Monday, May 9, 2011

Kartunis Ujang meriahkan Festival Hari Guru 2011


Ahmad Jaafar (kiri) bersama kartunis majalah Ujang, Lengkuas memperkenalkan produk-produk keluaran MOY Publication yang akan dijual semasa Festival Hari Guru di Kuching, Sarawak akan datang.


Peminat kartunis majalah Ujang di Sarawak amat bertuah kerana berpeluang beramah mesra dengan mereka di Festival Hari Guru 2011 pada 13 hingga 16 Mei ini.

Pengurus Pengagihan MOY Publications Sdn. Bhd., Ahmad Jaafar berkata, seramai empat orang kartunis majalah Ujang iaitu Lengkuas, Manggis, Piston bersama Pijo daripada majalah Apo? akan turun padang bertemu para peminat di Tebingan Sungai Kuching sempena festival itu.

"Aktiviti bersama peminat merupakan tarikan utama dalam setiap majlis yang disertai oleh syarikat kerana para pengunjung dan peminat begitu teruja untuk bersua muka dan beramah mesra dengan pelukis-pelukis kartun ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain itu katanya, tujuan utama penglibatan MOY Publications adalah untuk mempromosikan majalah-majalah keluaran syarikat seperti majalah Ujang, Apo? dan koleksi-koleksi majalah selain pelbagai jenis cenderamata.

"Sepanjang berlangsungnya festival, pelbagai aktiviti diadakan seperti acara lakaran (sketching) secara langsung oleh kartunis, pertandingan meniru lakaran, kuiz ringkas dan lain-lain yang menjanjikan hadiah kepada para pengunjung.

"Para peminat juga berpeluang mendapatkan autograf daripada kartunis-kartunis yang hadir selain dapat berbual mesra dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi," jelas beliau.

Tambahnya lagi, MOY Publication berminat untuk menyertai festival hari guru kali ini kerana ia merupakan festival peringkat kebangsaan yang mampu mempromosikan produk keluaran syarikat secara lebih meluas seterusnya membantu meningkatkan jualan.

Menurut beliau, pihak syarikat berharap agar dapat membantu menarik minat lebih ramai pengunjung ke gerai MOY Publication khususnya dan pempamer lain amnya bagi meramai serta memeriahkan Festival ini.

"Pada masa sama, kami juga amat berharap agar dapat meningkatkan jualan selain memperkenalkan lagi majalah-majalah keluaran syarikat kepada penduduk setempat," ujarnya.

MOY Publication mula ditubuhkan pada 1993 dan dikenali sebagai Kharisma Publications sebelum ditukarkan kepada nama kini pada 1997.

MOY Publications Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 03-802402660 atau di alamat 22 Jalan USJ 21/4, USJ City Centre 1, UEP Subang Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: