Wednesday, May 25, 2011

Autonomi mantapkan UiTM Sarawak


Arshad Ayob (kanan) mengucapkan tahniah kepada para penerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-74 di Samarahan, baru-baru ini.


SAMARAHAN 24 Mei - Pemberian status Kampus Autonomi kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak bukan sahaja memantapkan lagi tadbir urus institusi itu, malah berjaya melonjakkan kecemerlangan penuntutnya sehingga setaraf dengan universiti terkemuka yang lain.

Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayob berkata, sejak diberi kuasa autonomi, UiTM Sarawak terus berkembang dengan pantas sehingga menjadi antara kampus cawangan UiTM yang unggul dan berdaya saing.

"Strategi menawarkan program baru berorientasikan gabungan pelbagai bidang daripada peringkat pra diploma sehingga kedoktoran terbukti berjaya meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM Sarawak.

"Selain itu, kita juga bakal memperkenalkan kira-kira 200 program baru yang bersifat multi disiplin, multi fakulti dan futuristik bagi menggantikan program sedia ada yang kurang relevan dengan situasi semasa," katanya pada konvokesyen UiTM ke-74 di sini baru-baru ini.

Seramai 666 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis yang diadakan dalam dua sidang itu.

Arshad berkata, berdasarkan prestasi semasa dan peningkatan memberangsangkan semua cawangan, beliau yakin sasaran UiTM untuk memiliki 200,000 penuntut di seluruh negara menjelang 2015 pasti tercapai.

Selain itu, katanya, UiTM Sarawak merupakan antara kampus cawangan yang mempunyai jumlah penuntut paling ramai iaitu hampir 6,000 orang manakala menjelang 2015, jumlah penuntut dijangka meningkat sehingga 10,000 orang.

"Ini adalah hasil usaha warga kampus yang tidak pernah berputus asa dalam memastikan anak bumiputera di negeri ini berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi tanpa mengira pangkat dan asal-usul mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: