|
|
Gelaran haji yang disandangnya itu cuma diketahui teman-teman rapatnya selepas dia selamat kembali ke tanah air. Komposer berusia 51 tahun itu menjadi tetamu Allah di Mekah itu pada musim haji tahun lalu.
Menurut pemegang nama sebenar Ramli Muhammad Salleh ini, dia tidak menjangka menunaikan haji dalam waktu yang singkat.
Dia yang mensasarkan berada di Tanah Haram itu tahun depan tetapi ternyata gamitan seruan haji begitu memanggil-manggil sehingga tiada apa yang mampu melawan suratan takdir tersebut.
"Saya merancang mahu mengerjakan haji pada tahun 2012. Saya pun memohon untuk merancang perjalanan itu melalui sebuah agensi di Singapura. Tetapi tidak sampai dua bulan permohonan saya itu diluluskan.
"Bagi saya itu adalah rezeki. Mungkin Allah mahu saya mempercepatkan urusan saya mengerjakan ibadah itu. Saya sendiri tidak menyangka. Pada masa sama saya juga bersyukur kerana diberi peluang mengerjakannya dalam keadaan kesihatan yang baik," ujarnya kepada S3.
Bagaimanapun, anak saudara kepada komposer S. Atan ini berasa tidak puas kerana mengerjakan ibadah itu dalam waktu yang singkat.
Ujarnya yang telah menduda sejak sembilan tahun lalu, meskipun diberi laluan mudah mengerjakan haji tetapi dia tidak terkecuali berdepan dengan cabaran yang berkaitan dengan kerjayanya.
Jelas Ramli, di saat dia begitu teruja dengan niat mahu melunaskan rukun Islam yang terakhir itu, dia pula terikat dengan kontrak menjayakan konsert Hetty Koes Endang pada waktu tersebut.
"Saya telah menandatangani kontrak sebagai penggubah lagu pada konsert Hetty Koes Endang pada waktu menerima tawaran mengerjakan haji pada musim tahun lalu itu. Saya tiada pilihan selain menerimanya.
"Namun, saya juga tiada pilihan selain hanya mampu mengerjakan haji kiran iaitu selama enam hari berbanding haji biasa yang biasanya dilakukan dalam tempoh sehingga 40 hari. Sebab itu, saya rasa tidak puas.
"Kalau boleh di masa akan datang saya mahu menunaikan lagi sekali ibadah haji dengan meluangkan lebih banyak masa di Mekah," jelasnya.
Bapa kepada Mohd. Najee, 21, dan Nadiah, 16, ini berkata, dia terpanggil menunaikan ibadah haji bukan disebabkan faktor umur mahupun dipengaruhi oleh sesiapa.
Sebaliknya, komposer dan pemuzik terkenal ini menyahut seruan haji selepas hatinya begitu tergerak untuk menunaikannya sejak beberapa tahun sebelum itu.
"Sebenarnya, sebelum pergi haji saya telah menunaikan umrah pada tahun 1996. Sejak saat itu, hati saya memang tergerak untuk menunaikan haji. Perkara itu berlarutan sehingga 14 tahun lamanya.
"Tetapi dalam hal ini bagi saya bukannya soal duit atau sebab-sebab lain tetapi ia kerana gerak hati dan takdir Allah. Kalau hendak kira duit, ramai orang yang ada duit tetapi tidak semua yang terpanggil untuk pergi ke Mekah," tuturnya.
Beliau yang telah lapan tahun tinggal menyewa di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor berkata, kali ini jika diizinkan Allah dia ingin menunaikan ibadah haji menerusi Lembaga Tabung Haji Malaysia.
Malah, di masa akan datang Ramli juga berhasrat untuk menunaikan haji sendirian selain meluangkan masa lebih lama di Tanah Suci Mekah sambil melakukan ibadah ziarah ke tempat-tempat suci yang lain di sana.
"Saya tidak nafikan pergi haji dari Malaysia iaitu sekitar RM12,000 berbanding di Singapura yang lebih mahal iaitu S$12,000 (RM24,000). Tetapi itu bukan alasan saya. Saya lebih selesa berada di sini dan pergi haji juga dari sini.
"Soal duit itu perkara kedua kerana yang penting ialah keikhlasan hati dan niat kita sebelum menunaikan ibadah ini. Saya juga tidak pernah menunjukkan gambar-gambar saya di Mekah kepada umum. Memang saya tidak mahu. Cukuplah sekadar berkongsi pengalaman saya ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: