Sunday, July 18, 2010

Nik puas buat sofa

TEMPIAS kegawatan dirasai kebanyakan orang dan dia tidak terkecuali. Ketika bahang kejatuhan ekonomi melanda pada 1997, dia diberhentikan kerja. Namun, kehilangan pekerjaan bukan bermakna dirinya harus tenggelam punca dan cuma berserah pada nasib.

pix_middle
pix_topright


Enggan mengalah pada keadaan, Nik Ahmad Ariffin, 48, mengubah angin menyeberangi seberang tambak, Singapura untuk mencari nafkah.

Bagaimanapun, setahun hujan emas di negara orang, kesukaran mendapatkan permit kerja di negara itu menyebabkan dia akur dan mengambil keputusan berhenti kerja.


Kali ini dia nekad memulakan perniagaan kerana menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat berniaga di samping melihat potensi besar dalam industri pembuatan perabot.

Tanpa modal dan pinjaman daripada sebarang agensi, pilihan yang ada pada Nik Ahmad ialah menjual kereta yang dipakai. Hasil jualan kenderaan itu, dia memperoleh RM10,000 yang dijadikan modal memulakan perniagaan.

Mengorak langkah pertama, Pengarah Urusan Furnitech Industries (M) Sdn Bhd itu menyewa sebuah kedai kecil di Taman Melawati, Hulu Klang dan membeli mesin serta peralatan membuat perabot.

Pengalaman sebagai pelukis pelan serta bidang rekaan selama enam tahun dijadikan sandaran lelaki ini meneroka dunia pembuatan perabot yang jarang diceburi Bumiputera.

Bermula dengan pembuatan kerusi pejabat selama lapan tahun, dia beralih ke bidang pembuatan sofa yang diyakini mampu melangkah jauh kerana mempunyai pasaran lebih luas.

"Pembuatan sofa satu kepuasan untuk saya. Ketika mengusahakan kerusi pejabat, pasarannya baik tetapi memerlukan kontrak. Jadi saya beralih kepada pembuatan sofa kerana melihat potensi besar dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, sepanjang mengusahakan pembuatan sofa, tiada masalah besar dihadapi, cuma kerja dilakukan perlu teliti dan kekemasan dalam penghasilan produk sangat penting.

"Ini kerana setiap produk yang kita hasilkan berdasarkan tempahan dan pelanggan menaruh harapan tinggi pada kita untuk menghasilkan produk seperti yang mereka harapkan.

"Jika pelanggan berpuas hati, mereka akan datang lagi kepada kita atau memberitahu rakan. Daripada situ, pelanggan semakin bertambah dan mereka percaya pada kualiti dan perkhidmatan ditawarkan syarikat," katanya.

Memperoleh pasaran daripada kontrak, kerajaan dan individu, Nik Ahmad berkata, sofa kini sebahagian gaya hidup, malah kebanyakan rumah mesti ada sofa dan pejabat juga tidak terkecuali menyediakannya untuk keselesaan tetamu.

"Sofa dihasilkan di kilang saya ialah 'custom made' iaitu rekaan dibuat mengikut kehendak pelanggan. Mereka bebas menempah mengikut cita rasa masing-masing, sama ada memberi idea rekaan diingini atau memilih warna fabrik mahupun material yang tidak sama dengan pelanggan lain.

"Kebanyakan pelanggan lebih selesa memiliki barangan yang rekaannya tersendiri iaitu tiada di tempat lain. Ini menjadikan barangan yang ditempah khas lebih istimewa kerana tidak sama dengan sofa di rumah jiran atau rakan.
"Malah, sebilangan pelanggan juga membuat tempahan kerana sudah ada konsep iaitu mahukan corak pada fabrik sofa mereka senada dengan langsir dan boleh dipadankan dengan permaidani," katanya.

Mempertaruhkan jenama 'Nik' iaitu namanya sendiri, Nik Ahmad berkata, tidak dinafikan setiap pekerjaan dilakukan memang ada susahnya tetapi apa juga dilakukan, ia perlu disertai keikhlasan.

"Apabila melakukan perkara yang kita minat, pasti ia dilakukan dengan kesungguhan dan keikhlasan. Jadi, saya akan cuba atasi setiap masalah dan tidak jadikan ia penghalang untuk memajukan perniagaan.

"Misalnya, jika berjanji dengan pelanggan dalam tempoh tertentu, saya akan usahakan untuk menghantar tempahan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Untuk memantapkan perniagaan, Nik Ahmad sentiasa mengikuti kursus, latihan dan pendedahan, misalnya dari Pusat Teknologi Industri Perabot (Fitec) di bawah Mara serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang membawanya mengikuti pameran di luar negara.

Peluang mengikuti ekspo perabot di luar negara membolehkannya mendapat pendedahan dan meluaskan pasaran industri pembuatan perabot. Nik Ahmad pernah mengikuti pameran perabot di Romania, Bangladesh dan terbaru di Milan, Itali.

"Apabila menyertai pameran di luar negara, kesannya pasaran semakin besar dan kami perlu bersedia daripada segi kapasiti pengeluaran. Ketika mengikuti ekspo di Itali, sesuatu yang membanggakan ialah orang Itali tahu Malaysia menghasilkan perabot berkualiti.

"Ini kerana mereka pernah membeli perabot Malaysia dan tahu kualiti produk kita setanding dengan produk antarabangsa. Susulan ekspo itu Furnitech Industries kini dalam peringkat menghantar sampel kepada Itali," katanya.

Ketika ditemui di kilangnya di Jalan Batu Caves, Kuala Lumpur, Nik Ahmad berkata, dia tidak mempelajari kaedah pembuatan sofa daripada pihak berkaitan, sebaliknya belajar sendiri disebabkan minat tinggi.

"Proses cuba buat dan gagal perkara biasa sewaktu mula menceburkan diri dalam industri perabot. Apapun, kita tiada pilihan kecuali menyiapkan tempahan pelanggan.

"Pada peringkat awal, memang adat ada pelanggan tidak berpuas hati dengan kualiti produk, tetapi saya menerima dengan hati terbuka dan cuba memperbaiki kelemahan. Pengalaman datang selari dengan kualiti. Proses itu memakan masa panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: