![]() |
| Sebahagian orang ramai tertarik melihat pameran pada majlis perasmian sambutan Hari Kualiti dan Hari Terbuka KAYM 2011 di Melaka, semalam. |
MELAKA 24 Mei - Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) bercadang mewujudkan Akademi Pendidikan Orang Asli yang dijangka dapat beroperasi awal tahun depan.
Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk kelulusan dan program tersebut akan digerakkan bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di seluruh negara.
Menurutnya, jika cadangan tersebut diterima, ia akan menjadikan KAYM sebagai pusat pengajian tinggi pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan pendidikan seperti itu untuk Orang Asli.
''Melalui akademi tersebut, KAYM akan mengenal pasti kumpulan Orang Asli yang layak mengikuti pengajian sama ada dalam pengajian akademik atau kursus kemahiran sedia ada.
''Pada masa ini, kita dapati daripada 190,000 Orang Asli yang ada cuma kira-kira 300 orang sahaja yang mendaftar mengikuti pengajian tinggi,'' katanya kepada pemberita pada majlis perasmian sambutan Hari Kualiti dan Hari Terbuka KAYM 2011 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah Orang Asli yang berpeluang mendapatkan pendidikan akademik amat kurang dan KAYM bertanggungjawab membantu golongan itu mengikuti pengajian akademik dan kemahiran ke peringkat tinggi.
Menurut Saroni, pihaknya juga telah mengatur kerjasama dengan beberapa syarikat swasta dan agensi kerajaan yang bersedia menawarkan program pengajian akademik yang sesuai termasuk kursus kemahiran menepati minat Orang Asli.
Misalnya, kata beliau, pelajar Orang Asli yang didapati berminat dalam bidang kemahiran pembuatan bot akan dihantar mengikuti latihan dengan syarikat pembuat bot terkenal di negeri ini, Boat Explorer Sdn. Bhd.
Usaha itu kata beliau, menepati komitmen dan hasrat kerajaan yang mahu rakyat negara ini meraih pendapatan tinggi termasuk Orang Asli melalui kemahiran diri yang dimiliki oleh golongan itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: