Sunday, May 15, 2011

Ajar anak tentang pemakanan

Kanak-kanak yang sedang membesar, terutama sekali prasekolah dan sekolah rendah mudah menyerap maklumat dan belajar kemahiran baru. Waktu ini adalah paling sesuai untuk mereka belajar tentang pemakanan yang baik dan tabiat makan yang sihat.

Tidak sukar mengajar anak-anak kecil tentang pemakanan. Cara terbaik untuk mengajar mereka adalah dengan menggalakkan mereka menyertai proses penyediaan makanan, daripada merancang sehingga membeli bahan dan memasak.

Merancang hidangan untuk seminggu atau harian merupakan cara terbaik menghasilkan sajian berkhasiat untuk keluarga anda. Ketika merancang hidangan, anda perlu tahu bahan yang diperlukan dan jenis masakan yang ingin dihidang. Secara tidak langsung ia menjimatkan wang, masa dan juga mengelakkan tekanan yang terpaksa anda lalui ketika memikirkan hidangan yang hendak disediakan 30 minit sebelum waktu makan malam.

Semasa merancang senarai sajian masakan untuk seminggu, beri peluang kepada anak anda menyumbang idea, seperti sajian yang ingin dinikmatinya untuk makan tengah hari atau makan malam untuk beberapa hari yang akan datang.

Sebagai ibu bapa, anda boleh membantu mereka memilih makanan dalam lingkungan yang ditetapkan dengan mengambil kira prinsip-prinsip berikut:

Tetapkan untuk menyediakan makanan mengikut tiga waktu makan utama, dan snek yang berkhasiat setiap hari, jika perlu.

Makanan mestilah berkhasiat dan mengandungi semua kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

Pastikan kepelbagaian, seboleh-bolehnya elak daripada mengulang contohnya jika anda masak stew ayam pada hari Isnin, hidangkan ikan kukus pada hari Selasa. Jika anda hidangkan bijirin untuk sarapan pagi, sediakan nasi atau mi untuk makan tengah hari dan makan malam.

Sediakan sajian makanan dengan cara memasak yang sihat, seperti mengukus, memanggang, menumis goreng, menyalai dan membakar.

Terangkan kepada anak-anak sebabnya anda menyediakan makanan dengan cara tertentu. Misalnya, memanggang ayam adalah lebih sihat dan kurang berminyak berbanding menggoreng. Apabila anak-anak anda merasakan mereka menyumbangkan idea untuk merancang menu, mereka pasti teruja untuk menyertai langkah seterusnya - iaitu membeli-belah dan memasak.

Membeli dan Mengajar

Bawa anak-anak anda bersama ketika keluar membeli bahan makanan untuk dimasak. Gunakan peluang ini untuk mengajar mereka tentang makanan dan pemakanan.

Anda boleh mengajar mereka tentang pelbagai makanan (seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, ayam dan daging) mentah, supaya mereka boleh mengaitkan makanan dengan warna, bau dan tekstur dalam sajian masakan.

Jelaskan tentang nutrien penting dalam setiap makanan yang memberi manfaat kepada kesihatan mereka. Contohnya "lobak merah baik untuk mata". Terangkan jenis makanan yang perlu dikurangkan dan sebabnya. Contohnya, ketika mereka minta makanan manis, katakan "makanan ini terlalu manis dan lebih baik kita pilih makanan lain yang lebih berkhasiat".

Untuk anak-anak sekolah, anda boleh menggunakan label makanan sebagai alat pembelajaran. Ajar anak-anak anda mencari tarikh luput pada label makanan, atau mengetahui ramuan yang digunakan dalam sesuatu produk makanan dengan menyemak senarai ramuan.

Anda juga boleh berkongsi petua membeli-belah yang berguna dengan anak-anak. Mereka boleh belajar membandingkan harga antara dua produk yang sama, tetapi berlainan jenama.

Jangan lupa untuk menggalakkan anak-anak kecil anda mencarikan bahan-bahan makanan dalam senarai anda, atau memberi peluang kepada mereka memilih buah epal dan sebagainya. Apabila anak-anak anda terlibat dalam pemilihan makanan, mereka lebih berminat untuk makan sajian yang disediakan.

Jika anak-anak anda sudah boleh membantu kerja di dapur, penglibatan mereka dalam sajian makanan dapat merapatkan hubungan anda dengan anak-anak di samping anda juga dapat menyampaikan pengetahuan tentang pemakanan kepada mereka.

Anda boleh mulakan dengan memberi mereka tugas mudah seperti membasuh buah-buahan, menyiat sayuran, mengambil bahan-bahan keluar daripada peti sejuk, menggaul bahan kering, atau menghias hidangan.

Jika si manja anda ingin cuba memasak, bantu dia mengisi roti dengan tuna untuk membuat sandwic, menggelek, memotong doh biskut, atau memasukkan potongan buah-buahan ke dalam pengisar untuk membuat jus buah-buahan.

Sambil membantu anda di dapur, jangan lepaskan peluang untuk menerangkan kepada mereka cara memastikan sajian yang disediakan adalah berkhasiat dengan menggunakan kaedah memasak yang sihat.

Apabila membantu si manja mencuba kemahirannya di dapur, anda boleh mengajarnya tentang amalan keselamatan dan tabiat menjaga kebersihan. Contohnya seperti membasuh tangan sebelum memasak, jangan berlari-lari di dapur, dan memakai apron untuk melindungi pakaian dan diri daripada tumpahan. Ini ialah untuk mengelakkan kemalangan di dapur dan memastikan makanan yang disediakan selamat untuk dimakan.

Para ibu digalakkan untuk merancang dan menyediakan sarapan yang mudah dan berkhasiat untuk anak-anak mereka. Semangkuk bijirin sarapan penuh dan segelas susu sudah memadai. Tetapi mengapa tidak biarkan si manja memainkan peranan aktif? Dia hanya perlu memasukkan bijirin ke dalam mangkuk, menambah susu bersama sedikit potongan buah-buahan kegemarannya, dan menikmati kelazatan sarapan yang berkhasiat sebelum ke sekolah.

Seperti kata pepatah Inggeris "Tunjukkan kepada mereka, mereka akan ingat, libatkan mereka, mereka akan faham". Jadi, seboleh-bolehnya libatkan anak-anak anda dalam proses penyediaan sajian makanan. Tidak terlalu awal untuk mengajar anak-anak tentang pemakanan yang baik dan tunjukkan kepada mereka cara untuk melakukannya.

Tentu seronok memasak bersama anak-anak menggunakan resipi mudah dan lazat daripada buku resipi "Hidangan Berkhasiat - Resipi Mudah untuk Si Manja sedang Membesar". Buku resipi ini diterbitkan di bawah program Bulanan Pemakanan Sihat Malaysia dan mengandungi maklumat pemakanan dan petua memasak yang praktikal. Ia membantu ibu bapa menyediakan sajian makanan yang berkhasiat untuk anak-anak prasekolah dan sekolah rendah. Untuk mendapatkan buku resipi ini, sila hubungi Sekretariat di talian 03-5637 3526.

l Penulis adalah Ahli Persatuan Dietitian Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: