|
|
HUJAN yang mencurah-curah di Pasir Gudang, Johor pada 30 Mei lalu menjadikan perjalanan konsert Pancaindera yang diadakan di daerah berkenaan sedikit terganggu pada awalnya.
Jika suasana di Port Dickson meriah dengan sambutan lebih 30,000, di Pasir Gudang sekitar 3,000 penonton yang hadir.
Ini kerana, sedari pukul 5 petang, hujan mencurah-curah dan hanya berhenti pada sekitar pukul 9.30 malam.
Ini membuatkan Padang Layang-Layang Pasir Gudang, tempat berlangsungnya acara telah dibanjiri air dan ‘merimaskan’ keadaan.
Ditambah pada malam yang sama, berlangsung satu perlawanan bolasepak di stadium berhampiran dan keadaan ini menjadikan konsert berlangsung dalam suasana sederhana, tetapi tetap meriah.
Dianjurkan bersama oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Universiti Tun Hussain Onn, konsert Pancaindera di sini diadakan bersempena dengan penganjuran acara Fiesta Hari Pekerja dan Usahawan Muda Siswazah 2011.
Tertangguh lebih satu jam untuk menanti hujan reda, semangat artis yang terlibat bagaimanapun tetap jitu.
Seolah menghiburkan lebih 10,000 penonton, setiap artis bersemangat dan memberikan persembahan terbaik mereka sama seperti dalam banyak konsert kami sebelum ini.
Walaupun ada ketikanya hujan merembes semula, ada artis yang memilih untuk berpayung dan menutup kepala dengan surat khabar demi untuk menghiburkan orang Pasir Gudang.
“Ini semua adalah hukum alam. Hujan ini adalah hujan rahmat dan kami gembira bertemu dengan semua orang Pasir Gudang.
“Orang Pasir Gudang jangan bimbang, semua artis tetap bersemangat bersama anda semua di sini,” kata penyanyi Harapan, Fazli Zainal.
Konsert bermula dengan penampilan artis Akademi Fantasia yang juga anak Johor, Nija.
Membawakan lagu rock rancak, Nija tampil membuka selera dengan cukup berkesan apabila menyampaikan dua lagu popular Ella termasuk Dua Insan Bercinta.
Ibu muda ini kelihatan masih bersengat di pentas.
“Setelah hampir setahun saya tidak menyanyi, Konsert Pancaindera mengembalikan saya ke pentas.
“Terimakasih kepada Pancaindera kerana memberikan peluang ini dan saya sangat terharu beraksi di depan peminat di Pasir Gudang,”kata Nija.
Selepas Nija, mengambil tempat ialah artis-artis muda seperti Daus AF, Nubhan yang mempunyai bukan sedikit peminat.
Apa lagi, jeritan dan laungan anak-anak kecil tatkala melihat kemunculan Daus dan Nubhan memecah suasana konsert.
Seperti konsert yang lain, Pancaindera tidak meminggirkan kalangan pelakon yang turut kami undang menjayakan acara.
Kali ini, Erry Putra yang juga penyanyi tampil di pentas bagi menggamatkan lagi suasana.
Sudah pasti keadaan semakin hangat apabila dua penyanyi wanita popular, Alyah dan Farawahida mengambil tempat.
Dua penyanyi yang bervokal mantap ini menghapus gusar seketika dan memberikan hiburan maksimum kepada seluruh pengunjung.
Selain itu, kemunculan Bagio Damasutra mengejutkan ramai. Menyampaikan lagu Sufi dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Bagio membawa penonton bermimpi yang indah-indah buat seketika.
Keletah Roslan Shah yang bergandingan dengan Azzarima sebagai pengacara majlis, ternyata banyak menyelamatkan keadaan.
Kuiz dan segmen game yang dianjurkan menawarkan hadiah istimewa iaitu cenderahati payung bertulisan Mingguan Malaysia tepat dengan suasana hujan.
“Macam tahu-tahu saja Mingguan Malaysia bagi hadiah payung, sebab itulah hujan semenjak siang tadi,” gurau Roslan Shah.
Selain acara konsert, artis turut tidak melepaskan peluang bermesra dengan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti yang disediakan penganjur.
Langsung tidak berkira, setiap artis sama terlibat dalam acara aerobik bersama pada keesokan harinya yang turut disertai Yang Dipertua MPPG, Rahim Min.
Selain itu, artis turut menjayakan acara futsal yang disediakan penganjur terlibat dengan hasilnya, pasukan artis tewas ditangan jawatankuasa penganjur. Tewas dengan berapa jaring gol? Kalau nak tahu, tanya orang Pasir Gudang.
Pancaindera secara peribadi merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada penganjur, penonton dan semua yang terlibat dalam acara di Pasir Gudang kali ini.
Meskipun acara konsert sedikit tergendala pada awalnya, acara lain yang disediakan penganjur berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan.
Selepas ini, Konsert Pancaindera akan berkampung di Melaka, Bandaraya Bersejarah bersempena dengan Pesta Sungai Melaka 2011. Banyak artis popular telah mengesahkan kemunculan mereka termasuk Jehan Miskin, Fizo Omar, Kamal Adli, Didie Alias, Fazli Zainal dan Roslan Shah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: