Sunday, July 18, 2010

Saya tak maaf

BUNYINYA sekeras hentakan batu yang dilempar kuat ke dinding, tapi itulah lara pedih di hati Raja Farah Afzal Raja Ikram atau mesra dipanggil Tom yang kini masih trauma berikutan kejadian yang menimpanya awal minggu lalu.

pix_middle


Dihambat dengan pelbagai persoalan dan andaian pihak tertentu, Selebriti cuba menyelami hati dan perasaan wanita bertubuh genit ini untuk tatapan umum.

“Untuk ke sekalian kalinya, perbuatan pukul tidak pernah wujud antara saya dan Ayien, malah kami berkawan baik selepas diperkenalkan suaminya.


“Saya akui pernah bercinta dengan Firdaus (suami Ayien) lebih 11 tahun lalu ketika masih bersekolah di tingkatan dua tapi itu cerita lama.

“Dek kerana prihatin dengan masalah dihadapi pasangan suami isteri itulah saya tawarkan diri untuk membantu mereka di sini,” kata ibu tunggal berusia 25 tahun itu.

Tom meluahkan rasa kecewa, kesal dan sedih dengan malang bertimpa biarpun niat hanya untuk menjernihkan kemelut yang melanda pihak keluarga Firdaus dan Ayien yang difahamkan tidak merestui perkahwinan pasangan itu.

Ditanya mengenai isu kiriman pesanan ringkas (SMS) kononnya Tom dan Firdaus memukul dan ‘bermesra’ yang dikirim hingga menjadi punca pergaduhan kedua-dua pihak terbabit, ibu kepada anak lelaki berusia dua tahun setengah bernama Adam ini percaya situasi itu berlaku berikutan perasaan cemburu yang terbit dari hati Ayien.

“Saya kenal Ayien melalui Firdaus. Biasalah hati wanita akan cepat tersentuh jika tiba-tiba suami memperkenalkan teman karib yang juga bekas kekasih kepada isteri.

“Kemesraan yang saya tunjukkan terhadap suaminya pun hanya sekadar kemesraan rakan yang ingin membantu apabila dia dalam kesusahan. Namun kemesraan itu disalah erti hingga mengakibatkan si isteri bertindak demikian,” kata anak jati Taiping ini.

Bagaimanapun, lama kelamaan Ayien mula menerima Tom di dalam hidupnya selepas melihat kejujuran dan keikhlasan yang ditunjukkan Tom untuk membantu pasangan itu memulakan hidup baru di Kuala Lumpur.

Malah Tom akui, mereka menjadi akrab dan sering melakukan aktiviti bersama di samping menjaga Ayien yang mengandung anak sulung ketika itu.

Biarpun kesal dengan tindakan Ayien menghantar SMS terbabit kepada keluarganya di Perak, Tom tidak sekalipun marah kerana baginya ia tindakan luar kawalan yang boleh terjadi kepada sesiapa saja.

“Tapi saya tidak akan maafkan keluarga Ayien sampai mati!” tegasnya berikutan campur tangan keluarga Ayien yang membelasahnya seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menjatuhkan karier seninya.

Enggan hipokrit pada dirinya sendiri, Tom menegaskan dia tidak kisah jika pihak keluarga Ayien terus memburukkan namanya di media kerana percaya mereka akan terus berbuat demikian.

“Seperti bermain catur, situasi sudahpun ‘check-mate’ di mana mereka tidak punya alasan untuk terus menjatuhkan saya selain menggunakan bukti SMS yang dihantar dulu,” katanya yang mengakui ada menghantar SMS berbaur ugutan kepada seorang keluarga Ayien beberapa minggu lalu.

Mengakui terlalu mengikut perasaan ketika menghantar SMS itu, Tom memberi alasan ayat yang berbunyi ‘aku lempang’ timbul selepas dia terus diprovok dengan pelbagai ayat yang menghentamnya.

Berikutan SMS ugutan itu, keluarga terbabit membuat laporan polis. Dua laporan polis dibuat keluarga terbabit iaitu SMS berbaur ugutan dan insiden pergaduhan minggu lalu, Tom tertanya-tanya kenapa keluarga itu tidak melaporkan dakwaan dia memukul Ayien seperti yang diuar-uarkan mereka.

“Jika saya salah, buktikan pada pihak berkuasa kerana saya tidak kisah diambil tindakan undang-undang, bukan melalui cara gila menghentam saya melalui media untuk menjatuhkan saya,” katanya tegas.

Tom yang kini sibuk menyiapkan album mini sulung berkonsepkan rock urban bersama Warner Music tertekan dengan situasi yang melanda hingga mengganggu tumpuannya terhadap proses rakaman.

Malah dia yang turut terbabit sebagai artis undangan menyanyikan lagu ciptaan seorang peserta program realiti Keynote siaran Astro hampir gagal menyampaikan lagu ciptaan peserta itu hingga menjejaskan persembahannya.

Pihak pengurusan Warner Music menasihati Tom supaya berhenti membuat sebarang kenyataan akhbar selepas kisah lara yang berlaku itu dipaparkan di ruangan Selebriti ini.

Demi merealisasikan proses rakaman mini album yang memuatkan lima lagu itu, Tom akur dengan keputusan pihak pengurusannya dan berharap semua pihak berhenti memburuk-burukkan namanya.

Katanya, biarpun maruah sudah tercemar berikutan insiden itu, ia sekalipun tidak akan menghalangnya untuk meneruskan langkah dalam bidang yang dicintai ini.

“Terimalah saya kerana bakat yang ada dalam diri ini, bukan kerana kontroversi yang merepek ini,” katanya yang turut menyimpan impian bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM) satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: