Sunday, May 15, 2011

Variasi rasa Rainforest Bistro


AYAM pandan.


MENGUNJUNGI Pasar Seni atau popular disebut CM, pasti membuatkan sesiapa saja terleka. Pelbagai jenis barangan terdapat di situ, daripada cenderamata, perhiasan hingga himpunan fesyen terkini.

Penat meninjau dari satu lot ke satu lot yang lain, tekak mula terasa peritnya. Terbayang alangkah lega andai dapat meneguk segelas air, ditambah pula menjamah sedikit hidangan buat mengalas perut yang mula berkeroncong.

Ayuh ke Rainforest Bistro yang terletak pada satu sudut bangunan bersejarah itu. Dimiliki oleh Rotol Group Co. yang turut mengendali beberapa restoran ternama seperti Imperial Chakri Palace dan Bangkok Connexion, premis kecil itu menawarkan variasi rasa yang tidak membuatkan pengunjung menunggu terlalu lama.

Kafe berkonsep gaya hidup ini menyediakan gabungan makanan Thai, Barat dan tempatan dengan harga berpatutan. Pembuka selera enak disajikan antaranya sup Hutan Hijau yang enak dimakan bersama roti bawang putih. Selain itu salad udang harimau juga tidak mengecewakan.

Hidangan utama di Rainforest Bistro menepati pelbagai selera seperti fajitas; sejenis roti yang kemudian diisi kondimen dan digulung sebelum makan. Hidangan popular Mexico itu dipadankan dengan ayam sizzling lada hitam yang enak.

Tidak ketinggalan ayam pandan, masakan Thai popular enak yang sangat disukai pelanggan Chakri. Nasi goreng istimewa Rainforest digemari ramai kerana rasanya yang berempah dan bahagian cukup untuk dinikmati dua orang.

Sebagai kafe gaya hidup yang terletak di kompleks membeli-belah tumpuan, premis itu juga sesuai untuk mereka yang berhenti sejenak menikmati segelas minuman. Justeru pelbagai jenis minuman disediakan seperti long paradise, moonlight twist dan pilihan jus buah segar.

Rainforest bistro dibuka setiap hari juga terdapat di cawangan Sunway Pyramid, Pavillion KL dan Rainforest Cafe di Menara KL.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: