“BALIK dari sekolah, anak sulung saya mengadu ada rakan sekelas mengajaknya melayari laman web lucah ketika kelas komputer. Risau sungguh, baru tahun lima sudah pandai cari benda tidak elok begitu. Di rumah, saya atau ayahnya akan temankan dia apabila melayari Internet, di luar siapa boleh kawal? Tak boleh salahkan cikgu, sebab ada ramai murid yang perlu dijaga,” rungut seorang ibu.
Memang tidak dapat dinafikan kelebihan Internet dalam membantu mengembangkan pengetahuan pengguna muda. Cari apa saja, semuanya ada dan kerana ini juga jika tidak diawasi, Internet boleh menjadi saluran yang merosakkan, terutama bagi remaja dan kanak-kanak yang belum matang untuk membezakan antara baik dan buruk.
Tahukah anda, ‘seks’ adalah perkataan paling banyak dicari dalam Internet dan jika tidak dipantau, tidak mustahil anak anda termasuk dalam berjuta pencari itu! Ini kerana kajian menunjukkan ibu bapa Malaysia kurang mengambil tahu apa yang dicari anak mereka ketika melayari Internet.
Berdasarkan Laporan Keluarga Online Norton 2010, walaupun kebanyakan ibu bapa sedar bahaya yang mungkin dihadapi jika terdedah dengan bahan tidak sewajarnya, memberi maklumat peribadi atau berjumpa orang yang dikenali melalui alam siber itu, hanya empat daripada 10 ibu bapa benar-benar tahu apa yang dicari anak mereka di Internet.
Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar, secara purata kanak-kanak di Malaysia menghabiskan 19 jam seminggu atau 76 jam sebulan hanya untuk melayari Internet. Dalam tempoh panjang ini tidak hairan jika 87 peratus pengguna muda ini mengakui pernah melalui pengalaman negatif yang memberi kesan terhadap emosi mereka.
Kajian itu juga mendapati tiga peratus ibu bapa tidak tahu aktiviti anak mereka apabila melayari Internet. Jika anda termasuk dalam kategori ini, ambil tindakan segera dengan meluangkan sedikit masa untuk menemankan anak dan memerhatikan aktiviti mereka walaupun anda menganggap anak ‘cukup besar’ untuk menjaga dirinya daripada bahaya Internet.
Namun anda mungkin tidak sedar, anak yang dianggap cukup besar ini antara calon paling berpotensi untuk menjadi mangsa, terutama remaja perempuan. Cuba anda lihat balik berapa ramai remaja perempuan menjadi mangsa rogol apabila berjumpa rakan baru yang dikenali melalui laman sembang di Internet.
Kini dengan adanya pelbagai laman sembang yang membolehkan hampir semua orang menjadi kawan, cabaran keselamatan ini lebih hebat dan ia tidak hanya tertumpu pada kanak-kanak atau pengguna muda kerana ada orang dewasa turut menjadi mangsa penipuan.
Antara kes terbaru dilaporkan di media membabitkan 10 lelaki yang terpukau dengan janji palsu wanita jelita, menyebabkan mereka kerugian hampir RM10,000.
Cinta Internet juga menyebabkan enam wanita terpedaya dengan kata-kata manis lelaki hidung belang berusia 40-an yang bijak menggunakan pendekatan agama. Seorang daripada wanita berkenaan kehilangan RM300,000 selepas sembilan bulan berkenalan.
Yang menyedihkan, wanita ini bukan saja kerugian wang malah tergadai maruah kerana lelaki berkenaan turut meniduri mereka! Berita polis menumpaskan sindiket dianggotai 11 pelajar dari Nigeria dan tiga wanita tempatan yang memperdaya lebih 100 wanita ketandusan kasih sayang melalui laman sembang sosial baru-baru ini dengan jumlah penipuan hampir RM1.5 juta adalah bukti bahawa keselamatan di Internet perlu diberi lebih penekanan.
Menurut Penasihat Keselamatan Internet Norton Asia, Effendy Ibrahim, kajian mendapati 40 peratus pengguna muda ini berasa menyesal melakukan sesuatu yang dianggap tidak wajar di Internet, apatah lagi selepas melalui pelbagai gangguan emosi kesan daripada kesilapan mereka. Antara gangguan emosi berkenaan ialah:
Internet kini menjadi taman permainan menarik untuk penjenayah mencari mangsa, terutama di kalangan pengguna muda. Kajian mendapati 72 peratus kanak-kanak dan pengguna muda berkata pernah menerima pelawaan daripada individu tidak dikenali sebagai kawan dalam rangkaian teman sosial mereka dan 27 peratus mengakui pernah diajak berjumpa.
“Yang menarik ialah, kanak-kanak Malaysia sebenarnya mahukan keselamatan on-line dan bersedia menerima pembabitan ibu bapa dalam ‘kehidupan maya’ mereka. Tujuh daripada 10 ibu bapa di negara ini mempunyai peraturan penggunaan Internet di rumah dan empat daripada 10 meletakkan ‘kawalan ibu bapa’ pada komputer yang digunakan seisi keluarga.
“Lebih menarik, 76 peratus kanak-kanak berkata mereka mematuhi peraturan ditetapkan ibu bapa dan menjadikan ibu bapa sebagai rujukan utama apabila membabitkan soal keselamatan di Internet.
“Malah pengguna muda berkenaan berasakan mereka menggunakan terlalu banyak masa melayari Internet dan berpendapat ia perlu dihadkan,” katanya.
Isunya, ramai ibu bapa beranggapan anak mereka hanya menggunakan 11 jam seminggu untuk melayari Internet sedangkan tempohnya lebih lama (19 jam).
Oleh kerana anak bersedia menerima kehadiran ibu bapa dalam kehidupan maya mereka, ada beberapa langkah boleh diambil iaitu: > Ambil tahu aktiviti dan laman web yang dilayari anak
> Terbabit sekali dengan aktiviti anak (sebagai langkah memantau mereka secara on-line)
> Periksa aktiviti anak selepas mereka selesai menggunakan komputer. Hanya 21 peratus ibu bapa yang memeriksa kembali laman web yang dilayari anak
> Laporkan perlakuan mencurigakan kepada penyedia laman web atau pihak berkuasa
> Letakkan peraturan penggunaan Internet di rumah, jika belum ada
> Belajar dan ikuti perkembangan teknologi kerana hanya dengan cara ini anda dapat melindungi anak daripada jenayah siber.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: