KES kehilangan kanak-kanak dipercayai diculik yang berlaku di dalam negara sebelum ini mencetus idea kepada seorang anak muda untuk mencipta jam pintar yang mampu membantu memberi isyarat atau petunjuk jika berada dalam situasi sedemikian.
Bersandarkan situasi berkenaan, siswa Seni Bina dan Reka Bentuk (Reka Bentuk Industri) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mencipta jam tangan pintar dikenali sebagai i-Watch bagi membolehkan ibu bapa mengesan anak mereka jika didapati hilang atau gagal dikesan.
"Idea menghasil dan memperkenalkan i-Watch tercetus selepas saya melihat kesengsaraan dihadapi keluarga kanak-kanak hilang seperti dilaporkan media.
"Sebab itu saya mengambil inisiatif menghasilkan satu alat yang boleh digunakan dengan mudah oleh kanak-kanak dan mendapati bentuk jam tangan adalah paling sesuai," katanya.
Muhammad Syafiq berkata, jam ciptaannya dilengkapi skrin paparan elektronik (LED) yang dicipta khusus bagi memudahkan orang awam mengetahui butiran asas si pemakai supaya lebih mudah mengenal pasti identitinya.
Menurutnya, jam pintar rekaannya dihasilkan dengan ciri yang memudahkan ibu bapa mengesan anak mereka dengan segera pada saat kecemasan, sekali gus mengelak kanak-kanak dilarikan.
Katanya, ia juga menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) untuk mengesan lokasi pemakai dan mempunyai paparan LED maklumat asas pemakai seperti nama, nombor kecemasan untuk dihubungi dan alamat kediaman.
Selain menampilkan ciri keselamatan untuk kanak-kanak, Muhammad Syafiq berkata jam pintar itu juga boleh dimanfaatkan oleh individu yang mengalami masalah mental, sindrom Down dan warga emas.
"Dengan spesifikasi yang dilengkapi pembesar suara, alat perakam dan penunjuk arah, ia boleh membantu memberi maklumat seperti identiti dan juga isyarat kepada keluarga mereka kerana kebanyakan penghidap masalah mental serta sindrom Down tidak mampu mengawal diri mereka.
"Selain itu, jam pintar ini dilengkapi sistem kekunci tersendiri dan hanya boleh dibuka oleh pihak yang rapat dengan si pemakai, jadi cara itu boleh mengelak ia dibuka oleh pihak lain," katanya.
Muhammad Syafiq yang kini menjalani latihan amali di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Selangor berkata, pada mulanya dia menghasilkan reka bentuk jam pintar berkenaan sebagai mengisi jadual untuk ujian semester pengajiannya.
Menurutnya, setiap semester semua penuntut jurusannya perlu menghasilkan tiga rekaan dan jam pintar berkenaan adalah satu daripada ciptaannya.
Kebetulan UIAM mengadakan Persidangan Antarabangsa Dalam Reka Bentuk Alam Sekitar 2009 yang juga menganjurkan pertandingan rekaan membabitkan penyertaan terbuka di seluruh negara dan ia memberi peluang kepadanya untuk mencuba nasib.
"Pensyarah saya memberi sokongan untuk menyertai pertandingan itu dan tanpa disangka dipilih pula sebagai pemenang ketiga, ia membuatkan saya bangga kerana hasil ciptaan ini mendapat pengiktirafan," katanya.
Menurutnya, dia berhasrat mengkomersialkan ciptaannya supaya ia benar-benar berfungsi kepada masyarakat seperti tujuan rekaan dihasilkannya, tetapi ia belum diusahakan lagi.
Katanya, ciptaannya juga belum didaftarkan paten secara rasmi dan masih banyak lagi yang boleh dilengkapkan supaya rekaannya benar-benar mampu memberi satu mekanisme berguna untuk kegunaan orang ramai.
>PROFIL
NAMA: Muhammad Syafiq Muzahid
UMUR: 23 tahun
LAHIR: 6 Julai 1987 di Bandar Jengka, Pahang
PENDIDIKAN: Jurusan Seni Bina dan Reka Bentuk (Reka Bentuk Industri) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Persidangan Antarabangsa Dalam Reka Bentuk Alam Sekitar 2009
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: