Sunday, May 8, 2011

30,000 peminat di Port Dickson


MOHD Metor memperdengarkan lagu baru Nasib khusus untuk peminatnya di PD.


TIDAK ada apa lagi yang mampu kami katakan apabila melihatkan lautan manusia yang membanjiri Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson pada malam 30 April lalu yang cukup menakjubkan.

Lebih 30,000 penonton yang hadir bagi memeriahkan Konsert Pancaindera yang dianjurkan sempena Pesta Air Port Dickson 2011 dan sudah pasti tumpuan cukup terarah kepada barisan artis yang membuat persembahan pada malam tersebut.

Bagi pihak Pancaindera, Port Dickson bukanlah lokasi asing memandangkan setiap tahun pasti kami akan singgah ke lokasi tersebut.

Dalam memberikan kelainan kepada mereka yang cukup setia menyokong akhbar Mingguan Malaysia, kami seboleh-bolehnya mahu memberikan pembaharuan dalam segala hal terutama barisan artis yang cukup popular.

Untuk itu kehadiran Shaheizy Sam yang juga bintang yang cukup bergemerlapan, cukup menarik perhatian ramai. Adat menjadi orang popular, kemunculan Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam cukup untuk mencetuskan suasana yang lebih hangat.

Jerit pekik, laungan nama Sam sudah cukup membuktikan yang kehadirannya mencetuskan rasa ‘ghairah’ sebilangan besar peminat setianya terutama wanita.

Bergandingan dengan Yana Samsuddin di pentas tepi laut tersebut memang cukup mendebarkan. Mereka yang hadir bagi mempromosikan filem Kongsi yang akan keluar pawagam sedikit masa lagi benar-benar memberikan kelainan pada Konsert Pancaindera memandangkan ini pertama kali kami membuka jalan kepada penggiat filem tempatan untuk sama-sama terlibat.

Konsert yang bermula pukul 9 malam itu benar-benar gamat bila Didie Alias mula mengambil alih pentas. Dengan muka yang cukup bersahaja, penonton tidak kering gusi melihat keletah pelawak yang cukup dikenali dengan panggilan Lady Gaga Malaysia itu.

Keterujaan penonton berganda apabila Didie mula memperkenalkan pengacara yang bergandingan bersamanya. Bukan calang-calang orang memandangkan nama Shy8 atau lebih dikenali dengan nama Usop Wilcha muncul dipentas.

Lalu jerit pekik trademark “kita bakor ajer” yang merancakkan lagi suasana malam sebelum bermulanya konsert. Sudah pasti keterujaan Usop Wilcha berganda apabila melihat lautan manusia yang ada memenuhkan ruang kosong yang ada.

Ani Mayuni yang membuat persembahan pertama pada malam tersebut benar-benar memberikan impak dek lagu Goyang Inul yang dinyanyikan olehnya. Tak perlu dipertikaikan lagi kehebatan penyanyi yang cukup berpengalaman ini memandangkan ini memang gelanggangnya.

“Ini merupakan kali pertama Ani menyertai Konsert Pancaindera. Bila melihatkan kehadiran penonton pada malam ini, Ani memang teruja. Hilang semua penat dek kerana teruja nak mempersembahkan yang terbaik buat orang Port Dickson,” kata Ani sebaik sahaja selesai membuat persembahan.

Mohd Mentor yang menjadi penyanyi kedua yang beraksi cukup ramai peminat. Siapa kata Mohd tak popular? Bila dia menjemput tiga wanita muda menari bersamanya, terus ada yang naik pentas.

Mendendangkan lagu Madu Tiga, persembahan Mohd diteruskan dengan lagu Cinta dan single terbarunya Nasib yang baru sahaja diperdengarkan kepada khalayak.

Biarpun lagu tersebut begitu asing pada sebilangan besar peminat setia juara Mentor musim keempat tersebut, ia mengundang reaksi positif daripada peminat penyanyi tersebut.

Adat sebagai orang cantik, kehadiran Marsha pada malam itu cukup untuk menunjukkan populariti penyanyi berkenaan masih belum jatuh.

Bila naik ke pentas sahaja, peminat sudah mula menunjukkan reaksi positif sejak terpandang wajah manis penyanyi ini.

Biarpun ketika itu dia baru sahaja putus cinta, ternyata Marsha tidak terbawa oleh emosi. Lagu Yang Terbaik yang didendangkan benar-benar membawa ingatan sebilangan besar pengunjung kepada kemunculan awal penyanyi berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: