
BIARPUN masih hijau dalam gelanggang seni tempatan tetapi dia pantas mencipta nama. Popularitinya memuncak bukan disebabkan letusan publisiti murahan mahupun kontroversi yang kurang enak didengar.
Selain muzik bawaannya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mencuri perhatian ramai kerana sering tampil dalam persalinan busana tradisional yang manis dan sopan.
Penampilan sedemikian bukan sahaja diaplikasikan ketika melakukan persembahan pentas dan sesi fotografi malah dia langsung tidak keberatan berbaju kebaya atau menyarungkan baju kurung sewaktu membeli-belah dan bersantai.
Itulah gaya penarik yang ditonjolkan oleh Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali atau popular dengan nama komersial Ana Raffali. Dia merupakan penyanyi remaja yang mengangkat jaluran muzik indie. Selain mencipta signatur imej tradisional, Ana, 25, kerap tampil di atas pentas dengan gitar kesayangannya.
"Saya tidak malu atau merasakan pergerakan saya terbatas hanya kerana memakai kebaya dan kain sarung. Jika wanita Melayu zaman dahulu bebas bergerak, bertani atau bersawah lengkap berbaju tradisional, mengapa saya tidak? Lagipun tidak sukar menyanyi dan bermain gitar dengan berkebaya pendek atau kebarung.
![]() |
| ANA menyifatkan padanan legging dan aksesori rona terang membantu menyuntik konsep funky meskipun berkebaya. |
"Sebagai gadis Melayu yang menjalani kehidupan dalam persekitaran moden dan urban, saya berbangga kerana permintaan baju kebaya masih tinggi dan diperlukan. Lagipun ia sesuai digayakan ke mana saja dan situasi," jelas Ana yang memiliki lebih daripada 50 pasang baju kebaya yang ditempah khas untuk persembahan dan musim perayaan selain daripada koleksi bondanya.
Sementara wajahnya dirias dan didandan rapi, pelantun lagu Mekanika dan Hujan Bunga Di Kuala Lumpur itu tidak henti bercerita tentang keistimewaan baju kebaya. Selain mudah digayakan dan menyerlahkan gaya manis si gadis, Ana memuji kerana kumpulan perunding imej dan pereka fesyen bijak menyuntik elemen moden kontemporari pada busana kebaya.
Tambah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat Kuala Lumpur itu: "Seperti remaja lain kadangkala saya teringin juga untuk bergaya dengan item fesyen terkini dari luar negara. Tetapi disebabkan terlalu obses dengan kebaya maka saya mempraktikkan konsep suai dan padan.
"Jika ingin tampil dengan stail comel dan funky saya gayakan kebaya bersama legging serta aksesori pilihan. Manakala untuk imej ranggi saya mendapati padanan seluar jean dan kebaya paling sesuai," katanya.
Dalam pada itu, Ana yang optimis menjadi penyanyi dan komposer lagu walaupun pada asalnya ingin menjadi guru Bahasa Inggeris menegaskan seboleh-bolehnya dia mengelakkan diri memilih kebaya fabrik nipis dan seksi.

Berbicara selanjutnya gadis yang memiliki tahi lalat di bawah ekor mata itu menjelaskan kebiasaannya dia lebih selesa menggayakan baju kebaya yang potongan lengan tiga suku sewaktu membuat persembahan. Ia bertujuan memudahkan pergerakannya menyanyi sambil memetik gitar.
Sepanjang bercerita kisah imej kebaya yang dipraktikkan sejak menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, graduan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu melahirkan kegembiraan dan rasa terharu.
Dia sama sekali tidak menyangka kecenderungannya berkebaya dan berbaju kurung telah menarik minat dua orang pereka Ariff Shukor dan Chera Gallery menaja busana tradisional yang ideal mengikut personaliti Ana.
Kedua-dua pereka berkenaan kerap mengadakan perbincangan bersama Ana bagi membincangkan aspek rekaan, jenis fabrik, motif dan material. Bersesuaian dengan usianya yang masih muda anak kesembilan daripada 11 orang adik-beradik itu gemarkan kebaya polos, perincian yang tidak terlalu sarat dan berasaskan palet rona terang.
![]() |
| SELUAR denim menjadi pilihan Ana sekiranya dia ingin bergaya untuk konsep santai atau ranggi. |
"Jangan terkejut saya tetap dengan pendirian menyarungkan kebaya tatkala memenuhi undangan nyanyian di konsert atau gig genre rock. Walaupun audiens yang hadir berpakaian rock dan ranggi saya dengan selamba menyanyi di pentas dengan berkebaya.
"Ternyata penonton cukup sporting dan memberi sokongan kerana kehadiran mereka di sana untuk berhibur dan mendengar lagu," tutur Ana yang menyifatkan terpulang kepada selebriti dan personaliti itu sendiri untuk tampil dengan fesyen semasa atau mencipta identiti peribadi yang positif buat para peminat.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: