![]() |
| Puvana dan Suganthy disambut mesra oleh keluarga angkatnya di Kampung Bagan Lalang, Sepang, Selangor, baru-baru ini. |
PROGRAM anak angkat bertemakan Mahasiswa Bersama Masyarakat itu diadakan di Kampung Bagan Lalang, Sepang, Selangor, baru-baru ini,
Seramai 60 penuntutnya terdiri daripada pelajar Melayu, Cina dan India menjadi anak angkat tiga hari dua malam bersama 30 keluarga di kampung itu.
Malah, pengalaman itu dirasai dan sesuatu yang amat bernilai buat dua pelajar India UniRazak.
Puvana a/p Arumugam dan Suganthy a/p Shanmugam Pilai yang berasal dari Selangor amat bertuah kerana diberi peluang oleh Unirazak untuk tinggal bersama keluarga angkatnya, Sahlan Yunus dan isterinya, Kamariah Walio.
"Kehidupan masyarakat Melayu di sini agak unik dan saya amat bertuah kerana dapat menyelami kehidupan mereka dan menjalin silaturrahim.
"Bersama keluarga angkat Melayu memberi satu peluang untuk mempelajari adat dan budaya masyarakat Melayu yang unik.
"Peristiwa yang menjadi nostalgia apabila tiba pada waktu Maghrib atau senja kami mesti mandi dan menutup pintu dan tingkap rumah," kata Puvana yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.
Puvana adalah salah seorang daripada 60 pelajar yang terpilih untuk menyertai program anak angkat di kawasan Kampung Bagan Lalang, Selangor.
Mereka kebanyakannya adalah pelajar-pelajar diploma dan ijazah ditempatkan di kampung itu untuk menghayati kehidupan sebenar penduduk desa.
"Setiap pagi saya pasti akan membantu ibu angkat saya untuk menyediakan sarapan sebelum memulakan aktiviti harian seperti memasak dan membasuh baju," katanya.
Puvana berkata, keluarga angkat dan hampir semua penduduk di kampung itu terdiri daripada petani atau peniaga kecil yang mengharapkan hasil tanaman atau kebun mereka untuk menyara kehidupan keluarga.
Sementara itu, rakannya, Suganthy pula berkata, tinggal bersama keluarga angkat memberi pengalaman yang cukup bermakna.
"Saya sangat teruja bila dimaklumkan mengenai program ini, lebih-lebih lagi bila ia diadakan di kampung ini yang penuh dengan panorama yang menakjubkan.
"Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di sini pastinya akan menjadi satu kenangan manis bagi saya.
"Di sini saya dapat melihat kemesraan ahli keluarga angkat dan kehidupan masyarakat terjalin erat dalam suasana harmoni dan tenang.
"Sukar untuk kita temui di tempat lain apa lagi di kawasan bandar," katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.
Suganthy berkata, program anak angkat yang dikendalikan UniRazak itu berjaya mencapai matlamat untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar melihat sendiri kehidupan masyarakat kampung sekali gus cuba berusaha untuk membantu mereka melalui program pembangunan modal insan tersusun.
"Melalui pendedahan itu, mereka akan lebih memahami dan menghormati resam, tradisi dan budaya masyarakat," katanya.
Sepanjang program tiga hari itu, pelajar-pelajar turut menyertai pelbagai aktiviti antaranya permainan tradisional, gotong-royong, khidmat masyarakat, sukaneka, program keagamaan serta persembahan kebudayaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: