Wednesday, May 25, 2011

Politeknik perlu diperkasa, jadi pilihan lepasan SPM


DUA pelajar cemerlang, Mohamad Hazri Abdan (kiri) dan Muhammad Najib Aziz berkongsi kegembiraan selepas menerima Anugerah Pengarah Politeknik pada majlis konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-40, di Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 24 Mei - Semua politeknik di negara ini perlu diperkasakan dengan imej baru supaya ia mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Mohlis Jaafar berkata, langkah itu bertujuan melahirkan graduan politeknik yang mempunyai kemahiran dan daya keusahawanan yang tinggi.

Beliau berkata, usaha itu merupakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dalam merealisasikan Agenda Transformasi Politeknik yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Februari tahun lalu.

"Negara perlu meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus kepada 37 peratus menjelang tahun 2015," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-40 Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini kelmarin.

Seramai 3,084 graduan sesi Januari 2010 dan Julai 2010 menerima diploma dan sijil masing-masing bagi Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik, Perkapalan, Perdagangan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Justeru, Mohlis berkata, bagi mencapai matlamat itu, tenaga pengajar perlu mengubah pemikiran mereka ke arah pemupukan budaya kerja yang cemerlang demi mempertingkatkan kompetensi dan profesionalisme dalam melonjakkan imej politeknik di mata masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mahukan graduan lepasan PUO membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka merupakan produk berkualiti tinggi, mampu menghadapi persaingan, daya tahan yang kental dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran tinggi.

Menurutnya, peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda terbuka luas kepada graduan di empat universiti teknikal sedia ada iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: