![]() |
| Cukup menyayangi harta bendanya. |
MELIHAT kilauan 189 pin jenama Hard Rock Cafe (HRC) di papan hitam memakukan penglihatan. Kebanyakannya terdiri dari jenis pin gitar bandar. Macam-macam lambang kelihatan di situ.
Contohnya HRC San Francisco, Amerika Syarikat (AS) menampilkan penjara Alcatraz sebagai simbol. Sementara HRC Tokyo Eyeno Eki (Jepun) pula memilih panda kerana lokasinya bersebelahan dengan zoo.
Begitu dengan simbol bagi negeri-negeri di AS, United Kingdom, Prague, Sepanyol, Israel, Jerman, Ireland, India, Singapura dan Seoul (Korea). Masing-masing menampilkan keunikan.
Atas alasan itu, Mohd. Hafeez Mohd. Hanafiah tidak pernah berputus asa. Misi pencarian usai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1998 tidak disia-siakan.
Sebiji pin berbentuk piring hitam yang dibeli di HRC Kuala Lumpur dijadikan pembakar semangat.
Bagaimanapun, penyakit ‘ketagihan’ Mohd. Hafeez semakin teruk selepas itu.
Apabila dia mengesahkan keahlian Kelab Pengumpul Pin HRC pada tahun 2004. Dari situ, ketaksuban Mohd. Hafeez terhadap pin HRC semakin memuncak.
Tambahan selepas berpeluang menjadi koordinator akuarium di Vancouver, Kanada. Sepanjang berada di situ antara tahun 1999 hingga 2005, langkahnya semakin panjang menjelajah dari satu premis ke satu tempat lain.
Mengumpul
Sebenarnya, hampir keseluruhan premis HRC di Benua Asia Barat telah dikunjungi Mohd. Hafeez. Dia kemudiannya bertukar menjadi pengumpul tegar pin HRC di merata dunia.
‘‘Selain pin, saya juga mengumpul gelas. Tak kira sama ada yang ketinggian enam inci atau jenis ‘hurricane’. Tapi saya memulakan lewat hobi ini berbanding pin,’’ katanya yang memulakan koleksi gelas pada tahun 2002.
Sehingga hari ini, anak bongsu dari dua beradik ini sudah memiliki sejumlah 112 biji gelas HRC pelbagai premis.
Namun, ada sebiji gelas berkaca hitam dari HRC Hong Kong menjadi kesayangan Mohd. Hafeez. Ia cukup berlainan dengan gelas kaca lutsinar klasik dan gambar bandar bercetak di pasaran.
Ditanya di mana lelaki berusia 30 tahun ini menyimpan harta karun, lelaki ini menyungging senyum.
Katanya, dia tak pernah mengeluarkan koleksinya secara serentak. Semuanya dibalut kemas dan diletakkan secara tersusun. Agar tiada pelanggaran yang boleh merosakkan fizikal asal ‘hartanya’ itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: