
LEBIH 20 tahun lalu, sebuah kawasan di Berlin bergema dengan bunyian siren penggera dan lolongan anjing-anjing penyerang yang menjaga tembok pemisah ibu negara Jerman. Suasana tegang itu mewarnai situasi Perang Dingin.
Kawasan yang dahulunya penuh kebencian itu kini dikenali sebagai Wall Park (Taman Tembok). Ia dihidupkan dengan gema dan alunan lagu selebriti popular seperti Micheal Jackson dan Britney Spears.
Lagu-lagu tersebut menjadi hiburan ribuan masyarakat Berlin yang mengunjunginya setiap hari Ahad. Kunjungan mereka adalah untuk menyertai sesi karaoke terbuka.
Pada musim bunga tahun lalu, seorang warga tempatan keturunan Irish, Joe Hatchiban, 36, menghidupkan komputer riba dan mikrofonnya untuk mengadakan pertandingan karaoke. Ketika itu, hanya beberapa orang dilihat berlegar-legar di taman tersebut.
"Saya tinggal berdekatan dengan tempat ini. Pada satu hari, saya ke sini dan mula menyelenggara sistem bunyi. Kemudian saya mula menyanyi beberapa lagu sambil ditonton lima atau enam orang," katanya.
Bermula dengan penyertaan sekitar lima atau enam orang, lama kelamaan penyertaan tersebut telah menarik minat orang ramai dengan pertambahan sehingga ribuan peserta.
Lima atau enam orang pada Ahad pertama itu lama-kelamaan bertambah menjadi ratusan dan kemudian ribuan. Ternyata, aktiviti tersebut semakin menjadi ikutan dan diminati golongan muda di Berlin.
Pada hari Ahad baru-baru ini, dua kanak-kanak perempuan bertubuh kecil menggenggam erat mikrofon untuk membuat persembahan lagu popular YMCA dengan penuh semangat.
![]() |
| SEBAHAGIAN daripada tinggalan tembok Berlin yang berlakar grafiti diangkut menggunakan helikopter untuk dipamerkan di Dataran Potsdamer Platz. |
"Memang seronok tinggal di YMCA!" Jerit orang ramai yang para wanitanya mengenakan skirt pendek bermotifkan bunga manakala golongan lelaki dengan tubuh berkeringat bergerak mengikut rentak tarian Village People.
Sementara itu, kata Hatchiban, sebilangan penonton yang lain mula menyanyi dan menari mengikut lagu Macarena. Antara pilihan klasik karaoke lain adalah seperti lagu I Will Survive dan Like a Virgin. Tidak ketinggalan, lagu tema Perang Dingin iaitu Wind Of Change turut dipersembahkan.
Suasana kawasan berkeluasan tujuh hektar itu nyata berbeza dengan keadaan antara tahun 1961 hingga 1989. Ketika itu, kawasan tersebut adalah kawasan larangan yang memisahkan Berlin Barat di daerah Wedding dan Prenxlauer Berg di sebelah timur.
Gulungan kawat duri dan menara tinjau kini telah digantikan dengan majlis barbeku dan perhimpunan pemilik kereta buggy terkini. Peninggalan tembok pemisah yang melakar sejarah bandar itu hanyalah bahagian lakaran grafiti.
Satu-satunya bukti bahawa kapitalisme masih hidup dalam bekas zon komunis ialah penjualan bir dan minuman ringan bagi menghilangkan dahaga selepas menyanyi secara besar-besaran.
Bagi penganjurnya pula, dia akan mengedarkan tin untuk memungut derma dan sumbangan. Namun dia menafikan bahawa tujuannya adalah untuk mengutip wang semata-mata.
"Saya tidak meletakkan sebarang tanggapan tentang apa yang akan berlaku untuk masa depan. Saya mungkin hanya merasakan bahawa ada perkara yang lucu bakal berlaku," terangnya.
Ketua Persatuan Friends of the Mauerpark, Axel Puell menjelaskan, ilham riadah yang dibawakan lelaki Irish di taman tersebut begitu dialu-alukan. Karaoke terbuka, menurutnya, adalah cara terbaik untuk menarik lebih ramai perhatian dalam aspek pelancongan.
"Melalui sesi karaoke ini, Joe telah membuktikan bahawa anda boleh berjaya tanpa sebarang sokongan atau sebab komersial. Di sini, tiada yang perlu dimenangi, ia disertai dengan percuma dan tiada sebarang pengiklanan," beritahu Puell.

Bagaimanapun, Puell tetap bimbang sekiranya kejayaan yang dicapai itu boleh dilanjutkan atau terhad untuk tempoh tertentu sahaja.
"Suatu hari nanti, Joe mungkin akan melakukan perkara lain. Mungkin juga berlaku kerjasama komersial untuk melaksanakannya," ujarnya.
Tetapi buat masa ini, para penyanyi karaoke yang dikatakan 'membunuh' melodi lagu-lagu popular klasik meneruskan perjuangan mengikut cara tersebut. Mereka terus menyanyi dan tidak lagi mahu berkurung di tempat yang dikawal pengawal-pengawal bersenjata api dan anjing-anjing penyerang seperti dahulu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: