Monday, May 16, 2011

Hidup lebih sempurna



Siapa sangka hanya bermula dengan salam perkenalan sebagai seorang rakan di laman sosial Facebook, berubah menjadi bibit-bibit cinta seterusnya diikat dengan ikatan perkahwinan.

Meskipun hidup berumah tangga banyak cabaran, namun di sebaliknya terselit bermacam kemanisan. Begitulah yang dirasai aktor Zed Zaidi yang sah bergelar isteri kepada Natalia Halimatun Mustafa Kamal semenjak 29 April lalu.

Menurut Zed, semenjak bergelar suami, dia merasakan hidup lebih sempurna kerana segala urusan rumah yang dulu dilakukan seorang kini sudah diambil alih oleh isterinya yang mesra disapa sebagai Nelly.

“Dulu tidur berteman bantal, baju hantar ke dobi, urusan masak-memasak diserahkan pada mana-mana kedai tapi kini semua telah berubah.

“Nelly memang wanita yang ringan tulang. Selepas berkahwin dia memang menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri dan saya juga teruja kerana dapat melakukan solat berjemaah,” ujar Zed kepada Zass.

Namun menyentuh bab pemakanan, Zed mengakui bertuah mempunyai isteri yang pandai memasak namun dia meminta Nelly menyediakan makanan yang boleh membantunya berdiet.

“Isteri saya pandai memasak pelbagai jenis makanan dan ia membuka selera makan. Namun, saya risau juga kalau berat badan akan meningkat.

“Maklumlah, saya ini artis dan tentulah nampak tidak elok di depan televisyen kalau berlaku perubahan fizikal yang mendadak.

“Jadi, saya sudah berbincang dengan isteri agar memasak makanan yang bersesuaian, sekali gus membantu saya untuk berdiet,” katanya yang akan berbulan madu ke Dublin, Ireland.

Tambah Zed lagi, sebagai tanda cinta, dia berhasrat untuk membuka sebuah francais restoran bersama isterinya sedikit masa lagi dan sudah membuat perancangan ke arah itu.

Menyentuh mengenai cahaya mata Zed berkata, dia tidak merancang keluarga dan berserah kepada rezeki yang Allah SWT kurniakan.

“Saya tidak merancang keluarga kerana jika sudah tiba masanya menimang cahaya mata, kami terima. Namun, jika boleh, saya mahukan sepasang anak,” katanya yang kini sibuk mempromosikan Fatimah Juling.

====Zed romantis

Sementara itu, Nelly, 28, berkata selepas berkahwin, Zed kelihatan lebih bertanggungjawab dan bertambah romantis serta lebih mengambil berat.

“Dulu tidak nampak sangat ‘warna sebenarnya’, selepas kahwin baru nampak dia banyak cakap tapi saya suka sikapnya yang romantis dan mengutamakan saya.

“Tapi bila dia marah, barannya boleh tahan juga. Bergantung pada keadaan. Kadang-kala dia juga boleh menjadi cerewet dalam pelbagai perkara,” katanya yang berharap mempunyai anak seramai empat orang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: