Friday, July 16, 2010

Rancang buka pusat kaunseling

DAHULU wajahnya sering dinantikan di hadapan televisyen bersama dua rakan lain, Rafidah Abdullah dan Low Ngai Yuen.

pix_middle
Pengalaman mengacara rancangan 3R nyata meninggalkan seribu kenangan yang sukar dilupakan buat Azah Yazmin Yusof Ali, 36.


Apatah lagi berhadapan dengan pelbagai isu wanita yang menjadikan dirinya lebih memahami kerenah serta permasalahan wanita yang perlu ditangani segera.


Menurut Azah, keprihatinannya mengenai isu wanita terdorong sejak kecil. Bergelar anak tunggal perempuan dalam keluarga menjadikan Azah sangat berdikari. Ini kerana ayahnya tidak mahu dia lemah dan bergantung kepada orang lain.


Tidak seperti kanak-kanak lain, sejak kecil dia diajar menguruskan diri sendiri dan selepas memasuki universiti barulah Azah tahu apa yang dilakukan ibunya adalah untuk kebaikannya.


"Sejak kecil saya diajar berdikari serta menguruskan diri sendiri, tambah pula ketika berusia 14 sehingga 20 tahun, saya menetap di United Kingdom.


"Saya membesar dengan budaya serta persekitaran masyarakat yang memandang rendah kepada wanita Asia serta berkulit hitam sehinggakan dalam apa jua aktiviti saya diketepikan dan dihalang menyertainya.


"Ini menyebabkan saya berfikir perlu bertindak agresif bagi mempertahankan diri daripada ditekan. Sejak itu saya terfikir, menjaga diri serta tidak membiarkan orang lain mengambil kesempatan ke atas diri sendiri adalah sangat penting," katanya.


Anak kedua daripada tiga beradik ini banyak dipengaruhi ibunya, seorang kaunselor di sebuah universiti tempatan. Sejak kecil ibu menjadi pendengar setia. Azah diajar berbual apa sahaja dan di kala itu ibunya khusyuk mendengar ceritanya.


Selepas itu, ibunya akan memberi penyelesaian mengenai masalah yang dibincangkan sebelum mendapat maklum balas daripada Azah.


Lama-kelamaan pertemuan yang diatur setiap hari secara tidak formal menjadikan hubungan ibu dan anak ini sangat akrab seperti kawan baik."Saya masih ingat ketika berusia belasan tahun ibu pernah berkata 'Azah, sekiranya Azah mengandung datang berjumpa dengan mak kerana mak ada penyelesaiannya.' Kata-kata itu memang meresap dalam hati saya sehingga sekarang.


"Saya tahu tidak ramai ibu yang melakukan begini kepada anak-anak mereka. Berbual serta berbincang sangat penting bagi memastikan anak-anak mudah meluahkan masalah dan memastikan hubungan semakin erat," katanya.


Berpegang kepada prinsip kegagalan adalah peluang untuk mencuba serta menjadikan pengalaman setiap hari sebagai bentuk pelajaran, Azah sentiasa optimis dalam memperlengkapkan dirinya dengan ilmu.


Justeru, selepas mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia menyambung pula pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kemudian dia menyambung pengajian dalam jurusan kewartawanan televisyen di London. Tekadnya hanya satu, ingin menimba pengalaman dalam pelbagai bidang."Impian saya ingin bergelar kaunselor dan membuka pusat kaunseling sendiri seperti mana ibu. Dalam meneruskan cita-cita ini, saya tidak pernah patah semangat menuntut ilmu. Ini kerana semakin banyak ilmu diisi semakin banyak yang perlu dipelajari," katanya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kaunseling Psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Pada masa sama, Azah sering dijemput bersama produk tuala wanita Kotex dalam anjuran bengkel yang diadakan di seluruh negara.


Sepanjang dua tahun menyertai bengkel dia sangat terkejut kerana gadis remaja Malaysia sangat cetek mengenai tubuh badan dan seks. Ketika mengendalikan bengkel Kotex, masih ramai ibu bapa moden kurang terbuka dan menganggap isu seksual mengenai tubuh badan sebagai tabu kepada anak gadis mereka.


Sebab itu remaja berasa takut serta bersalah untuk bertanya dan mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan berkaitan tubuh.


"Mereka keliru, memendam rasa dan disogokkan dengan pelbagai mitos mengenai tubuh badan. Ada yang beralih kepada Internet, bertanya kepada rakan ataupun teman lelaki.


"Pasti mereka juga tidak mempunyai jawapan tepat untuk setiap persoalan itu," katanya.


Sebagai contoh, ada anak bertanya mengenai kondom, tetapi ibu sering mengelak untuk menjawab dan anak akan dituduh 'gatal.' Ada bertanya mengenai haid serta melakukan hubungan seks namun ibu memandang sinis kerana beranggapan anak tidak perlu tahu.


Walaupun belum mempunyai anak, Azah mempunyai pendekatan sendiri dalam mendidik anak-anak sejak dilahirkan sehingga dewasa.


Merujuk kepada cara didikan Islam, Azah memberitahu sejak bayi sehingga anak berusia tujuh tahun ibu bapa harus melimpahi anak-anak dengan penuh kasih sayang.


Bina asas yang kukuh sehinggakan anak merasakan mereka amat dihargai serta disayangi sepenuhnya. Selepas anak menjengah usia belasan tahun, ibu bapa harus menjadikan anak-anak sebagai kawan.


"Caranya dengan membawa anak-anak keluar minum serta bercerita apa sahaja dengan mereka. Daripada hal sekolah, rakan sehinggalah cinta. Malah, sampai sekarang walaupun sudah berumah tangga saya masih bercerita dengan ibu. Ibu masih memberi nasihat kepada saya dan dia juga seorang pendengar yang baik serta sangat memahami.


"Malah, bukan saya sahaja, adik lelaki saya melakukan perkara sama. Namun jangan dilakukan sekali, tetapi berkali-kali sehingga menjadi rutin seharian dan menjadi satu kerinduan sekiranya tidak dilakukan bersama-sama," katanya.


Tambahnya, sepanjang mengendalikan bengkel, dia terkejut apabila remaja berusia 16 tahun mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan bapa kandung sendiri atas alasan tidak tahu perbuatan itu salah.


"Sebenarnya kes sebegini akan dapat ditangani dengan mudah sekiranya ibu bapa memberi penerangan serta sering berdamping dengan anak. Apabila anak tahu setiap perubahan yang berlaku pada tubuh mereka, mereka akan lebih menjaganya dengan baik," kata Azah.


Memikirkan bentuk media yang boleh dijadikan rujukan remaja, selepas menghasilkan buku pertama berjudul Tentang Gadis, Azah kini dalam persediaan menerbitkan buku kedua yang masih belum bertajuk.


Menurutnya, buku kedua adalah kesinambungan daripada buku pertama iaitu mengenai persoalan tubuh badan gadis yang sedang meningkat dewasa.


Tujuannya menulis bukan kerana ingin menggalakkan gadis melakukan hubungan seks, tetapi memberi fakta benar dan bukan bergantung kepada mitos sahaja.


Bagi yang pernah terlanjur, ada perkataan untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.


"Saya mahu memberi pendedahan kepada gadis remaja mengenai apa yang sepatutnya mereka lakukan serta fakta sebenar mengenai isu seksual. Remaja boleh membaca bersama ibu, kawan atau bersendirian.


"Selepas membaca buku ini, akhirnya mereka akan tahu dan berkata semuanya boleh dilakukan tetapi tunggulah sehingga hari pernikahan," katanya yang mengambil rujukan daripada pengalaman diri sendiri.


Buku yang akan ada di pasaran sebelum penghujung tahun dan diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris ini merangkumi semua perkara mengenai gadis remaja. Diharap penerbitan buku ini dapat membimbing remaja menjalani kehidupan seharian serta menjadi bahan rujuk mereka mengenai sesuatu isu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: