Wednesday, May 4, 2011

Pewaris legasi Sosilawati


Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau mesra disapa sebagai Rita.


Mewarisi empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit pada usia baru mencecah 26 tahun bukan itu rancangan awal Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

Namun takdir dan perjalanan hidupnya berubah sekelip mata apabila ibu tercinta yang merupakan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya pergi yang tidak akan kembali.

Dipercayai dibunuh dengan kejam bersama pemandu dan dua rakannya pada Ogos lalu oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan, pemergian Sosilawati memaksa Erni atau lebih senang disapa sebagai Rita, menggalas tanggungjawab mengemudi syarikat ibunya.

Biarpun masih 'hijau', sebagai anak sulong dia tidak mampu menolak tanggungjawab tersebut apatah setelah menjadi dahan berteduh kepada lima adik-adiknya, Erwan Suwari Ridzuan, 25, Erni Erinawati Sofea, 22, Md Erwan Nasri, 24, Erni Reenilawati, 21 dan Siti Nur Fatimah, 14.

Kini dia bertindak sebagai Ketua Pengawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Center Sdn. Bhd, pemegang jenama produk kecantikan Nouvelles Visages (NV).

"Memang dari awal lagi perjalanan hidup saya sudah diatur untuk mewarisi apa yang telah dimulakan arwah mama tetapi saya tidak menjangka seawal ini.

"Apa pun saya bersyukur kerana arwah mama sudah membuka laluan ini untuk saya sejak awal lagi. Sebab itu sebaik menamatkan pengajian peringkat ijazah di UiTM (Universiti Teknologi Mara) pada 2008, mama terus hantar saya ke London untuk ikuti bidang perniagaan.

"Tamat saja pengajian dia suruh saya balik, sehingga angan-angan untuk berkerja di sana buat sementara terpaksa dibatalkan.

"Awal tahun 2010 saya balik ke tanah air dan sekitar ibu sudah mula menyerahkan sedikit demi segala urusan syarikat bagaikan dia tahu dia akan pergi meninggalkan kami," katanya yang nyata masih belum kebah daripada kedukaan akibat kehilangan insan tersayang itu.

Menurut Rita, ketiadaan mama semakin dirasai menjelang Hari Ibu yang bakal disambut tidak beberapa hari lagi.

Kalau tahun lalu bersama-sama adik-adiknya yang lain mereka meraikan dengan keluar makan bersama, semua itu kini tinggal kenangan.

"Walaupun sudah hampir sembilan bulan dia pergi, rindu pada arwah mama tak pernah padam. Paling terasa apabila tidak dapat lagi menjamah masakan air tangan mama.

"Arwah mama memang pandai dan suka masak bukan saja untuk anak-anak malah pada rakan-rakannya yang selalu datang ke rumah.

"Kalau bulan puasa, meja makan rumah kami akan penuh dengan makanan sebab mama akan masak makanan kegemaran setiap seorang anak-anaknya. Tapi semua itu tinggal kenangan, tiada siapa mampu mengganti tempat mama di hati kami," katanya.

Bergelar usahawan

Walaupun baru bergelar usahawan, Rita mengakui dunia perniagaan bukan terlalu asing buatnya.

Malah dia sudah didedahkan dengan dunia tersebut seawal usia remaja lagi apabila kerap disuruh oleh ibunya membantu kerja-kerja di pejabat.

"Itulah cara mama. Dia lebih suka kalau anak-anaknya bermula dari bawah, merasai sendiri kepayahan untuk mencari wang.

"Malah sejak kecil kami adik-beradik tidak pernah dididik dengan kemewahan. Kata mama kesenangan hanya boleh dicapai dengan kerja keras dan tidak ada jalan pintas," katanya.

Rita mengakui arwah memang seorang yang tegas, berpendirian dan akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai apa yang diingini.

Biarpun tidak berpelajaran tinggi tetapi arwah berpandangan jauh, kalau tidak masakan dia boleh menjangka industri kosmetik boleh berkembang seperti hari ini.

Malah sifat tersebut yang membuatkan arwah berjaya membina empayarnya.

"Selepas ini mungkin ramai yang beranggapan kerja saya jadi lebih mudah sebab mewarisi nama yang sudah besar, tapi hakikatnya cabaran untuk saya lebih kerana hebat kerana untuk mempertahankan sesuatu kejayaan ada lebih payah daripada membinanya.

"Apa pun saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi bukan saja daripada adik-beradik bahkan seluruh kakitangan NV," ujarnya Rita ikhlas.

Lebih penting katanya, kepercayaan daripada pengedar-pengedar NV yang disifatkan sebagai nadi dan tulang belakang kepada kejayaan perniagaan ini.

"Ketika mama ada, tidaklah rasa takut sangat sebab dia ada untuk sokongan dari belakang. Tetapi sekarang saya perlu hadapi seorang diri, jadi saya perlu kuat dan tabah.

"Ada masanya saya juga perlukan seseorang untuk mendapatkan nasihat dan biasanya saya akan rujuk pada abah," katanya.

Sebagai 'orang baru' Rita tidak pernah menyekat dirinya daripada belajar dan bertanya terutama ketika membuat sesuatu keputusan perniagaan.

Sesekali dia juga akan turun padang bertemu stokis dan pengedar bagi mendekatkan hubungan.

Katanya, dalam perniagaan kosmetik cabaran paling besar ialah mengekalkan kepercayaan pelanggan terhadap produk.

Sebab itu dia sangat menitik beratkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan syarikat terus memberi yang terbaik kepada pelanggan.

"Saya perlu sentiasa berada selangkah ke hadapan dalam menghalusi trend pasaran semasa. Bukan saja supaya tidak ketinggalan, tetapi mengekalkan persaingan

"Tidak dinafikan memang akan ada yang membandingkan cara saya berkerja dengan cara arwah mama. Sebagai ahli perniagaan arwah memang tidak tandingan terutama dari segi ketegasan dan keberaniannya membuat keputusan.

"Apa pun saya akan cuba buat yang terbaik bagi memastikan empayar mama terus kukuh," katanya

Pemindahan ibu pejabat NV ke bangunan sendiri di CyberJaya pada hujung tahun ini merupakan antara projek pertama Rita sebaik mengetuai syarikat tersebut.

Bangunan yang akan dikenali sebagai Wisma NV itu bakal menjadi one stop center yang menempatkan semua kegiatan perniagaan syarikat tersebut termasuk spa yang merupakan antara produk baru mereka.

"Proses pemindahan sudah bermula sedikit demi sedikit dan Insya-Allah akan selesai sepenuhnya pada hujung tahun ini. Memang sudah tiba masanya untuk kami beroperasi di bawah satu bumbung memandangkan tahun depan NV akan menyambut ulang tahun ke 18.

"Insya-Allah selepas ini akan ada banyak lagi projek-projek baru yang akan menyusul," katanya

Kisah cinta

Sebagaimana rakan sebaya lain, Rita juga tidak dapat lari daripada naluri ingin dicintai dan mencintai.

Pernah digembar-gemburkan bercinta dengan pembaca berita sebuah stesen televisyen tempatan, namun cerita tersebut tinggal sekadar gosip.

Masih mahu berahsia tentang hati dan perasaan cukup sekadar mengatakan dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang.

Kata Rita, jejaka yang mula mengisi hatinya sejak tujuh bulan lalu itu sekadar orang biasa.

Belum merancang yang terlalu jauh kerana ingin menumpukan pada perniagaan, Rita berserah pada ketentuan jodoh dan menerima saja apa yang terbaik untuknya.

Ditanya lagi tentang ciri-ciri lelaki pilihan katanya; "Tidak ada ciri-ciri tertentu, memadai seseorang yang sayangkan saya, mengambil berat dan sentiasa ada ketika saya memerlukannya."

Minat fesyen

Seperti anak-anak gadis seusianya, Rita juga gemar berfesyen malah bercita-cita untuk membuka butik dan memiliki jenama pakaian sendiri suatu hari nanti.

namun dia bukan seseorang yang taksub dengan jenama tertentu, asalkan selesa dan sesuai dikenakan memadai untuknya.

"Sejujurnya agak lama juga saya tidak mengisi wardrobe dengan pakaian baru. Lagipun ketika di London dulu 'gila' membeli jadi ada pakaian yang masih belum terusik," katanya yang pernah mengikuti jurusan tekstil selama lima tahun di UiTM sebelum beralih ke bidang perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: