Sunday, July 18, 2010

ASWO persis profesional

KETIKA kaki melangkah ke Dewan Putra Perdana, Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya, telinga disapa dengan bunyi tiupan seruling, trompet, saksafon dan ketukan dram yang dimainkan mengikut not hingga menghasilkan melodi indah dan harmoni.

pix_middle


Justeru, tidak hairan ia dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Akhir Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2010 baru-baru ini.

Lebih manis lagi, kejayaan diraih selepas takhta mereka dirampas dan terpaksa menunggu dua tahun untuk mengecapinya semula.


Mungkin ada yang tertanya-tanya maksud wind orchestra.

Daripada luaran ia sama seperti persembahan orkestra yang biasa dilihat, namun yang membezakannya adalah keseluruhannya menggunakan peralatan muzik tiupan yang dipersembahkan di ruangan tertutup dan tidak membabitkan pergerakan.

ASWO yang ditubuhkan sejak 1996 dianggotai 65 ahli daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Guru Pembimbing ASWO, Nik Anita Che Hamid berkata, bukan mudah untuk melatih pelajar mengendalikan alat muzik, lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan dan latar belakang mengenai muzik.

Katanya, pelajar perlu mempunyai kemahiran mengendalikan alat muzik dengan betul selain mampu membaca dan menterjemahkan not muzik.

"Setiap ahli mempunyai peranan yang sama penting kerana kegagalan seorang ahli mengendalikan alat muziknya dengan baik akan menjejaskan keseluruhan persembahan.

"Ada tiga bahagian dalam kumpulan ini iaitu woodwind, brass dan percussion yang membabitkan penggunaan alat muzik dan fungsi berlainan," katanya.

Nik Anita berkata, setiap bahagian berkenaan akan diketuai dan dipantau seorang ketua yang bertanggungjawab memastikan kelancaran persembahan.

"Oleh kerana semua alat muzik berunsurkan tiupan, kadar penafasan betul perlu diberi perhatian supaya setiap alat muzik dimainkan dengan sempurna.

"Nadi bagi setiap persembahan wind orchestra bergantung kepada trompet kerana bunyi dan alunan dikeluarkan oleh alat muzik itu mempengaruhi hampir keseluruhan persembahan," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di SSAS.

Dia berkata, ASWO menggunakan khidmat tenaga pengajar profesional bagi memantapkan persembahan dan susunan muzik mereka.

Kebiasaannya, latihan dilakukan setiap hujung minggu dan jika terbabit dalam mana-mana pertandingan, latihan dilakukan dengan lebih kerap.

Apabila ditanya mengenai cabaran sepanjang memimpin ASWO, Nik Anita berkata, pada awal penubuhannya, kumpulan itu berdepan masalah kewangan.

"Memang tidak dapat dinafikan penubuhan ASWO memerlukan belanja besar untuk membeli alat muzik selain kos penyelenggaraannya.

"Kami terpaksa mencari dana sendiri bagi menampung perbelanjaan kerana peruntukan yang diterima dari kerajaan adakalanya tidak mencukupi," katanya.

Bukan mudah untuk membina reputasi dan imej ASWO kerana mereka perlu merangkak dari bawah dan bersaing dengan pasukan sekolah lain yang lebih berpengalaman.

Selain itu, mereka terpaksa berdepan perspektif negatif ibu bapa pelajar yang beranggapan bidang muzik tidak boleh menjamin masa depan.

Mengimbau kembali kejayaan dalam Pertandingan Akhir Wind Orchestra SBP pada 4 Julai lalu, Nik Anita berkata, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk ASWO muncul juara.

"Kami hampa apabila kejuaraan yang kami miliki pada 2007 dirampas dan peluang layak ke peringkat akhir dalam pertandingan itu adalah platform terbaik untuk menebus kembali maruah SSAS.

"Kami menerima saingan sengit daripada beberapa pasukan, terutama juara bertahan. Dengan tekanan dapat ditepis, kami akhirnya berjaya menjadi juara," katanya.

Memainkan lagu bertajuk 'Orient Express', ASWO berjaya merangkul kejuaraan buat kali kelapan sejak pertandingan itu dianjurkan pada 1997.

Kejayaan itu melayakkan ASWO membawa pulang RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Ditanya rahsia di sebalik kejayaan ASWO, dia berkata, dua elemen utama iaitu disiplin dan kerjasama sering dititikberatkan.

"Bagi saya, kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerjasama yang ditunjukkan semua ahli kerana ASWO tidak akan dapat menempa nama jika seorang ahli gagal memberi komitmen sepatutnya.

"Malah, moto kumpulan iaitu 'The Harmony Lies In Your Heart' sentiasa tersemat di hati setiap ahli dan menjadi peniup semangat kami," katanya.

ASWO bukan saja meraih kejayaan di dalam negara tetapi juga menempa nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi pingat perak dalam Singapore International Band Festival pada 2008.

>PROFIL
NAMA: Ahmad Wafie Elssal Mohd Adil
UMUR: 17 tahun
ASAL: Kuantan, Pahang
KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
POSISI: Konduktor pasukan

MEMIKUL tugas sebagai konduktor ASWO adalah tanggungjawab besar dipikul oleh pelajar aliran Sains Perakaunan ini.

Dia diibaratkan nakhoda yang mengemudi rakannya supaya memberi persembahan terbaik dan sempurna.

Katanya, dia harus bijak membaca dan memahami not muzik bagi semua alat muzik yang digunakan bagi memudahkannya memberi arahan kepada ahli ASWO.

"Saya juga perlu peka dengan setiap bunyi yang dimainkan ahli ASWO bagi memastikan ia mengikut not muzik disediakan.

"Jika seorang ahli bermain dengan sumbang, ia akan mencacatkan keseluruhan persembahan, sekali gus menjejaskan kualiti persembahan ASWO," katanya.

Tambahnya, setiap alat muzik mempunyai alunan dan irama berbeza dan dia perlu tahu alat muzik mana perlu diberi penekanan setiap kali ketika membuat persembahan.

Meminati muzik sejak di sekolah rendah, Ahmad Wafie berkata, lagu yang mempunyai rentak dan irama perlahan sukar dikendalikan.

"Setiap pergerakan tangan saya perlu lebih jelas supaya apa yang cuba saya sampaikan difahami oleh rakan," katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk terus menceburi bidang muzik orkestra.

>PROFIL
NAMA: Muhammad Muzakkir Asyraf Mohd Ramli
UMUR: 17 tahun
ASAL: Jerantut, Pahang
KELUARGA: Kedua daripada lima beradik
POSISI: Ketua pasukan dan bermain tenor saksafon

SEJAK menyertai ASWO dari tingkatan satu, dia berpeluang beraksi dalam Pertandingan Akhir Wind Orchestra SBP sebanyak lima kali dan berjaya menikmati tiga kejuaraan.

"Setiap kali ASWO layak ke pertandingan akhir, saya bertekad memberi persembahan terbaik.

"Saya mahu meneruskan tradisi SSAS untuk memahat nama sebagai pasukan unggul dalam bidang muzik wind orchestra," katanya.

Dia berkata, wind orchestra seolah-olah sinonim dengan SSAS dan dia mahu ASWO terus mencapai kejayaan.

Apabila ditanya kekuatan ASWO, Muhammad Muzakkir berkata, mereka memiliki tahap disiplin tinggi selain dinamik dalam melakukan persembahan.

"Bukan mahu mendabik dada tetapi ASWO mampu membawa apa juga jenis lagu, sama ada berentak perlahan mahupun rancak.

"Semangat setiakawan dan kerjasama antara kami juga kukuh walaupun pernah berdepan pelbagai masalah dan kekecewaan," katanya.

Tambahnya, memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan, dia perlu sentiasa berfikiran positif dan optimis dalam setiap tindakan diambil.

>PROFIL
NAMA: Ahmad Najmi Aziz Jaafar
UMUR: 16 tahun
ASAL: Kuantan, Pahang
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
POSISI: Bermain tuba

MEMERLUKAN tenaga yang banyak dan nafas yang panjang. Itu yang diperlukan ketika mengendalikan tuba, sejenis alat muzik seakan-akan trompet tetapi saiznya lebih besar.

Bagi Ahmad Najmi, pada mulanya sukar untuknya meniup alat muzik berkenaan dan sering keletihan, namun selepas mempelajari teknik pernafasan betul dia akhirnya selesa mengendalikannya.

"Saya perlu mengeluarkan angin dari dalam perut untuk meniup tuba dengan sepenuh hati bagi mengelak bunyinya kedengaran sumbang.

"Walaupun ia besar dan membebankan, saya selesa mengendalikannya, tambahan ia unik berbanding alat muzik lain," katanya.

Tambahnya, yang menjadi cabaran padanya adalah apabila memainkan lagu rancak kerana ia memerlukan kadar pernafasan laju mengikut kesesuaian irama dan melodi lagu.


>INFO
> Pasukan Wind Orchestra Sekolah Alam Shah (ASWO) ditubuhkan pada 1996
> Dianggotai 65 pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima
> Memenangi lapan kejuaraan Pertandingan Akhir Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh sejak dianjurkan pada 1997
> Moto pasukan: 'The Harmony Lies In Your Heart'
> Memenangi pingat perak dalam pertandingan Singapore International Band Festival pada 2008

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: