Sunday, May 15, 2011

Ibarat menjaga wajah


PENJAGAAN bahagian sulit sama pentingnya seperti menjaga wajah.


SETUJU andai dikatakan menjaga kawasan sulit sama pentingnya seperti menjaga wajah?

Bagi Perunding Ginekologi, Dr. Tang Boon Nee, beliau sangat percaya kawasan kemaluan dan muka mempunyai persamaan dalam banyak perkara.

"Antaranya kedua-dua kawasan mempunyai kulit yang sensitif, bulu-bulu halus, membran mukos, jerawat, reaksi alergi, mudah kering, berkeruping dan mendapat jangkitan kulat," kata beliau ketika menyampaikan bengkel anjuran Sanofi Aventis, pengedar utama pencuci bahagian sulit wanita, Lactacyd baru-baru ini.

Menurut beliau, kita biasanya lebih memberi perhatian kepada bahagian muka kerana menganggap ia sebagai penampilan pertama dan mengabaikan penjagaan bahagian sulit hanya kerana ia tertutup. Kita juga katanya sanggup berbelanja lebih untuk penjagaan wajah dan langsung tidak mempedulikan penjagaan alat sulit sehingga masalah melarat baru hendak merujuk kepada doktor.

Tegas Dr. Tang, tanggapan begitu patut diubah kerana alat sulit juga sama pentingnya dengan anggota tubuh yang lain dan ia sebenarnya lebih terdedah kepada jangkitan bakteria serta pelbagai masalah berkaitan sakit puan yang lain.

"Alat sulit mudah dijangkiti kuman, mengalami keradangan, tercedera dan mendapat penyakit seperti bartholin's cyst, alahan bahagian vulva, herpes, ketuat vulva dan kanser vulva," katanya.

Setiap wanita kata beliau sering mengadu mengenai kegatalan di bahagian alat sulit. Adakalanya ia turut mengundang kesakitan apabila digaru, membengkak malah keadaan lebih buruk seperti berbau disebabkan pengeluaran cecair.

Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, masalah tersebut merupakan perkara biasa terutama bagi mereka yang tinggal dalam keadaan cuaca tropika yang panas dan lembap. Keadaan itu katanya memudahkan pembiakan kulat di bahagian yang tertutup.

Kebiasaannya, wanita yang mengalami berat badan berlebihan dan penghidap diabetis lebih terdedah kepada masalah di bahagian alat sulit. Tidak kira mereka yang aktif seks atau tidak, penjagaan bahagian sulit perlu diberi perhatian oleh setiap wanita, katanya.

Namun tegasnya, harus diingat bahawa tidak semua kegatalan berpunca daripada jangkitan, tidak semua pengeluaran cecair adalah penyakit dan tidak semua ketulan atau lump menunjukkan petanda kanser.

"Apa yang penting, jangan malu untuk berjumpa doktor dengan segera andai menyedari terdapat kelainan pada bahagian alat sulit anda," kata beliau.

Elakkan:

n memakai pakaian ketat sepanjang

masa

* 'douching' di bahagian alat sulit andai tidak mengalami masalah

* memakai alas seluar dalam terlalu lama, terutama mereka yang mengalami alahan kulit

* meletak sebarang objek sebagai contoh bertindik di bahagian kemaluan.

* membiar bahagian alat sulit basah atau lembap.

Amalkan:

n membersih setiap hari dengan sabun lembut, pH seimbang

* lap dari depan ke belakang

* pakai pakaian yang longgar

* keringkan kemaluan selepas dibasuh (mungkin tidak keterlaluan andai digunakan pengering rambut untuk mengering kawasan ini)

* ketika datang bulan, tukar tuala wanita dan seluar dalam dengan kerap

* bertemu doktor jika terdapat kelainan pada alat sulit

Soalan yang sering ditanya:

1. Patutkah saya mencukur bulu

kemaluan?

Terpulang pada keselesaan masing-masing. Bagi sesetengah individu, bercukur licin menyebabkan kulit mereka menjadi gatal. Cukup sekadar memastikan ia pendek dan yang penting,

kebersihan terjaga.

2. Adakah pengeluaran cecair di bahagian alat sulit menyebabkan saya berbau? Biasanya, individu yang mengalami keadaan itu sedar dengan bau yang tidak menyenangkan tetapi orang di sekeliling tidak.

3. Cukupkah sekadar membasuh dengan air? Saya lebih gemar mengesyorkan wanita menggunakan sabun lembut.

4. Berapa kerap alat sulit perlu dibasuh dengan sabun? Dua kali sehari, atau setiap kali membuang air kecil dan besar.

5. Adakah perlu pemakaian alas seluar dalam? Tidak semestinya. Jika tidak ada masalah pengeluaran cecair tidak perlu. Namun jika dipakai, ia perlu diganti dengan kerap.

6. Bila sepatutnya saya bertemu doktor? Andai mengalami pengeluaran cecair yang berwarna kuning kehijauan, berbau dan berterusan melebihi tiga hari, juga andai terdapat ketulan, ketuat atau sebarang keganjilan pada alat sulit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: