PADAT, sibuk dan sesak menjadi nadi utama kepada ibu negara Jepun, Tokyo, kala menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu, baru-baru ini.
Enggan membiarkan diri terus dihambat keletihan, penulis bersama rakan media tidak membuang masa menjelajah kawasan sekitar hotel yang terletak di wilayah Shibuya.
Shibuya mungkin boleh dianggap sebagai wilayah fesyen baru selepas Harajuku dan Shinjuku kerana setiap ceruk dan lorong di kawasan itu dipenuhi kedai serta butik pakaian, aksesori dan kecantikan di samping pusat hiburan terkini.
Nama Shibuya itu sendiri merujuk kepada wilayah perniagaan sentral yang mengelilingi stesen kereta api elektrik bawah tanah paling sibuk di Tokyo.
Bangunan 109 yang terletak di persimpangan Shibuya menjadi tumpuan kepada kepesatan wilayah. Di dalamnya pelbagai koleksi pakaian, aksesori dan kasut wanita boleh diperoleh pada harga serendah YEN500 (RM17).
Namun, mercu tanda Shibuya pastinya terarah kepada tugu anjing gangsa yang terletak berhampiran satu daripada lima pintu keluar stesen kereta api elektrik wilayah itu sempena memperingati anjing bernama Hachiko yang setia menanti tuannya yang ditemui mati kerana dijangkiti virus.
Menurut sejarah, Hachiko menanti kepulangan profesor Universiti Tokyo, Hidesaburo Ueno setiap hari di stesen itu hinggalah Ueno tidak kelihatan pada Mei 1925 kerana meninggal dunia selepas bergelut dengan barah otak.
Hachiko terus menanti Ueno selama sembilan tahun berbekalkan makanan belas ihsan daripada orang ramai hinggalah ditemui mati di pintu stesen itu.
Bangkainya kemudian diawet dan disimpan di Muzium Sains Nasional Jepun hingga kini.
Masa bagaikan pantas berlalu meskipun perbezaan masa antara Jepun dan Malaysia hanya sejam. Pada sebelah malamnya, rombongan kami dibawa melawat butik Uniqlo di wilayah Ginza yang menawarkan hartanah paling mahal di Tokyo.
Di sini, jenama antarabangsa seperti Chanel, Louis Vuitton, Gucci dan Abercrombie & Fitch mudah dikunjungi dan pada kedudukan berhampiran.
Hari kedua di Jepun menyaksikan kembara fesyen kami diteruskan ke pusat pentadbiran kerajaan di Shinjuku yang terletak di barat Tokyo. Sesuai dengan suasana korporat di kawasan itu, rata-rata warga tempatan baik lelaki dan wanita lengkap memakai sut walaupun musim panas baru seminggu bermula.
Paling menarik apabila kami teruja melihat sekumpulan lelaki segak berkemeja serta sut tapi berambut panjang seperti pelakon lelaki popular di negara itu. Yang pasti, pemandangan seperti itu tidak akan ditemui di Malaysia.
Usai melakukan tugasan dan bersiar-siar ditemani wakil Uniqlo, Keiko Yamamoto dan Yasuhiro Hayashi, kami kembali ke hotel di Shibuya Mark City dan terkejut dengan ribuan manusia berjersi biru yang memenuhi kawasan sekitar.
Rupa-rupanya mereka berhimpun sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak Jepun yang bersaing di Piala Dunia Afrika Selatan malam itu.
Jika di Malaysia, pasti berlaku rusuhan dan bermacam perkara tidak diingini. Namun di Tokyo, masyarakatnya masih berhemah dan bersopan-santun lalu memudahkan laluan sekumpulan polis yang bertugas di kawasan itu.
Kami terkejut apabila beberapa lelaki yang mabuk meminta maaf kepada seorang rakan, sedangkan rakan penulis itu yang melanggarnya. Ternyata nilai-nilai ketimuran mereka masih kental sungguhpun Jepun memacu arus kemodenan dunia.
Pesta itu berlangsung hingga awal pagi tapi ia disulami suasana pilu dan tangisan masyarakat tempatan apabila Jepun gagal ke suku akhir selepas ditewaskan Paraguay menerusi sepakan penalti 5-3.
Hari ketiga kami dipenuhi sesi temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo, Tadashi Yanai dan Pegawai Kumpulan Pengeluaran, Yoshihiro Kunii di Tokyo Midtown yang terletak dalam wilayah Roppongi, berhampiran Menara Tokyo yang seakan Menara Eiffel.
Kami kemudian berehat untuk makan tengah hari selama dua jam dan penulis mengambil kesempatan itu untuk menjelajah kawasan sekitarnya sambil ditemani rakan media dari majalah Eh!
Roppongi terkenal di kalangan pelancong, terutama dari Barat, dan dikatakan mereka pasti mengunjungi wilayah itu sekurang-kurangnya sekali kerana ia menawarkan pelbagai kelab dan bar berhampiran pusat hartanah integrasi, Roppongi Hills yang didiami ramai orang kenamaan dan selebriti Jepun.
Selesai semua urusan tugasan, kami bercadang menghabiskan petang terakhir di Tokyo dengan merasai pengalaman menaiki kereta api elektrik bawah tanah dari Roppongi ke Shibuya bernilai YEN120 (RM4.30).
Pening juga melihat peta laluannya kerana terlalu banyak warna digunakan bagi mewakili setiap laluan seperti Hibiya Line (kelabu), Ginza Line (jingga), Hanzomon Line (ungu) dan Asakusa Line (merah jambu).
Malam terakhir kami dihabiskan dengan bersiar-siar dan meraikan kemeriahan di Shibuya sambil menikmati aiskrim Haagen Dasz teh hijau yang jauh lebih murah berbanding di tanah air.
Kami turut berjalan kaki dari Shibuya ke Harajuka yang hanya mengambil masa 15 ke 20 minit. Kami turut sempat merasai makanan sup panas yang dibeli dari mesin.
Di sana, pembelian barang dari mesin menjadi kebiasaan dan hampir kebanyakan barang keperluan seperti makanan, air tin, air botol, selipar dan rokok turut dijual menerusi mesin.
Sepanjang di Tokyo, kami juga tidak mengalami masalah makanan kerana banyak pilihan makanan laut seperti sushi, sashimi, tepanyaki dan tempura.
Kebiasaannya, setiap restoran hanya menjual satu jenis hidangan, misalnya restoran tempura cuma menghidangkan makanan itu tanpa menu tambahan seperti sushi atau tepanyaki.
Kami akhiri rombongan ini dengan sesi membeli-belah di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Perlu diingatkan, anda mesti berada di balai pelepasan sekurang-kurangnya sejam sebelum menaiki pesawat kerana pihak keselamatannya menjalankan pemeriksaan rapi hingga kami perlu membuka kasut, jaket dan mengeluarkan semua barang elektronik dari dalam beg.
Kami tinggalkan Tokyo dengan seribu satu peristiwa dan yang pastinya sopan santun serta keramahan penduduknya sentiasa dalam ingatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: