Sunday, July 18, 2010

Pernah dipatuk 10 kali

KETIKA rakan sebayanya menjadikan haiwan tidak berbahaya seperti kucing sebagai binatang peliharaan kesayangan di rumah, berbeza pula dengan Puteri Nur Ariyani Saiful Yazan, 24, yang memilih memelihara ular untuk didekatinya.

pix_middle
pix_topright


Malah, pernah berlaku ular dipeliharanya terlepas dan berkeliaran di dalam rumah sehingga mengejutkan ahli keluarganya kerana bimbang dipatuk reptilia itu.

"Saya mula menjinakkan diri dengan ular ketika belajar di tingkatan empat selepas mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pemain ular berpengalaman di Sungai Petani.


"Saya habiskan masa selepas waktu persekolahan atau cuti untuk belajar cara menjinakkan ular walaupun perasaan takut dan geli menyelubungi diri kerana tidak biasa berdepan reptilia itu," katanya yang kini mengadakan pertunjukan bersama ular di Muzium Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan.

Dia yang digelar Ratu Ular kini mengadakan persembahan dengan tinggal dalam sebuah cermin kaca bersama 100 ekor ular termasuk jenis tedung selar, tedung senduk, punti dan ular sawa selama 30 hari bermula dari 6 Julai lalu dan berakhir 6 Ogos depan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Butterworth, Pulau Pinang itu mengakui sepanjang lapan tahun terbabit dalam persembahan dengan pelbagai jenis ular, sudah 10 kali dia dipatuk reptilia berbisa itu.

Bagaimanapun, katanya, kejadian dipatuk ular tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus beraksi di depan orang ramai, malah dia terima cabaran mengadakan persembahan dan pertunjukan bersama ular di beberapa negeri, termasuk di Kota Bharu, Sungai Petani dan Tanjong Karang, Selangor.

"Sudah empat kali saya ambil bahagian dengan tinggal bersama 100 ekor ular di dalam cermin kaca dalam persembahan saya di Kota Bharu pada 2004 selain di Sungai Petani, Kedah awal tahun ini serta Tanjong Karang pada Jun lalu.

"Saya bangga dapat mengadakan persembahan bersama ular berikutan tidak ramai wanita atau gadis di negara ini yang terbabit dengan kerjaya ini," katanya.

Walaupun geli dan takut masih menyelubungi perasaan, dia tetap cekalkan hati dan belajar daripada mereka yang berpengalaman untuk menjinakkan pelbagai jenis ular, termasuk yang berbisa.

Aksinya tinggal bersama 100 ular dalam sebuah cermin berukuran hanya lima meter panjang dan tiga meter lebar sungguh mencabar kerana mampu mengundang bahaya jika tidak berhati-hati.

Dia berkata, persembahan kali kedua di negeri itu bagi meningkatkan latihan dan kemahiran tinggal bersama ular sebagai persiapan untuk mencatat rekod dunia yang dijangka diadakan di Putrajaya, hujung tahun ini.

"Saya mendapat bimbingan dan latihan bermain dengan ular sejak berusia 16 tahun oleh Saiful Abd Aziz yang bertindak sebagai pengurus peribadi bagi mengatur persembahan di negara ini, termasuk di Muzium Negeri Kelantan selama sebulan.

"Ketika berada dan tinggal bersama pelbagai jenis ular dalam cermin yang tertutup, saya perlu berhati-hati supaya binatang berbisa itu tidak mudah menyerang kerana haiwan itu boleh bertindak agresif apabila rasa terancam," katanya.

Persembahan Puteri Nur Ariyani bersama ular mendapat perhatian pengunjung daripada pelbagai lapisan usia untuk melihat secara dekat bagaimana dia menjinakkan reptilia berbisa itu.

Malah, aksinya memasukkan kepala ular punti ke dalam mulutnya antara persembahan menarik yang ditunjukkan gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu.

Puteri Nur Ariyani berkata, pembabitannya dalam kerjaya itu mendapat sokongan ibu bapanya dan ia memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk terus berjaya dalam bidang diceburi.

Katanya, ketika di bangku sekolah, tidak terlintas di fikirannya untuk mengadakan persembahan dan pertunjukan dengan ular, sebaliknya minat itu datang ketika di tingkatan empat.

"Ketika kali pertama melihat pertunjukan oleh kumpulan pemain ular di Sungai Petani, timbul minat untuk mencuba sebelum saya diberi peluang belajar untuk berjinak dengan ular yang dikategorikan tidak berbisa.

"Bagaimanapun, selepas didedahkan dengan aksi bermain dengan ular, saya mula bertambah yakin dan merasakan ia sesuai dengan jiwa yang suka cabaran dan risiko, lalu mengambil keputusan terus menceburi kerjaya itu," katanya.

Sementara itu, pengurus kepada Ratu Ular itu, Saiful Abd Aziz mengakui Puteri Nur Ariyani mempunyai bakat dan kesesuaian untuk menyertai kumpulannya yang bergerak ke seluruh negara bagi mengadakan persembahan dan pertunjukan bersama ular.

Katanya, walaupun ramai gadis, terutama di Sungai Petani, mahu belajar berjinak dengan ular, langkah awal dilakukannya ialah mengenal pasti tahap kemampuan selain mengambil kira disiplin diri.

"Ketika saya adakan persembahan di Sungai Petani, Puteri Nur Ariyani datang dan menawarkan diri untuk belajar berjinak dengan ular dan kami beri peluang kepadanya untuk mencuba.

"Selepas pendedahan selain bimbingan bagaimana menjinakkan ular termasuk yang berbisa, Puteri Nur Ariyani mampu memperlihatkan kemahiran dan keyakinan tinggi untuk berdepan reptilia itu.

"Dengan pendedahan mengadakan pertunjukan bersama ular di negara ini, saya lihat Puteri Nur Ariyani mampu mencapai cita-citanya untuk berjaya dalam kerjaya diceburi," katanya.

>PROFIL
NAMA: Puteri Nur Ariyani Saiful Yazan
UMUR: 24 Tahun
TEMPAT TINGGAL: Sungai Petani, Kedah
BILANGAN KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PENCAPAIAN: Pernah mengadakan persembahan dan tinggal bersama ular dalam jelajah di Kota Bharu, Kelantan pada 2004 dan 2010; Sungai Petani, Kedah (awal tahun 2010) dan Tanjong Karang, Selangor (Jun 2010)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: