembohongan.

Mengaku terkedu gara-gara dituduh begitu, jelas Ramona, dia tak menyangka perkara sebegini boleh timbul sedangkan dia sedaya upaya menjauhkan diri daripada mencari masalah di lokasi.

“Ya Allah...kenapa mereka sanggup kata saya begitu padahal ketika di lokasi saya seboleh -bolehnya tak mahu cari pasal dengan sesiapa pun.

“Bila saya mengata orang? Bila saya berlagak diva? Saya tak pernah buat macam tu!” tegasnya.

Cerita Ramona, dia tidak pasti bagaimana isu begini boleh timbul sedangkan di lokasi keadaan sebaliknya berlaku.

“Sebagai pelakon baru secara logiknya saya perlu merendah diri sebab saya masih hijau lagi. Tak payah disuruh pun saya memang sedar itulah sikap yang perlu saya bawa sepanjang masa.

“Mana saya tak terkilan bila

orang kata saya begitu begini sedangkan di lokasi, saya sampai dan nak balik pun saya salam dengan semua orang, tegur dengan semua orang.

“Nak makan saya bangun ambil sendiri, nak minum pun begitu. Kalau tak faham saya tak malu bertanya, saya jaga disiplin saya dan hormat semua orang.

“Jadi mana datangnya pula saya berlagak dan sombong tu?” tanya Ramona bingung.

Jadi bahan jenaka

Kata Ramona, perihal bohong mengenai dirinya ini bukan sekadar menjadi punca kesedihannya.

Bahkan, ia secara tak langsung menjadi bahan jenaka teman-teman rapat dalam industri yang mengenali siapa dirinya yang sebenar.

“Bayangkan, beberapa kawan saya yang juga pelakon dan sebagainya boleh tergelak bila mendapat tahu hal ni.

“Mereka semuanya terkejut. Bagi yang kenal, mereka tahu saya macam mana orangnya. Sebab itu mereka tak percaya bila saya dituduh sombong dan berlagak. Memang kontra!” ujarnya.

Gadis berbintang Cancer ini juga mengaku cukup terkilan dengan mulut-mulut jahat yang mendakwa dia suka menjaja cerita orang.

Mengandaikan diri lebih banyak menghabiskan masa dengan menghafal skrip berikutan watak yang diberikan baginya cukup berat, kata Ramona dia juga hairan bagaimana pihak tertentu itu boleh mengaitkan situasi itu dengan tuduhan dia bermulut jahat.

“Kalau saya banyak menghabiskan masa dengan menghafal skrip, cuba fikir bila pula saya ada masa untuk menyibuk hal orang?

“Kalau betul dia di pihak yang benar, kenapa tak berdepan dengan saya dan berterus-terang katakan apa yang jelik sangat di mata dia?

“Saya bukannya orang yang tak boleh terima kritikan. Lebih-lebih sebagai orang baru dalam industri ni.

“Walau apa pun, saya mohon maaf sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan saya sebelum ini walaupun saya tak tahu apa yang saya sudah lakukan.

“Kalau boleh, saya mahu buktikan kepada semua bahawa tak semua pelakon baru suka buat hal semata-mata mahu dikenali,” katanya.

Sering didera

Kebelakangan ini, jika ada yang perasan, Ramona banyak menggalas watak berat yang memaparkan dirinya sebagai isteri yang sering didera.

Ia boleh dilihat menerusi drama Begitukah Cinta arahan Haikal Hanafiah yang pernah disiarkan di slot Akasia di TV3 baru-baru ini.

Bagaimanapun, menerusi drama terbaru berjudul Kasih Yang Suci yang bakal ditayangkan dalam masa terdekat, Ramona sekali lagi dipaparkan dengan watak begitu.

Sudah melekat dengannya barangkali.

Namun ulas Ramona ketika ditanya, dia cuma menjalankan tanggungjawab yang diberi pengarah dan jauh sekali mahu bersikap memilih dalam bab ini.

“Mungkin saya dilihat sesuai bawa watak begitu. Tetapi jujurnya watak-watak begini amat berat. Ia banyak bermain dengan emosi saya.

“Pun begitu, saya harap setakat ini, peminat dan penonton berpuas hati dengan lakonan saya.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dari semasa ke semasa terutama dari segi mutu lakonan,” katanya meletakkan noktah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: