DI restoran milik Yu Bo, air teh dan bau itik panggang yang kuat berkongsi ruang di atas meja. Di situ juga terdapat berus kaligrafi yang digunakan untuk membuat pastri lapis, daging cincang, timun laut dan nasi goreng.
Restoran makanan tradisional milik Yu, Yu's Family Kitchen merupakan salah satu lokasi makanan popular di bandar Chengdu, China.
Ibu kota wilayah Sichuan yang terkenal dengan beruang panda itu merancang menggunakan hidangan tradisionalnya untuk menarik penggemar-penggemar makanan dari seluruh dunia.
"Makanan Sichuan mempunyai pelbagai rasa dan kaedah masakan, justeru masyarakat dari negara mana pun berpeluang untuk merasainya," kata Yu yang duduk dalam restorannya yang bercirikan rumah pegawai kerajaan zaman dahulu yang mempunyai bilik-bilik khas.
Hidangan Sichuan ialah satu daripada lapan makanan tradisi utama di China. Ia cukup terkenal di luar negara dengan beberapa restoran popular di London dan New York menyajikannya di atas pinggan dengan nama-nama aneh.
Februari lalu, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggelar Chengdu sebagai City Gastronomy kerana menjadi tempat kelahiran pelbagai makanan tradisi. Komuniti profesionalnya pula aktif mempromosikan inovasi dalam makanan.
Ayam gong bao, puding zhong pedas, sos bawang putih dan kacang hijau dalam sos halia merupakan makanan popular di kalangan penduduk tempatan. Ia boleh didapati dengan mudah di gerai dan jalanan.
Keunikan itu dikongsi bersama sebuah lagi bandar raya lain di dunia iaitu Popayan di Colombia.
Ia merupakan sebahagian daripada program yang diasaskan oleh UNESCO pada tahun 2004 untuk menyokong aktiviti sosial, pembangunan kebudayaan dan ekonomi di bandar raya di seluruh dunia.
Warisan makanan
Naib Datuk Bandar Chengdu, Wang Zhonglin berkata, pihaknya bercadang menggunakan anugerah yang dimenangi itu bagi membina sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa untuk dikenali di seluruh dunia.
Mereka sedang berbincang mengenai kaedah yang sesuai untuk memperkenalkan warisan makanan di bandar raya itu termasuk mempromosi dan menghubungkannya dengan bandar-bandar lain di luar negara yang sering menjadi tumpuan, menurut Ye Lang, jurucakap untuk kerajaan Chengdu.
Chengdu, yang pernah menjadi tuan rumah beberapa festival penting sebelum ini juga merancang untuk menarik penggemar-penggemar makanan pada satu pameran di Paris, iaitu ibu pejabat UNESCO pada tahun ini.
Pengkritik-pengkritik makanan berkata, hidangan Sichuan sering disalahertikan. Sering dikenali dengan jenis-jenis ladanya yang mampu membuatkan mulut berasa kebas dan rempah ratus yang digunakan merangkumi pelbagai rasa asli.
Fuchsia Dunlop, penulis kolum makanan yang berpangkalan di London dan pakar tentang masakan Sichuan berkata, nikmat makanan wilayah itu ibarat keterujaan menaiki roller coaster. Ia penuh dengan rasa manis, masin dan berhalia.
Yu yang pernah mengembara ke luar negara bagi melihat cara-cara makanan Sichuan dihidangkan mendapati ia sering disalahertikan.
"Semuanya tentang lada, lebih lada, penggunaan bahan perasa yang berlebihan dan banyak minyak. Tetapi hidangan asli Sichuan bukan seperti itu," katanya.
Dunlop berkata, untuk menarik penggemar-penggemar makanan dari luar negara datang ke Chengdu mungkin terdapat sedikit masalah akibat pembangunan semula bandar itu.
Pada pendapatnya, terlalu ganjil apabila bangunan-bangunan lama perlu digantikan dengan bangunan tinggi dan moden.
"Semasa saya menetap di sini pada tahun 90-an, seluruh bandar ini mempunyai jalan-jalan kecil dan berliku-liku dengan rumah-rumah kayu. Ketika itu terdapat banyak peniaga jalanan dan kedai-kedai runcit," katanya.
"Sekarang tidak banyak lagi yang tinggal. Jadi sementara anda pergi ke Itali dan bersantai sambil menikmati keindahan bangunan lama dan sajiannya, yang ada di Chengdu hanyalah makanan.
Dunlop juga bimbang tradisi memasak di rumah bakal hilang sedikit demi sedikit disebabkan arus pemodenan.
"Dulu orang biasa makan di rumah, kebanyakan generasi tua membuat sosej dan daging kering dengan menggantungkannnya di tepi bumbung rumah. Mereka juga membuat jeruk dan memanaskannya," katanya.
"Tetapi sekarang ia jarang berlaku. Datuk dan nenek menjaga cucu manakala anak-anak mereka yang merupakan generasi profesional menikmati hidangan di restoran. Mereka tidak belajar memasak."
Yu, berkata dia tidak akan membiarkan perkara itu terjadi kepada anak perempuannya.
"Saya mengajarnya cara-cara membuat sarapan pagi setiap hari apabila dia bangun tidur. Saya melatihnya, dan berharap dia akan menjadi mahir," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: