Monday, May 2, 2011

The Defender mahu menyengat di Putrajaya


PASUKAN The Defender dari DBKL akan berentap buat kali pertama pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! di Putrajaya.


PUTRAJAYA - Pasukan The Defender berazam untuk menyinar pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung di Gelanggang Futsal 1Malaysia, Presint 18 di sini bermula 26 hingga 29 Mei ini.

Pasukan yang mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu juga tidak gentar berdepan dengan pasukan-pasukan dalam kategori Terbuka Wanita lain walaupun bakal beraksi kali pertama dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM133,150.

Wakil pasukan itu, Sity Norazizah Jamal, 21, berkata, mereka mahu memberi cabaran hebat pada pasukan-pasukan lawan nanti.

Katanya, meskipun masih baru tetapi pasukan itu telah mempunyai trek rekod yang agak cemerlang selepas meraih tempat terbaik dalam beberapa liga tempatan peringkat Wilayah Persekutuan dan Gombak baru-baru ini.

"Kami akan berlatih bersungguh-sungguh sebagai persiapan menghadapi pasukan lawan pada kejohanan itu," katanya di sini semalam.

Sity Norazizah berkata, pasukan tersebut juga tidak sabar untuk beraksi pada kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah cukup lumayan.

"Hadiah-hadiah pada kali ini lebih menarik dan saya yakin kesemua habuan berkenaan menjadi pendorong untuk pasukan futsal bertarung dengan lebih bersemangat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: