Wednesday, May 4, 2011

Erin harapan ibu


Nor Hezreen Abdul Rahim bersama ibu tercinta, Kamaliah Abdul Halim.


Nama Nor Hezreen Abdul Rahim mungkin tidak begitu dikenali berbanding jika disebut nama ibunya, Datuk Kamaliah Abdul Halim, yang merupakan pengasas produk kecantikan terkenal, RZAC Cosmetic

Dia mengakui memegang status anak perempuan tunggal kepada jutawan kosmetik tersebut memang sesuatu yang membanggakan.

Namun rasa bangga tersebut datang bersama tanggungjawab yang berat apabila di bahunya turut disandarkan harapan yang menggunung tinggi.

Lebih memberikan tekanan apabila si ibu sudah punya perancangan sendiri agar suatu hari anak perempuan tunggal itu mewarisi empayar kosmetik yang telah dibina hasil titik peluh sendiri.

"Pada mulanya memang saya susah nak menerima kerana tidak begitu berminat dalam bidang kosmetik, namun setelah tamat pengajian saya menimba pengalaman di syarikat ibu dan dari situ minat mula bercambah," jelas gadis berusia 28 tahun ini ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Bertam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Memiliki ijazah sarjana perakaunan dari Universiti John Moores di Liverpool, United Kingdom, Nor Hezreen atau manja dengan panggilan Erin, bukan hanya menyambung legasi si ibu dalam bidang perniagaan tetapi turut mempunyai visi dan misi tersendiri.

Buat masa ini dia diberi kepercayaan oleh ibunya untuk menerajui ReenZac, juga kosmetik yang menumpukan kepada golongan remaja.

"Bagi saya apa yang telah dimulakan oleh ibu adalah asasnya sahaja. Menjadi tanggung jawab saya untuk bukan sahaja meneruskan malah mengembangkan lagi perniagaan ini," jelas anak sulung kepada empat beradik ini.

Menurut Erin, dia diberi pendedahan tentang perniagaan seawal usianya enam tahun lagi apabila sering dibawa ibunya menemui para stokis mahupun pengedar dan pengguna RZAC Cosmetic.

Dari situ juga dia mula memahami susah-payah yang dihadapi ibunya dalam membangunkan perniagaan.

"Sejujurnya saya kagum dan tabik dengan ketabahan dan kegigihan ibu. Kalau saya berada di tempatnya dan berhadapan dengan apa yang dia lalui belum tentu saya boleh berjaya melakukan sebagaimana ibu telah lakukan," katanya yang mahu merahsiakan kejutan yang akan dilakukan untuk ibunya ketika sambutan Hari Ibu hujung minggu ini.

Bagi Erin, ibu adalah idolanya di mana hubungan mereka bukan setakat ibu dan anak malah bagaikan rakan karib.

Hampir semuanya dikongsi bersama daripada pakaian hingga kepada kasut dan beg tangan sementelah mereka berdua mempunyai cita rasa yang sama seperti ibunya.

Anak gadis ini juga gemar dengan aktiviti mendaki gunung kerana ia salah satu cara untuk dia berinteraksi dengan alam.

"Aktiviti ini secara tidak langsung memberikannya satu perspektif tentang alam semula jadi dan juga memberi saya ketenangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata," katanya.

Walaupun dirinya berhak untuk memilih apa jua jenama terkenal yang terdapat di pasaran, Erin lebih gemar memilih untuk mengikut stailnya sendiri.

Fesyen kegemaran Erin ialah tidak suka mengikut trend atau apa yang menjadi kegilaan wanita. Dia lebih senang mengikut cita rasanya sendiri.

Erin juga menetapkan had untuk tidak berlebihan dalam berfesyen dengan mengutamakan penampilan sederhana, sopan dan bercirikan kemelayuan," kata penggemar jenama Chanel dan Marc Jacob ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: