Monday, May 9, 2011

Ternak burung unta lumayan

BURUNG unta atau Struthio camelus berasal dari benua Afrika dan tergolong dalam order Ratitae iaitu burung yang tidak boleh terbang.

Burung berkenaan tergolong dalam keluarga yang sama dengan burung kasuari, emu, rhea dan kiwi.

Dalam sejarah perkembangan manusia, burung unta mula diternak secara komersial pada tahun 1860 di Afrika Selatan dengan matlamat utamanya untuk penghasilan bulu.

Setelah mengalami beberapa kali kemerosotan dan pemulihan, pada tahun 1945 industri moden burung unta mula berkembang.

Selain bulunya, daging dan kulit merupakan teras utama industri.

Di Malaysia, sebilangan besar burung unta mula diimport pada tahun 1994 dan kini terdapat lebih 35 tempat pemeliharaan burung unta di seluruh negara.

Daging burung unta kian popular di kalangan pengguna dan mudah diperoleh terutama di restoran dan hotel ternama.

Baka burung unta

Terdapat tiga jenis baka iaitu baka South African Black juga dikenali sebagai burung unta Oudtshoorn.

Ia merupakan baka domestik dan paling diminati serta dipelihara serata dunia.

Mempunyai kualiti bulu dan kulit yang tinggi iaitu paling banyak minyak dan daging merah yang pejal jika dibandingkan dengan tiga baka yang lain.

Seekor burung unta African Black boleh mengeluarkan 14 kaki persegi kulit. Tinggi dan berat dewasa 120 kilogram (kg) ketika berumur antara 18 dan 20 bulan.

Baka Blue Neck atau burung unta Somali di mana jantan berwarna biru di tengkuk dan di paha.

Sangat sesuai untuk daging, bersaiz besar jika dibandingkan dengan African Blacks.

Berat dewasa 160kg. Merupakan burung unta yang paling tinggi dan bahagian atas kepalanya botak tetapi mempunyai kualiti bulu yang rendah.

Baka Red Neck pula atau burung unta Massai di mana jantan berwarna merah jambu atau merah di tengkuk dan peha serta jambulnya botak sedikit.

Juga merupakan baka yang tinggi, berat dewasa mencecah 170kg, mempunyai kualiti bulu yang rendah tetapi terlalu agresif atau panas baran.

Sifat burung unta

Sungguhpun ia tidak boleh terbang, tetapi fizikalnya besar, mempunyai leher yang panjang, kuat dan mampu memecut sehingga 65 kilometer sejam (40 batu sejam) malah merupakan burung yang berlari terpantas di dunia.

Oleh itu ia memerlukan kawasan lapang untuk berlari dan bergerak bebas, tidak kira apa jua sistem pengeluaran yang diamalkan.

Sifat-sifat lain yang unik ialah, kakinya yang besar, hanya mempunyai dua jari, otaknya amat kecil berbanding dengan badannya yang besar, pendengaran dan penglihatannya amat tajam dan tabiatnya suka mematuk sesuatu sepanjang hari.

Mekanisme kawalan suhu ada secara semulajadi pada tubuh burung, di mana burung unta menggunakan kepaknya untuk menutup tubuhnya yang tidak berbulu ketika sejuk atau melebarkan kepaknya pada waktu panas bagi membebaskan haba.

Pembiakan

Pembiakan burung unta bermula dari proses pemilihan pasangan yang telah mencapai tahap kematangan seks diikuti dengan proses mengawan, penghasilan telor, pengeraman dan penetasan.

Kematangan seks burung unta adalah ketika berusia antara empat dan lima tahun manakala burung unta yang diternak matang lebih awal iaitu pada umur antara dua dan tiga tahun dan boleh dijual pada umur antara 10 dan 12 bulan.

Seekor burung unta betina boleh menghasilkan telur sehingga antara 40 dan 80 biji setahun.

Telur berkenaan boleh dieram secara semulajadi atau melalui alat pengeraman, tempoh penetasannya memakan masa selama 42 hari.

Seekor burung unta jantan boleh mengawan dengan beberapa ekor burung unta betina, namun nisbah jantan betina 1:1 adalah lebih sesuai.

Pengurusan

Pengurusan bermula dari peringkat perindukan (brooding) dari umur 0 - 3 bulan, diikuti peringkat juvenile dari empat kepada 11 bulan dan peringkat dewasa 12 bulan ke atas.

Bagi burung unta pedaging 40 ekor burung unta boleh dipelihara di dalam kawasan seluas 0.4 hektar (satu ekar).

Dalam sistem intensif, ruangan seluas 50 meter (m) persegi atau lebih diperlukan untuk sepasang burung unta.

Bagi sistem separa intensif kadar bertelor dan kadar pensenyawaan lebih tinggi kerana lebih banyak ruang makanan diperolehi dan peluang untuk mengawan.

Burung unta biasanya suka memakan biji-bijian atau makanan rumusan berbentuk pelet seperti pelet ayam, rumput, buah-buahan dan bunga-bungaan, juga serangga seperti locust.

Rumput yang sesuai di makan terdiri dari Paspalum conjugatum, Panicum maximum, Pennisetum purpureum dan Asystasia coromandeliana.

Ia mempunyai gigi yang sedikit dan lemah, juga ada yang langsung tidak mempunyai gigi.

Kebanyakannya menelan makanan mereka bersama batu kerikil yang berfungsi sebagai gastrolith untuk menggiling makanan di dalam perut.

Burung unta dewasa dianggarkan membawa bersama kira-kira sekilogram batu kerikil kecil ke dalam perut mereka.

Apabila makan, ia akan mengisi kerongkongnya dengan makanan, bolus yang mengandungi campuran makanan dan kerikil kecil akan ditolak masuk melalui esofagus dan seterusnya ke dalam perut untuk dicerna.

Burung unta boleh bertahan tanpa meminum air untuk beberapa hari, dengan menggunakan cecair metabolik tubuh dan kelembapan ketika menghadam tumbuhan sebagai sumber pendapatan air badan, namun mereka juga sangat menyukai air dan acap kali berendam jika air ada disekeliling mereka.

Kawalan dan Kesihatan

Penyakit Avian Pox berlaku pada beberapa spesies burung dan kesannya adalah ketuat yang menggerutu, berwarna coklat dan membesar di sekeliling mata, juga di tepi mulut dan paruh.

Penyakit ini boleh mengakibatkan kematian yang tinggi jika tidak dirawat. Serangga mencucuk/mengigit seperti nyamuk adalah vektor penyebaran penyakit ini.

Pemberian vaksin boleh mengawal penyakit ini. Penyakit Green urine influenza atau influenza avian adalah sangat bahaya. Ia menjangkiti semua spesies burung.

Penyakit ini menyebabkan kematian yang tinggi pada anak berumur kurang dari enam bulan. Oleh kerana jangkitan ini disebabkan oleh virus, tiada rawatan khusus untuk penyakit ini melainkan pencegahan sahaja. Simptom penyakit ini adalah urine berwarna hijau atau green urine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment